Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

4 lagi gangsa sekurangnya milik pesilat SG

Jul 29, 2022 | 5:30 AM
GANGSA SUDAH DIGENGGAM: Pasukan seni regu lelaki negara, yang terdiri daripada (dari kiri) Affiz, Mustafar dan Nazrul, sudah dijamin sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam Kejohanan Pencak Silat Dunia. - Foto JIA XING
GANGSA SUDAH DIGENGGAM: Pasukan seni regu lelaki negara, yang terdiri daripada (dari kiri) Affiz, Mustafar dan Nazrul, sudah dijamin sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam Kejohanan Pencak Silat Dunia. - Foto JIA XING -

SEKURANG-KURANGNYA empat lagi pingat gangsa berada dalam genggaman Singapura selepas satria negara berjaya mencatat kemenangan dalam pusingan suku akhir di Kejohanan Pencak Silat Dunia 2022.

Di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) semalam, Muhammad Affiz Md Zakri, Muhammad Nazrul Mohd Kamal dan Muhammadinil Mustafar Bin Mohd Isa, yang membentuk pasukan seni regu lelaki negara, beraksi mantap untuk menempah tempat mereka dalam separuh akhir.

Persembahan mereka dinilai 9.950 mata, cukup untuk menumbangkan pasukan Vietnam (9.925 mata).

Affiz, 21 tahun, memberitahu Berita Harian bahawa persembahan mereka yang "lebih lancar dan kuat" mungkin memihakkan kemenangan kepada Singapura, berbanding pasukan Vietnam yang kelihatan "seragam tapi agak robotik".

"Sejujurnya, kami rasa lega (dapat ke separuh akhir dan sekurang-kurangnya membawa balik pingat gangsa). Tapi, seperti yang dikatakan oleh rakan sepasukan, ia terpulang kepada kami warna pingat apa yang diingini," tambah anggota Perkhidmatan Negara itu, yang julung kalinya bertanding dalam kejohanan dunia.

Perjuangan Muhammad Iqbal Abdul Rahman untuk mempertahankan kejuaraan berterusan selepas mencatat kemenangan senang melalui penyingkiran pada warga Canada, Rayyan Erahdun, yang mengakhiri persembahannya terlalu awal.

Dua lagi acara seni melayakkan diri ke separuh akhir.

Siti Nazurah Mohd Yusoff merakam 9.940 mata untuk menewaskan Poukky Salermbupha dari Laos (9.885 mata) dalam seni tunggal puteri.

Muhammad Hazim dan Muhammad Haziq Mohd Zaque juga berhasil dalam suku akhir seni ganda putera mereka.

Persembahan bertenaga pasangan adik-beradik itu mengumpul 9.930 mata dan berjaya menumpaskan Vietnam (9.885 mata).

Mereka menyertai pasukan seni regu wanita negara - yang dianggotai Iffah Batrisyia Noh, Amirah Sahrin dan Nur Ashikin Zulkifli - yang sudah mara ke separuh akhir kelmarin.

Awal sebelum itu, pasangan adik-beradik Muhammad Syahiran dan Muhammad Syamil Jeffry berjaya melepasi pusingan saringan acara tanding masing-masing.

Syahiran perlu berhempas-pulas untuk mengatasi warga Indonesia Ronaldo Neno 52-47, manakala Syamil menang besar 42-(-11) menentang Brandon Stauft dari Amerika Syarikat.

Perjalanan pasangan seni ganda wanita pula berakhir dalam suku akhir. Nur Azlyana Ismail dan Sharifah Shazza Samsuri, yang meraih 9.905 mata, nyaris dikalahkan Vietnam (9.925 mata)

Sehingga akhbar ini dicetak, Singapura turut diwakili dalam tujuh lagi acara tanding semalam.

Kejohanan dunia itu akan sampai ke kemuncaknya pada Ahad ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg