Larian Wanita Great Eastern (GEWR) pada 9 November akan menjadi hari yang istimewa buat Cik Nur Hiryanty Roslan, Cik Nadhirah Roslan, Cik Nadhrah Roslan dan Cik Nadia Roslan – masing-masing berusia 33, 30, 24 dan 19 tahun – kerana ini merupakan kali pertama keempat-empat adik-beradik itu akan menyertai acara larian bersama.
Cik Nadhirah dan Cik Nadia pada mulanya perlu memujuk Cik Nadhrah untuk menyertai acara larian sejauh 10 kilometer itu, kerana beliau tidak gemar berlari.
Namun, anak kelima daripada enam beradik itu – yang mempunyai dua orang abang – akhirnya bersetuju kerana melihat cabaran ini sebagai peluang untuk mencapai matlamat kecergasan peribadinya.
“Tahun ini (2025) saya mahu mula berlari semula. Dulu saya pernah berlari semasa di sekolah menengah, tetapi saya tidak pernah sertai acara larian seperti ini.
“Jadi saya fikir, mungkin tahun ini (2025) saya boleh cuba semula. Saya pernah menyertai larian 5 kilometer dalam 2XU ‘Compression Run’, kemudian mereka (adik-beradik saya) beritahu saya tentang larian Great Eastern dan mereka yang banyak menggalakkan saya untuk sertai acara larian seperti ini.
“Saya memang aktif bersenam, cuma bukan dalam aktiviti larian. Pada mulanya saya lebih cenderung untuk pilih 5 kilometer, tetapi mungkin menjelang November saya boleh cuba 10 kilometer kerana saya ada lebih masa untuk berlatih,” kata Cik Nadhrah.
Semasa pelancaran GEWR pada 26 Mei di Asia Square Tower 1, di Kawasan Pusat Bandar (CBD), seramai 117 peserta terawal menerima dua slot percuma bagi perlumbaan itu, bersama beg cenderamata.
Cik Nadhirah dan Cik Nadia turut beratur untuk mendaftarkan diri pada acara tersebut.
Pihak penganjur menjangkakan sekitar 12,000 pelari akan mengambil bahagian dalam acara larian edisi 2025 yang akan berlangsung di Hab Sukan Singapura (SSH), lapor The Straits Times (ST).
Cik Nadhirah dan Cik Nadia telah menyertai beberapa acara larian sepanjang 2024, dan mereka berasa gembira kerana berjaya mengajak Cik Nadhrah serta kakak sulung mereka, Cik Nur Hiryanty, untuk turut serta dalam GEWR.
Cik Nadia, pelajar tahun akhir dalam jurusan kejururawatan di Politeknik Ngee Ann (NP), berkata mereka menyertai acara itu bukan sahaja demi “matlamat kesihatan”, tetapi juga kerana ingin “menyumbang kepada masyarakat”.
Acara itu, yang turut menarik lebih 12,000 peserta pada 2024, berjaya mengumpul dana sebanyak $388,000 – jumlah tertinggi setakat ini – untuk disalurkan kepada Persatuan Barah Singapura (SCS) dan Daughters Of Tomorrow, sebuah badan amal yang membantu golongan wanita kurang bernasib baik.
“Saya rasa saya perlu jadi lebih aktif sekarang kerana tahap kecergasan saya semakin menurun. Jadi, menyertai acara seperti ini memberikan saya satu matlamat.
“Saya mahu lakukan sesuatu yang lebih baik, tetapkan keutamaan hidup dan menjadi ibu yang sihat untuk anak-anak saya juga,” jelas Cik Nadhirah.
Acara edisi 2025 ini memperkenalkan kategori berkumpulan 10 kilometer khusus untuk pelajar institusi pengajian tinggi.
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pendidikan), Cik Jasmin Lau, yang merupakan tetamu terhormat semasa pelancaran acara itu, berkata dalam ucapannya:
“GEWR kini bukan sekadar satu perlumbaan. Ia merupakan sebuah platform yang memperkasa wanita melalui pergerakan, kemasyarakatan dan tujuan yang bermakna.
“Saya berasa gembira dengan penambahan kategori institusi pengajian tinggi pada tahun ini (2025), yang memberi peluang kepada wanita muda untuk menyerlah dan berkembang melalui sukan.
“Daripada Princess Dash (acara larian untuk kanak-kanak perempuan berusia tiga hingga enam tahun) hingga ke separuh maraton, setiap langkah yang diambil menyemai budaya terangkum, daya tahan dan semangat memberi.”
Peserta yang berminat boleh menikmati kadar diskaun pendaftaran awal dari 26 Mei hingga 8 Jun. Pendaftaran dibuka sehingga 5 Oktober.
Untuk maklumat lanjut, layari laman https://greateasternwomensrun.com/.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg