Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Acara Sukan SEA di Songkhla dipindahkan ke Bangkok demi keselamatan atlet

Beberapa persatuan sukan setempat tunggu kemas kini SNOC sebelum ambil langkah lanjut
Nov 27, 2025 | 4:09 PM
Sukan Sea, dipindahkan
Kabadi antara 10 sukan yang terjejas oleh pemindahan acara Sukan SEA 2025 dari Songkhla ke Bangkok, selepas kawasan itu dilanda banjir teruk. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Acara temasya Sukan SEA 2025 yang dijadualkan berlangsung di Songkhla akan dipindahkan ke Bangkok akibat banjir besar yang melanda kawasan itu.

Keputusan itu menyusuli kebimbangan terhadap keadaan bahaya di tempat pertandingan serta risiko penularan penyakit di daerah selatan Thailand, yang dilanda banjir besar terburuk dalam beberapa tahun.

Songkhla merupakan salah satu daripada tiga kawasan utama, selain Chonburi dan Bangkok, yang sepatutnya menjadi tuan rumah untuk Sukan SEA pada 9 hingga 20 Disember.

Sebanyak 10 sukan – pencak silat, catur, judo, karate, kabadi, muay thai, wushu, gusti, petanque dan bola sepak (Kumpulan B) – terjejas.

Timbalan setiausaha agung Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Thailand, Encik Chalitrat Chantarubeksa, telah menerima pengesahan daripada naib presiden Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Thailand, Encik Chaiyapak Siriwat.

Keputusan untuk memindahkan acara tersebut dibuat selepas satu mesyuarat dengan wakil daripada pelbagai negara dalam Jawatankuasa Sukan SEA, serta Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Encik Atthakorn Sirilatthayakorn.

Dengan kurang daripada dua minggu sebelum Sukan SEA 2025 bermula pada 9 Disember, semua wakil negara menyuarakan kebimbangan mengenai sama ada tempat pertandingan – terutamanya di bandar sukan utama daerah selatan Thailand, Pru Kang Khao – dapat diperbaiki tepat pada masa untuk menganjur temasya sukan antarabangsa.

Beberapa wakil negara turut menyuarakan kekhuatiran terhadap risiko penularan penyakit di kawasan terjejas setelah banjir merosot, yang mampu menjejas kesihatan atlet.

Hat Yai, yang sepatutnya menjadi lokasi acara karate dan gusti, menyaksikan hujan 335 milimeter pada 21 November, jumlah hujan harian tertinggi yang pernah direkodkan dalam tempoh 300 tahun.

Apabila Berita Harian (BH) meminta kemas kini tentang situasi itu pada 26 November, seorang jurucakap Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) berkata:

“Kami telah menerima maklumat awal bahawa penganjur sedang meneliti pilihan alternatif untuk menjadi tuan rumah bagi acara sukan yang terjejas di Songkhla.

“Sementara menunggu keputusan rasmi, kami menghargai segala usaha pihak di Thailand yang sedang bertungkus-lumus menangani keadaan.

“Situasi ini amat dikesali, dan kami memahami cabaran mendesak yang mereka hadapi dalam membantu mereka yang terjejas akibat banjir. Kami berharap keadaan akan stabil dengan segera dan penyelesaian yang sesuai dapat diputuskan.”

Semasa dihubungi untuk mendapatkan respons mengenai perubahan itu, beberapa persatuan sukan seperti Persatuan Kabadi Tengah Singapura (KACSG) dan Persekutuan Silat Singapura (Persisi) berkata mereka sedang menantikan kemas kini daripada SNOC atau Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Thailand sebelum mengambil langkah seterusnya.

Sementara itu, Encik Chalitrat turut menekankan bahawa Thailand perlu mempertimbangkan memberi pampasan kepada negara lain atas kos menempah penerbangan dan penginapan di Songhkla yang telah ditanggung.

Walaupun banjir tersebut merupakan kejadian yang tidak dijangka, Encik Chalitrat berkata selaku tuan rumah yang bertanggungjawab, kerajaan Thailand akan meneliti cara terbaik untuk memberi pampasan kepada setiap negara, serta mengawal kesan yang timbul .

Jurucakap kerajaan Thailand, Encik Siripong Angkasakulkiat dilaporkan sebagai berkata bahawa banjir di tujuh kawasan telah meragut 33 nyawa sehingga 26 November.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg