Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

74% warga S’pura bersukan, senam seminggu sekali pada 2022: Tinjauan SportSG

Jun 27, 2023 | 8:34 PM
HIDUP SIHAT: Sekitar 74 peratus warga Singapura bersenam atau menyertai kegiatan sukan sekurang-kurangnya seminggu sekali pada 2022.
HIDUP SIHAT: Sekitar 74 peratus warga Singapura bersenam atau menyertai kegiatan sukan sekurang-kurangnya seminggu sekali pada 2022. - Foto ST

Penyertaan warga Singapura dalam kegiatan sukan dan senaman mencapai tahap tertinggi pada 2022, menurut dapatan terkini Tinjauan Penyertaan Sukan Negara (NSPS).

Dalam kad laporan 2022 NSPS, yang dikeluarkan Majlis Sukan Singapura (SportSG) pada Selasa, sekitar 74 peratus warga Singapura telah bersenam atau menyertai kegiatan sukan sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Angka itu meningkat berbanding semasa pandemik Covid-19 iaitu 69 peratus pada 2020; dan 72 peratus pada 2021.

Sebelum pandemik pada 2019, penyertaan itu adalah 66 peratus.

NSPS merupakan satu-satunya tinjauan nasional tahunan Singapura mengenai penyertaan sukan dan senaman dalam kalangan warga negara dan penduduk tetap (PR) berusia 13 tahun dan ke atas.

Lebih 4,500 peserta menyertai tinjauan itu pada 2022.

Tinjauan itu, yang dijalankan sepanjang tahun dan bermula sejak 2015, bertujuan memahami profil peserta dan tanggapan awam mengenai sukan dan senaman di sini.

Cerapan daripada tinjauan digunakan bagi membentuk dasar dan strategi untuk program sukan, inisiatif, prasarana dan kempen agar penduduk kekal aktif dan sihat.

Menurut NSPS, kesihatan fizikal dan mental yang lebih baik kekal menjadi pendorong utama bagi warga Singapura menyertai kegiatan sukan dan senaman pada 2022.

Sekitar 81 peratus responden berkata mereka mengambil bahagian dalam sukan dan senaman kerana inginkan kesihatan fizikal yang lebih mantap; manakala 35 peratus berbuat demikian bagi tujuan kesihatan mental yang lebih baik.

Ini disusuli pula dengan sebab ingin kelihatan cantik atau rasa senang (28%), minat pada sukan (26%) dan kurang aktif kerana terlalu banyak duduk (12%).

Merentasi semua lapisan usia, kesihatan fizikal yang lebih baik juga adalah pendorong utama untuk bersukan dan bersenam, kata SportSG.

Ini berdasarkan peratusan tinggi bagi sebab tersebut dalam kalangan warga tua berusia 60 tahun dan ke atas (90%); dewasa dalam pertengahan usia antara 40 hingga 59 tahun (85%); dewasa muda berusia 20 hingga 39 tahun (75%); dan belia berusia 13 hingga 19 tahun (73%).

NSPS 2022 turut menunjukkan bahawa terdapat kenaikan dari segi kegiatan luar dan yang tidak bergantung kepada kemudahan, ketika di tengah-tengah langkah pengurusan selamat Covid-19.

Lima kegiatan teratas dalam kalangan warga Singapura pada 2022 adalah berjalan kaki (40%), berlari-lari anak (29%), kalistenik (15%), berbasikal (11%), dan berenang (9%).

Kalistenik ialah senaman yang membantu menegangkan dan meregangkan otot-otot badan.

Kegiatan yang disertai turut berkembang mengikut peringkat hidup seseorang.

Menurut NSPS, golongan belia memilih untuk bergiat dalam kegiatan berintensiti tinggi seperti badminton, bola keranjang dan bola sepak.

Sementara itu, kegiatan berintensiti rendah seperti berjalan kaki, qigong dan taici digemari dalam kalangan warga emas.

Penyertaan kanak-kanak dalam sukan dan senaman kekal tinggi, menurut NSPS.

Secara keseluruhan, 87 peratus kanak-kanak berusia antara tiga dengan 12 tahun menyertai kegiatan sukan dan senaman sekurang-kurangnya seminggu sekali pada 2022.

Sekitar 1,000 kanak-kanak mengambil bahagian dalam tinjauan tersebut.

Sejak Ogos 2020, NSPS diperluaskan untuk merangkumi kanak-kanak berusia tiga hingga 12 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SportSG, Alan Goh, semasa sesi penglibatan media di OCBC Lounge, Stadium Negara pada Selasa, berkata beliau ingin menyaksikan bilangan penyertaan warga Singapura dalam sukan dan senaman terus meningkat.

“Kami melihat banyak penyertaan semasa pandemik kerana ramai orang mempunyai masa dan inginkan akses kepada kemudahan. Jadi, melangkah keluar daripada pandemik dalam beberapa tahun mendatang, kami mahu melihat corak tingkah laku yang sebenar ketika orang ramai kembali ke pejabat.

“Tetapi, secara objektif, kami mahu melihat lebih banyak penggunaan kemudahan sukan… yang dapat memberi manfaat kepada individu dan juga sistem penjagaan kesihatan kita.”

Tiga kegiatan sukan dan senaman teratas berdasarkan peringkat usia:

  1. Belia (13-19 tahun): Berlari-lari anak (50%), badminton (21%) dan berjalan kaki (21%)
  2. Dewasa muda (20-29 tahun): Berlari-lari anak (42%), berjalan kaki (30%) dan berbasikal (12%)
  3. Dewasa pertengahan usia (40-59 tahun): Berjalan kaki (47%), berlari-lari anak (26%) dan kalistenik (14%)
  4. Warga emas (60 tahun dan ke atas): Berjalan kaki (52%), kalistenik (23%) dan senaman lain menggunakan peralatan (9%)
Laporan berkaitan
Pusat Sukan Delta dibuka semulaMay 29, 2023 | 6:25 PM
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg