Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sertai larian berganti maraton demi ibu yang hidapi barah

Larian sejauh 100km ‘Relay For Life 2025’ adalah peringatan bahawa perjuangan menentang barah tidak pernah berhenti
Mar 9, 2025 | 5:30 AM
Zulfadhli Mustafah, seorang pelari maraton mengenang kembali sewaktu beliau dikejutkan berita tentang ibunya yang disahkan menghidap barah buah dada.
Zulfadhli Mustafah, seorang pelari maraton mengenang kembali sewaktu beliau dikejutkan berita tentang ibunya yang disahkan menghidap barah buah dada. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Di atas jalan raya, ketika keringat mencurah dan rasa sangsi ditepis oleh hati yang cekal, serta derita yang menjadikan benak tidak tenteram, soalan yang sering bermain di minda ialah – mampukah aku? Pastinya tidak? Siapa tahu?

Terpampang di skrin komputer dalam satu wawancara bersama Berita Minggu (BM), duduk seorang jejaka, yakin, tenang, merenung kembali jalan yang berliku dan sukar dilaluinya.

Sebahagian daripada siapa Zulfadhli Mustafah, dan apa yang paling bermakna baginya, dapat dilihat dalam jarak larian yang telah ditempuhnya.

Seorang pelari maraton, 38 tahun, yang berlari maraton pertamanya dalam Maraton Singapura Standard Chartered 2023, mengatasi jarak 42 kilometer.

Setahun kemudian, beliau menamatkan satu lagi perlumbaan 42 kilometer dalam maraton pertamanya di luar negara di Sydney, mencatatkan rekod terbaik peribadinya 4 jam 10 minit.

Kini, beliau sedang bersiap sedia dengan pelan latihan 20 minggu bagi Maraton Berlin pada September 2025.

Mengapa? “Kerana saya mahu mencabar diri sendiri.

“Ia mengajar saya bahawa tubuh boleh melakukannya jika kita benar-benar tekad,” ujar Zulfadhli.

Namun, mencapai suatu masa tertentu, mengatasi larian yang tampak tiada penghujung dalam maraton, bukan satu-satunya pertempuran yang dihadapinya.

Pada September 2021, dunianya digoncang oleh kejutan yang tidak dijangka – ibunya disahkan menghidap barah buah dada.

Sebelum itu, kehidupannya berjalan seperti biasa, tenang dan damai, tanpa sebarang tanda ribut bakal melanda. Namun apabila berita itu tiba, beliau kebingungan, tertekan, seolah-olah hilang arah.

“Sebelum ini, ibu tidak pernah ada sebarang penyakit, semuanya normal.

“Saya tertanya-tanya, kenapa ini terjadi pada saya? Banyak perkara bermain di fikiran. Bagaimana saya akan menjaga ibu? Bagaimana saya akan menguruskan kos perubatannya?” keluhnya.

Hampir setahun, beliau mengorbankan waktu tidur dan masa demi menjaga ibunya – memastikan makan minumnya tidak terabai, mengambil ubat mengikut waktu, kadangkala menemaninya ke hospital untuk pemeriksaan.

Pelari maraton yang hebat memiliki rentak yang anggun – mereka berlari seolah-olah terapung, mendarat dengan perlahan di hujung jari kaki, dengan betis yang melantun pantas sehingga tumit hampir menyentuh belakang paha.

Namun, dalam keanggunan mereka tidak bermakna tiada kesukaran.

Kesukaran adalah lagu perjuangan dalam dunia sukan – satu pergelutan berterusan di mana seorang pelari berusaha melepaskan diri daripada dibelenggu keraguan dan ketakutan.

Dan hanya apabila kita meneliti perjuangan tersebut, seperti yang dilalui Zulfadhli, barulah kita benar-benar menghargai erti keperibadian, kegigihan, dan kekuatan.

Setelah merasai keletihan atau ‘burnout’, penurunan berat badan, dan wajah kepenatannya disedari rakan sekerja, beliau teringat kembali saat dirinya masih bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat semikonduktor:

“Ia satu perjalanan yang sangat sukar buat saya kerana pada waktu itu, saya masih bekerja syif tetap pada waktu malam, selama 12 jam sehari.

“Jadi, ia sangat mencabar. Tetapi saya tetap bertahan.”

Tidak semua orang memiliki suara hati yang cergas yang menjerit, “maju, maju, maju”; kadangkala, kita perlukan bantuan dari luar yang memberi dorongan.

Pada Oktober 2022, ibunya, Foziah Yeon, dirujuk ke Pusat Pemulihan Persatuan Barah Singapura (SCS) sebagai sebahagian daripada program pemulihannya.

Di sini, beliau menyertai program penurunan berat badan SCS dan kelas Bertenaga Selepas Barah Buah Dada, yang membantu pesakit barah buah dada membina semula kekuatan serta mengurus risiko limfedema.

“Perjuangan melawan barah ibarat berlumba dalam maraton.

“Tetapi mendapat sokongan daripada SCS memberi saya ruang untuk bernafas. Seperti saya tidak keseorangan dalam menghadapi cabaran ini,” kata Zulfadhli.

Kebanyakan daripada kita tidak tahu apa yang tersirat dalam diri sendiri. Sejauh mana tubuh mampu rentas daya, dan sejauh mana minda boleh bertahan.

Bukan suatu pencapaian kecil tatkala berjaya menamatkan maraton – satu perjalanan jauh yang membuktikan tidak ada yang datang dengan mudah. 

Zulfadhli menyebutnya sebagai kemenangan mengatasi kesukaran.

Sebagai pengasuh ibunya,  Zulfadhli Mustafah berkata perjuangan melawan barah ibarat berlumba dalam maraton.
Sebagai pengasuh ibunya, Zulfadhli Mustafah berkata perjuangan melawan barah ibarat berlumba dalam maraton. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Seabad yang lalu, di Sukan Olimpik Paris 1924, pelari legenda, Paavo Nurmi menamatkan perlumbaan 1,500 meter, dan 52 minit kemudian, beliau memulakan perlumbaan akhir 5,000m. 

Beliau menang kedua-duanya.

“Otot hanyalah kepingan getah.”

“Semua yang saya capai, saya capai kerana minda saya,” katanya suatu ketika dahulu.

Ada keindahan dalam hakikat bahawa had perjuangan seseorang masih belum diketahui ramai dan mereka yang tahu ertinya sahaja yang dapat menikmati bunyi deruan angin, calar-calar awan dan jalur-jalur cahaya mentari.

Penulis ini mengongsi sekeping gambar dengan Zulfadhli memaparkan dirinya bersama ibunya di garisan penamat Race Against Cancer 2024, selepas ibunya menamatkan lariannya sejauh 5 kilometer.

Mereka tersenyum lebar, ibu jari dinaikkan – satu detik kemenangan bersama.

“Ini adalah kemenangan untuk ibu. Pada hari itu, saya juga mempunyai rakan-rakan yang menyokongnya bersama saya. Salah seorang daripada mereka begitu tersentuh sehingga mengalir air mata,” ujarnya.

Ketika ditanya apa yang dipelajari sepanjang perjalanannya, Zulfadhli mengulang satu hakikat yang ringkas tetapi bermakna:

“Tidak mengapa jika berasa letih dan geram. Luangkan sedikit masa untuk diri sendiri – berjalan di taman ataupun menarik nafas dalam-dalam.

“Tetapi ketahuilah bahawa kekuatan anda juga adalah kekuatan mereka (pesakit barah). Teruskan mengasuh mereka agar perjuangan ini tidak ditempuh keseorangan,” katanya.

Acara ini bukan perlumbaan bagi semua orang – ia satu larian.

Namun, setiap larian akhirnya menjadi satu pertempuran.

Anda melawan suara yang berkata ‘berhenti’, melawan masa, melawan kilometer yang perlu ditempuhi, dan, seperti kata penulis, Haruki Murakami:

“Berlari adalah satu bentuk senaman, malah ia satu metafora.”

Larian sejauh 100 kilometer ini, Relay For Life (RFL) 2025 oleh SCS, yang telah berlangsung pada 8 dan 9 Mac di Stadium Negara adalah peringatan bahawa perjuangan menentang barah tidak pernah berhenti, walaupun sepanjang malam.

Hanya melalui perjuangan tanpa henti dan pengorbanan, akan seseorang akhirnya melihat fajar menyingsing.

“Berlari bukan sekadar sampai ke garisan penamat, tetapi juga tentang perjalanan itu sendiri,” kata Zulfadhli.

Kini, beliau ingin berlari untuk sesuatu yang lebih bermakna melalui RFL – demi ibunya, dan komuniti pesakit barah yang sentiasa menyokongnya bersama.

Keputusannya, yang lahir daripada perjalanan ibunya sendiri, telah membakar semangat dan membentuk misinya yang baru.

Inilah daya tarikan dalam berlari – tujuan anda tidak perlu hebat atau rumit, tetapi anda mesti memilikinya.

Tiada siapa yang tahu mengapa anda berlari, tiada siapa yang tahu jika anda mencapai matlamat anda.

Malah itulah yang menjadikan larian lebih bermakna – suatu senaman dan semangat perpaduan, berpeluh bersama keluarga, rakan, atau sesiapa sahaja yang berkongsi perjuangan yang sama.

Melihat Singapura dalam dua wajahnya – saat matahari tenggelam dan ketika ia mula menyingsing, diiringi dentuman tapak kaki yang berirama tidak berhenti.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg