Permulaan pertandingan renang terbuka, atau di laut, dalam Kejohanan Akuatik Dunia (WCH) telah ditangguhkan sehari disebabkan kebimbangan terhadap mutu air di Sentosa, menurut penganjur acara tersebut pada 15 Julai.
Acara perlumbaan renang terbuka, acara yang diadakan di luar kolam renang atau open water swimming, 10 kilometer (km) wanita, yang dijadual menjadi acara pembukaan program renang pada pagi 15 Julai, kini akan diadakan sehari kemudian.
Seramai 69 atlet dijangka bertanding dalam acara pertama pertandingan tersebut.
Acara perlumbaan wanita tersebut, kini akan berlangsung pada hari sama dengan perlumbaan 10km lelaki, iaitu pada 16 Julai, lapor The Straits Times (ST).
Acara lain – perlumbaan 5km lelaki dan wanita (18 Julai), renang pecut pusingan penyingkiran 3km (19 Julai), dan renang berganti-ganti campuran 4x1,500m (20 Julai) – dijangka diteruskan seperti yang dijadualkan.
Dalam satu kenyataan, badan pentadbir sedunia bagi sukan renang, World Aquatics, berkata dengan kerjasama Jawatankuasa Penganjur Singapura 2025, keputusan dibuat untuk menangguhkan acara renang terbuka 10km wanita, “disebabkan tahap mutu air melebihi ambang batas yang boleh diterima.”
Penangguhan tersebut diumumkan kurang lapan jam sebelum acara tersebut dijangka bermula, iaitu pada 8 pagi, 15 Julai.
Keputusan tersebut dibuat selepas semakan melibatkan World Aquatics, Jawatankuasa Penganjur Singapura 2025, Jawatankuasa Perubatan Sukan World Aquatics, serta Jawatankuasa Teknikal Renang Air Terbuka World Aquatics.
Menurut kenyataan tersebut, ujian kualiti air di lokasi sejak beberapa hari lalu, secara konsisten memenuhi piawaian World Aquatics.
Namun, sampel air yang diambil pada 13 Julai menunjukkan mutu air di lokasi melebihi ambang batas yang boleh diterima.
Dalam kenyataan tersebut, World Aquatics menambah:
“Keputusan menangguhkan perlumbaan ini dibuat demi kepentingan kesihatan dan keselamatan atlet, yang kekal sebagai keutamaan World Aquatics dan Jawatankuasa Penganjur Singapura 2025.”
Sampel air berikutnya dan semakan lanjut akan terus dijalankan di lokasi pertandingan.
World Aquatics dan Jawatankuasa Penganjur Singapura 2025 akan menilai sama ada keadaan cukup selamat untuk meneruskan acara, seperti yang dijadualkan.
Ini bukan kali pertama isu mutu air menjejas acara sukan antarabangsa utama.
Pada Sukan Olimpik Paris 2024, acara triatlon lelaki ditangguhkan hanya beberapa jam sebelum ia dijangka bermula, selepas satu pemeriksaan pada 3.30 pagi di Sungai Seine mendapati tahap pencemaran yang terlalu tinggi untuk perenang.
Aktiviti renang di Sungai Seine telah dilarang selama lebih satu abad disebabkan pencemaran air.
Menjelang Sukan Olimpik tersebut, bandar Paris telah melancarkan inisiatif pembersihan bernilai 1.4 bilion euro ($2.09 bilion) untuk memastikan sungai tersebut selamat digunakan bagi pertandingan semasa temasya tersebut.
Ini menyusuli kebimbangan berpanjangan bahawa kebocoran dari sistem kumbahan bandar itu telah mengalirkan air buangan dan bakteria ke sungai tersebut, menjadikannya tidak bersih dan tidak selamat digunakan bagi kegiatan renang.
Kejohanan Akuatik Dunia 2025, yang julung kalinya dianjurkan di Singapura, bermula secara rasmi pada 11 Julai dengan pertandingan polo air di Pusat Akuatik OCBC.
Kejohanan tersebut merangkumi enam sukan - renang, terjun, terjun tinggi, renang artistik, polo air, dan renang air terbuka.
Lebih 2,500 atlet dari lebih 200 negara dan wilayah dijangka menyertai kejohanan tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg