Sembilan pemain bola sepak muda Singapura bakal berlatih dan belajar di Sepanyol dan Amerika Syarikat setelah dianugerahi Biasiswa Bola Sepak Luar Negara Unleash The Roar! (UTR!).
Golongan atlet-pelajar itu, yang terdiri daripada enam lelaki dan tiga perempuan berusia 14-17 tahun, membentuk kohort kedua biasiswa itu.
Mereka ialah Charis Han En, 17 tahun; Charlotte Chong, 17 tahun; Nadila Nur Danisha, 16 tahun; Miguel Garcia, 15 tahun; Lukyan Tan, 15 tahun; Putera Nur Muhammad Irfan Ismail, 14 tahun; Gavriel Lai, 14 tahun; Chia Wayne Hon, 13 tahun; dan Aidan Irfan, 14 tahun.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, menyampaikan biasiswa UTR! kepada sembilan penerima baru itu dalam satu majlis di Hab Bola Sepak Kallang, pada 29 Julai. Acara itu turut dihadiri bekas pemain nasional dan wakil daripada kelab dan akademi bola sepak tempatan.
Biasiswa UTR! menyediakan peluang kepada pemain bola muda yang berbakat di tanah air untuk belajar, berlatih dan bersaing di luar negara di bawah program pembangunan bola sepak yang mantap di institusi ternama.
Ia dilancarkan pada Ogos 2023, dengan kumpulan penerima biasiswa pertamanya merangkumi lapan pemain – enam perempuan dan dua lelaki yang ke Akademi IMG di Amerika Syarikat dan ESC La Liga & NBA di Sepanyol.
Encik Tong, dalam ucapannya, berkongsi bahawa kohort sulung biasiswa itu “telah meraih manfaat daripada pengalaman itu dan menyumbang kembali kepada pasukan nasional masing-masing”.
Beberapa pemain perempuan telah mendapat panggilan pertama mereka dalam skuad senior wanita nasional, manakala pemain lelaki memainkan peranan penting dalam pasukan belia nasional, kata beliau.
Selain itu, penerima biasiswa berpeluang menarik tumpuan perekrut kolej dan pencari bakat dari universiti Amerika dan kelab Eropah.
Misalnya, beberapa pemain perempuan di Akademi IMG telah beraksi dalam kejohanan, yang kerap dihadiri jurulatih dan pencari bakat dari kolej di Amerika, ujarnya lagi.
Dua daripada mereka juga berjaya mendapat tempat dalam ‘Honour Society’ bagi pencapaian akademik mereka, tambah Encik Tong.
Justeru, dengan kejayaan kumpulan pertama biasiswa itu, beliau berkata UTR! sentiasa menilai dan mencari rakan kongsi luar negara lain yang akan menyediakan persekitaran latihan harian yang optimum untuk bakat muda Singapura, sambil membenarkan mereka terus menceburi bidang akademik.
Encik Tong menambah: “Bola sepak sentiasa berkembang; untuk kekal bersaing dengan permainan moden, kami tidak akan teragak-agak untuk membuat perubahan pada kaedah pendekatan kami.”
Dua rakan kongsi baru di bawah Biasiswa UTR! turut diumumkan pada 29 Julai iaitu kelab berpangkalan di Madrid, Rayo Alcobendas CF, yang mempunyai rekod prestasi yang baik untuk mengasah bakat; dan King’s College Soto de Vinuelas, sekolah antarabangsa Britain di Madrid.
Bagi kohort 2024, penerima biasiswa akan sama ada berlatih dan belajar di Akademi IMG di Amerika atau berlatih di Rayo Alcobendas CF sambil belajar di King’s College Soto de Vinuelas di Madrid, Sepanyol.
Antara mereka ialah Nadila, yang menantikan peluang untuk berlatih dan belajar di Sepanyol. Pelajar Sekolah Menengah Woodlands itu sebenarnya pernah menjadi calon untuk Biasiswa UTR! pada 2023 tetapi akhirnya tidak terpilih.
Enggan berputus asa, beliau bangkit untuk memburu cita-citanya.
Nadila, pemain Bawah 19 Tahun wanita nasional Singapura, berkata: “Walaupun saya kecewa kerana terlepas peluang mendapat biasiswa tahun lepas, saya kini faham bahawa segala-galanya berlaku dengan sebab.
“Tahun ini, saya lebih bersedia untuk mengejar impian saya. Saya benar-benar bersyukur atas peluang kedua ini untuk mempamerkan potensi dan semangat saya.”
Penerima biasiswa 2024 dipilih daripada senarai pendek awal seramai kira-kira 30 calon, berikutan penilaian awal daripada Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dan Sekolah Sukan Singapura.
Calon kemudian diperhatikan semasa sesi latihan dan pertandingan serta dinilai keupayaan dan potensinya.
Daripada senarai pendek itu, kumpulan pemain yang lebih kecil telah dijemput untuk mengadakan temu bual dengan jawatankuasa eksekutif UTR! sebelum tawaran biasiswa dibuat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg