Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Irsalina bantu skuad U-19 Akademi IMG juarai Piala Negeri Florida

May 27, 2024 | 12:52 PM
Pemain Singapura, Irsalina Irwan, memegang trofi kejuaraan Piala Negeri Persatuan Bola Sepak Belia Florida (FYSA) bagi musim 2023-24 bersama pasukan Perdana Bawah 19 Tahun (U-19) Perempuan Akademi IMG pada 29 April.
Pemain Singapura, Irsalina Irwan, memegang trofi kejuaraan Piala Negeri Persatuan Bola Sepak Belia Florida (FYSA) bagi musim 2023-24 bersama pasukan Perdana Bawah 19 Tahun (U-19) Perempuan Akademi IMG pada 29 April. - Foto ihsan IRSALINA IRWAN

Pengembaraan pemain bola sepak Singapura, Irsalina Irwan, ke luar negara bertujuan untuk mengembangkan potensi dan mengasah bakatnya. Tetapi, dalam usaha meningkatkan prestasinya di Amerika Syarikat, pemain pertahanan itu juga berjaya menjadi sebahagian sejarah dan mengharumkan nama negara.

Pada 29 April, Irsalina, 17 tahun, merangkul takhta juara Piala Negeri Persatuan Bola Sepak Belia Florida (FYSA) bagi musim 2023-24 bersama pasukan Perdana Bawah 19 Tahun (U-19) Perempuan Akademi IMG. Kemenangan itu merupakan yang pertama dalam tempoh sedekad buat sekolah tersebut.

Berkongsi detik manis itu bersama Berita Harian (BH), Irsalina, berkata:

“Memenangi piala ini amat bermakna buat saya dan rakan sepasukan sebab telah 10 tahun lamanya sejak Akademi IMG kali terakhir menjuarai kejohanan.”

Terdapat dua pasukan untuk pemain U-19 Akademi IMG, iaitu pasukan Elit dan Perdana. Skuad Elit terdiri daripada hanya pemain tempatan, manakala skuad Perdana diwakili gabungan pemain antarabangsa dan tempatan.

“Saya rasa gembira dapat mencipta semula sejarah itu untuk pasukan. Ia juga detik membanggakan kerana sebahagian besar pemain dalam pasukan adalah pemain senior,” ujarnya lagi. 

Pencapaian itu diraih Irsalina kurang setahun sejak beliau menyertai Akademi IMG selepas menerima Biasiswa Unleash The Roar! (UTR) pada Ogos 2023. UTR ialah pelan jangka panjang untuk meningkatkan ekosistem bola sepak Singapura dan menyokong aspirasi bersama negara dalam bola sepak.

Irsalina dan tujuh lagi pemain belia membentuk kumpulan pertama penerima Biasiswa UTR, yang sama ada telah menyertai Akademi IMG atau Akademi ESC LaLiga di Sepanyol.

Bulan-bulan pertamanya menjalani latihan sambil belajar dalam Akademi IMG dianggap sukar, kongsi Irsalina. Beliau harus mengatasi cabaran menyesuaikan diri pada perbezaan masa antara Amerika dengan Singapura di samping bermain dengan pemain yang lebih berpengalaman dalam pasukan.

“Ketika kali pertama saya berada di sini, saya mengalami jet lag (kesan akibat penerbangan jauh) dan badan saya benar-benar rasa letih,” katanya. Perbezaan masa antara Amerika dengan Singapura adalah 12 jam.

“Saya ingat lagi saya masuk tidur seawal 6 petang (6 pagi waktu Singapura). Ia sukar sekali... pada hari pertama latihan, saya tidak dapat fokus dan kepala saya rasa pening,” ceritanya.

Kecekalan menjalani latihan bermakna tahap fizikal Irsalina juga bertambah baik sepanjang sembilan bulan ini. Beliau kini dapat bersaing dalam perlawanan yang berintensiti tinggi (HIIT).

Setiap dua kali seminggu, beliau akan ke gimnasium untuk menjalani sesi meningkatkan kekuatan dan kecergasan yang dilakar jurulatih. Ini ditambah dengan sesi latihan sendiri seperti kemahiran teknikal mengawal bola, latihan HIIT dan larian, yang dipantau bapanya, Encik Irwan Isnin, dari Singapura.

“Saya berkongsi perjalanan saya dengannya kerana dia juga adalah jurulatih saya. Dia sangat menyokong perkembangan saya. Walaupun ada perbezaan masa, saya akan tetap menunggu responnya supaya dia dapat membantu memperbaiki latihan saya,” kata Irsalina.

Berbekalkan pengalaman di Amerika, Irsalina seterusnya melahir matlamat membantu pasukan nasional wanita Singapura meraih kemenangan dalam perlawanan persahabatan menentang Indonesia di Jakarta pada 28 Mei.

Beliau menyertai semula skuad jurulatih Karim Bencherifa selepas kali terakhir beraksi untuk pasukan Singa wanita dalam Sukan Asia Hangzhou pada September 2023. 

Teruja untuk kembali menyarung jersi Singapura, Irsalina, yang sudah enam kali diturunkan dalam skuad senior negara, menambah:

“Saya berharap dapat menggunakan kekuatan fizikal dan kemahiran teknikal yang saya peroleh untuk membantu pasukan mencatatkan kejayaan. Saya akan berusaha aksi sebaik mungkin.”

Selain Irsalina, tiga lagi penerima Biasiswa UTR dipanggil dalam skuad seramai 23 pemain Singapura untuk perlawanan ini ialah Ardhra Arul Ganeswaran dan Chloe Koh (Academi IMG), dan Natasha Naszri (Akademi ESC La Liga).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg