Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kejohanan Akuatik Dunia cetus inspirasi bagi atlet generasi baru S’pura

Perenang S’pura, Gan Ching Hwee, imbau kenangan kongsi kolam renang dengan pemenang sembilan pingat emas OIimpik, Katie Ledecky dari Amerika
Jul 10, 2025 | 3:44 PM
Gan Ching Hwee, Katie Ledecky, Kejohanan Akuatik Dunia
Perenang Singapura, Gan Ching Hwee, mengimbau kembali kenangan beraksi dalam acara yang sama dengan idolanya, perenang veteran Amerika, Katie Ledecky, pada 2022. - Foto ST

Perenang Singapura, Gan Ching Hwee, masih ingat detik beliau berkongsi kolam renang dengan perenang jarak jauh, Katie Ledecky, pemenang sembilan pingat emas Olimpik dan 21 kejuaraan dunia.

Ia berlaku pada 2022 di Kejohanan Renang Dunia di Indianapolis, Amerika Syarikat, di mana mereka berdua bersaing dalam acara 800 meter (m) gaya bebas peringkat akhir wanita.

Ledecky dari Amerika mencipta rekod dunia baru dengan 7 minit 57.42 saat. 

Ketika itu, Gan berusia 19 tahun dan mencatatkan rekod kebangsaan 8:22.91.

Memetik penulis Napoleon Hill, Gan merumuskan pertemuan yang mengagumkan itu dan kehebatan Ledecky sebagai: “Apa sahaja yang boleh difikirkan dan dipercayai oleh manusia, ia boleh dicapai.”

Berkongsi pengalamannya, Gan berkata: “Saya berada di lorong yang paling dekat dengan penonton dan saya dapat merasakan bunyi (sorakan penonton) itu walaupun dalam air. 

“Ia memberikan saya sedikit dorongan dan mengingat kembali tujuan sebenar saya untuk menamatkan perlumbaan itu, kerana saya tahu sesuatu yang istimewa sedang berlaku dengan semangat penonton ketika itu,”

Gan turut terdorong untuk melakukan yang terbaik dan percaya bahawa beliau boleh mencapai cita-citanya.

“Pada masa yang sama, berada dekat dengan seseorang yang begitu hebat membolehkan saya melihat bahawa mereka juga seperti manusia biasa. 

“Semuanya ada di dalam minda, untuk mempercayai bahawa anda boleh mencapai apa yang anda mahu capai,” tambah Gan. 

Didorong pertemuan bersama idolanya itu, Gan melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 dan mencipta dua rekod kebangsaan dalam acara 800m (8:32.37) dan 1,500m (16:10.13), lapor The Straits Times (ST). 

Seperti yang dikongsikan Gan, tiada apa yang boleh menandingi peluang melihat para atlet beraksi secara dekat.

Warga Singapura telah berpeluang menyaksikan beberapa acara sukan terbesar di dunia secara langsung dengan negara ini pernah menjadi tuan rumah bagi beberapa kejohanan antarabangsa.

Antaranya termasuk Sukan Olimpik Belia 2010 (YOG) yang julung-julung kalinya diadakan, acara golf Kejohanan Dunia Wanita HSBC sebanyak 17 kali, 15 perlumbaan Formula Satu (F1), lima Kejohanan Peringkat Akhir Persatuan Tenis Wanita (WTA) dan empat edisi tenis meja Smash Singapore, serta acara serantau seperti Sukan SEA 2015.

Dengan perenang, penerjun, perenang artistik dan pemain polo air terkemuka dunia bersedia untuk bersaing di Kejohanan Akuatik Dunia (WCH) dari 11 Julai hingga 3 Ogos di Singapura, acara itu boleh memberi inspirasi kepada atlet generasi baru negara ini.

Penerjun China dan juara dunia lapan kali, Wang Zongyuan, bersedia untuk memukau penonton dengan aksi hebatnya di Pusat Akuatik OCBC, manakala perenang artistik dan juara bertahan duet campuran, Nargiza Bolatova dan Eduard Kim dari Kazakhstan, bakal memukau penonton dengan rutin teknikal mereka.

Rekod dunia dalam sukan renang dijangka berlaku di WCH, dengan Ledecky dan juara Olimpik, Leon Marchand dari Perancis, menyasarkan untuk mencipta kejayaan di Singapura. 

Bagi sukan polo air, penonton boleh menjangkakan pertarungan sengit antara pasukan bertenaga seperti Serbia, Croatia dan Sepanyol.

Di Sentosa pula, perenang maraton Brazil, Ana Marcela Cunha, dan penerjun tinggi Australia, Rhiannan Iffland, akan memukau penonton dengan kehebatan mereka dalam acara masing-masing. 

Dalam tempoh tiga minggu akan datang, tidak akan ada kekurangan semangat ‘kuasa bintang’ kerana kira-kira 2,500 atlet dari lebih 200 negara bakal berkumpul di negara ini untuk bersaing merentasi enam sukan akuatik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg