LONDON: Bukan selalu tiga daripada pasukan ‘Enam Terbesar’ Liga Perdana England (EPL) mempunyai musim yang kurang memberangsangkan.
‘Enam Terbesar’ itu – gelaran diberi kepada kelab Manchester City, Arsenal, Liverpool, Manchester United, Chelsea and Tottenham Hotspur – dijangka memberi cabaran kepada tempat enam teratas pada setiap musim EPL.
Namun, Liga Perdana ini penuh dengan kejutan dan berliku. Chelsea, Manchester United dan Liverpool mungkin kesal melihat kesudahan yang berlaku tidak serupa dengan apa yang mereka bayangkan pada awal musim.
Pasukan sang biru itu mungkin menamatkan musim dengan kuat, tetapi menghadapi banyak kesulitan musim ini.
Selepas tamat di tempat ke-12 musim lalu, Chelsea penuh dengan harapan apabila melantik Mauricio Pochettino untuk menstabilkan kelab itu, sehingga mempunyai azam untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah.
Tetapi kecederaan – yang sering dihadapi banyak kelab – dan integrasi pemain muda yang kurang berpengalaman terbukti menjadi cabaran besar bagi pasukan dari London itu.
Chelsea membelanjakan lebih 1 bilion euro ($1.46 bilion) untuk pemain baru sejak diambil alih Todd Boehly pada Mei 2022.
Dengan skuad pemain muda yang menggantikan pemain berpengalaman, mempamerkan persembahan konsisten menjadi satu isu kerana mereka perlukan masa untuk serasi.
Chelsea mendapati sukar untuk menang secara konsisten pada keseluruhan musim dan hanya pada Mei barulah mereka berjaya menang tiga perlawanan berturut-turut musim ini.
Pochettino berkata Chelsea kini bak “projek berlainan” daripada zaman kegemilangan Chelsea yang menang kejuaraan. Tetapi dengan wang yang dibelanjakan, sekurang-kurangnya Chelsea harus merangkul Liga Juara-Juara. Namun masa tidak berpihak kepada Pochettino.
Musim pertama Erik ten Hag sebagai pengurus pasukan Man United berakhir dengan baik, selepas tamat di tangga ketiga EPL dan memenangi Piala Liga – kejayaan pertama sejak kemenangan Liga Europa pada 2017.
Musim ini pula, United sepatutnya bangkit semula tetapi sebaliknya mundur.
‘Red Devils’ berakhir di tempat kelapan EPL dengan 60 mata. Ini adalah persembahan paling buruk sejak musim 2013-2014 apabila mereka menduduki tempat ketujuh dengan 64 mata – musim pertama selepas persaraan pengurus legenda United, Sir Alex Ferguson.
Ten Hag, yang menghadapi tekanan berat, menyebut sebab utama kejatuhan pasukannya – kecederaan.
Menurut laporan, 25 pemain utama United mengalami kecederaan sepanjang musim ini.
Selain kecederaan, pemain United sungguh mengecewakan walaupun mereka sihat, atau kurang mentaliti yang betul.
Casemiro seperti bayangan berbanding musim lalu, sementara Marcus Rashford – yang sering dikritik kurang berlari di padang permainan – gagal menjaringkan lebih 10 gol, selepas menjaringkan 30 gol musim lalu.
Menyifatkan pasukan Jurgen Klopp sebagai ‘gagal’ agak keras. Namun ia juga merupakan pujian kepada kelab Merseyside bahawa mereka sepatutnya mencapai lebih daripada sekadar berakhir di tempat ketiga, mengikut piawaian tinggi mereka.
Musim Liverpool mesti dinilai berdasarkan keputusan mereka dalam semua pertandingan yang menjejas persembahan liga mereka, terutama memandangkan ia adalah kempen terakhir Klopp sebagai pengurus.
Apabila pengurus mengumumkan keputusan untuk berundur pada Januari, pasukan itu mempunyai impian besar menang empat trofi – Liga Perdana, Liga Europa, Piala FA dan Piala Liga.
Mereka memenangi Piala Liga sebulan kemudian, tetapi disingkir Man United dan Atlanta pada peringkat suku akhir Piala FA dan Liga Europa.
Kekalahan mengejut kepada Everton dan Crystal Palace pada April melenyapkan segala harapan memenangi Liga Perdana. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg