Topik diikuti
Pergi ke BHku5 pengajaran berharga bagi Singa susulan kekecewaan di Piala Asean Fifa
Gavin Lee pikul tugas mencabar semarak semula semangat anak didik jelang kejohanan besar menentang pasukan handalan serantau di Piala Asia 2027
5 pengajaran berharga bagi Singa susulan kekecewaan di Piala Asean Fifa
Kempen Piala Asean Fifa berakhir dengan kekecewaan pahit buat skuad Singa.
Namun, aksi tiga perlawanan itu mendedahkan pelbagai pengajaran berharga yang perlu dilalui pasukan pimpinan jurulatih Gavin Lee itu menjelang Piala Asia pada Januari 2027.
Ketajaman di hadapan gol, kreativiti, pilihan di bahagian serangan, serta keupayaan pemain untuk mengubah perlawanan adalah antara persoalan yang perlu dicari jawapan, selain bagaimana untuk menguruskan jangkaan tanpa memadamkan kepercayaan terhadap pasukan.
Kekalahan kepada Malaysia dan Indonesia – mahupun kemenangan ke atas Bangladesh – menjadi peringatan tegas tentang jurang yang masih wujud, tetapi ia bukan alasan untuk melupakan kemajuan yang telah dicapai.
Berikut ialah lima pengajaran utama daripada kempen Singa.
1. Pasukan Singa harus jaring lebih banyak gol
Perkara ini merupakan masalah paling ketara yang menghambat Singa. Dalam tiga perlawanan, anak didik Lee hanya menjaringkan satu gol.
Satu-satunya jaringan ialah menerusi tandukan Harhys Stewart, dalam kemenangan 1-0 ke atas Bangladesh, walaupun Singapura mempunyai beberapa peluang untuk menambah jaringan.
Menentang Indonesia dan Malaysia, mereka turut menghasilkan beberapa peluang tetapi gagal memanfaatkannya.
Sekiranya mereka lebih tajam di depan gol, mungkin mudah menerima kekalahan-kekalahan itu.
Ia juga bermakna pasukan tidak perlu mengambil risiko berlebihan hingga terlalu mendedahkan barisan pertahanan, seperti yang berlaku apabila gawang Singa dibolosi enam gol oleh Malaysia.
2. Lebih pilihan penyerang diperlukan
Kempen ini juga membuka persoalan mengenai pilihan di bahagian serangan.
Singa hanya mendaftar dua penyerang untuk kempen Piala Fifa Asean – Ilhan Fandi dan Shawal Anuar.
Ikhsan Fandi tidak dapat menyertai skuad kali ini akibat kecederaan.
Kededua Shawal dan Ilhan telah membuktikan mereka mempunyai kebolehan untuk menjaringkan gol, tetapi mungkin kepelbagaian penyerang diperlukan.
Ia juga akan membuatnya lebih sukar untuk pasukan lawan meramalkan gabungan pemain Singa.
Seorang penyerang mungkin lebih sesuai sebagai pemain sasaran untuk memegang bola.
Seorang lagi mungkin lebih berkesan menyerang ruang di belakang pertahanan.
Ada pula yang lebih berbahaya apabila berada di dalam kotak penalti dan mampu mencari peluang dan ruang daripada hantaran silang.
Dengan lebih pilihan penyerang, Lee bakal mempunyai lebih ‘formula’ untuk mencari jalan memenangi perlawanan.
Dalam konteks itu, pemain seperti Abdul Rasaq atau Jordan Emaivwe boleh menjadi antara profil yang menarik untuk dinilai pada masa depan, bukan kerana mereka secara automatik merupakan penyelesaian kepada masalah gol, tetapi kerana variasi mungkin diperlukan.
3. Singa punyai mutu tapi kurang individu berkualiti
Tidak boleh dinafikan bahawa Singa mampu beraksi dengan baik sebagai sebuah pasukan.
Namun, di tahap ini, setiap pasukan lain juga berfungsi dengan baik sebagai satu unit, tetapi mereka mempunyai sekurang-kurangnya beberapa pemain yang mampu menghasilkan detik-detik individu yang mengubah rentak perlawanan.
Indonesia dipenuhi bintang Eropah, tetapi kehebatan individu seperti Luke Vickery dengan hantaran mengancamnya kerap merintis gol-gol pasukan itu.
Bagi Malaysia pula, jaringan kedua hasil kelincahan individu Manuel Hidalgo yang berjaya melepasi dua pertahanan Singa sebelum dengan mudah mengumpan bola kepada rakan sepasukannya untuk menjaringkan gol.
Ini bukan bermakna pemain Singa tidak mempunyai mutu.
Sebaliknya, pasukan Singa masih perlu menghasilkan lebih banyak pemain yang kreatif dan mampu menjadi pemecah kebuntuan apabila rancangan utama tidak berhasil.
Struktur boleh membawa pasukan ke satu tahap.
Tetapi pada tahap tertinggi, sering kali seorang pemain perlu menghasilkan sesuatu yang tidak dijangka untuk mengubah permainan.
4. Song Ui-young muncul Singa terbaik
Ketika menentang Indonesia, kemasukan Song pada separuh masa kedua membantu Singapura bermain dengan lebih baik.
Dengan tenaga, keberanian untuk meminta bola dan kemampuan mengekalkan penguasaan, Song membantu skuad Singa menyerap tekanan Indonesia dan memantapkan semula permainan Singa yang kembali bertaring selepas rehat.
Corak yang sama muncul ketika menentang Malaysia.
Song bukan sekadar rajin mengejar bola, bahkan beliau bertungkus lumus memberi tekanan kepada benteng pertahanan Malaysia, berlari tanpa henti dan agresif untuk memenangi semula bola.
Malah, kesungguhan serta lariannya membantu Singa mencipta beberapa situasi bahaya pada awal permainan.
5. Jangkaan perlu dikawal, bersemangat untuk bangkit
Jika hanya melihat kepada keputusannya, sukar untuk mengelak daripada menyifatkan kejohanan ini sebagai mengecewakan.
Singa menamatkan kempen di tangga ketiga Kumpulan A dengan tiga mata, hanya menjaringkan satu gol manakala gawangnya dibolosi lapan kali.
Kekalahan 0-6 kepada Malaysia rasanya begitu pahit sekali – dan merupakan kekalahan terbesar mereka kepada jiran itu sejak 1978.
Ia bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.
Namun, dalam sidang media selepas kekalahan kepada Malaysia itu, Lee mengemukakan satu persoalan:
“Adakah kita membiarkan keputusan (kejohanan) ini mentakrifkan diri kita, atau adakah kita menjadikannya pembakar semangat untuk melangkah ke hadapan?”
Jawapannya bergantung kepada tindak balas pasukan dalam kejohanan seterusnya – Mizuho Blue Challenge – yang akan diadakan di November, dengan pasukan Singa bakal berdepan Paraguay dan Brazil.
Moga pengalaman di Piala Asean Fifa ini bakal menjadi pembakar semangat untuk Singa bangkit dan terus meningkatkan kedudukan bola sepak negara.