Apabila atlet daripada latar belakang dan keupayaan berlainan berkongsi gelanggang badminton yang sama, matlamatnya bukan sekadar untuk menentukan siapa menang atau kalah.

Sebaliknya, ia menjadi wadah untuk membina keyakinan, memupuk persahabatan dan mengubah cara masyarakat melihat golongan keperluan khas.

Itulah antara mesej utama yang ingin disampaikan oleh Presiden Antica Community Development and Services Limited (ACDS), Dr Mohamad Maliki Osman, di sebalik penganjuran OneSG61 with Antica, yang menggabungkan sambutan Hari Kebangsaan dengan pertandingan ANTICA Singapore International Challenge 2026 di Perennial Business City yang terletak di Daerah Tasik Jurong.

Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong, juga hadir sebagai tetamu terhormat acara itu pada 23 Ogos.

Pertandingan yang berlangsung dari 18 hingga 23 Ogos di WYSE Active Hall merupakan kejohanan yang diiktiraf Badminton Asia dan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), dengan hadiah wang tunai AS$33,800 ($42,869).

Namun, di sebalik kehadiran pemain antarabangsa dan Singapura, satu aspek yang mencuri perhatian ialah usaha membawa atlet dan individu keupayaan berbeza ke pentas yang sama.

Bagi Dr Maliki, acara tersebut mencerminkan bagaimana masyarakat seharusnya membina ruang yang lebih terangkum.

“Bagi ACDS, keterangkuman bukan sekadar mengundang seseorang kepada sesuatu acara.

“Ia adalah untuk memahami apa yang mereka perlukan daripada lensa dan perspektif mereka sendiri dan melibatkan mereka dalam membentuk penyelesaian,” katanya.

Pengarah Eksekutif ACDS, Encik Dixon Lim, juga menekan keperluan berbeza golongan memerlukan, tetapi tegaskan bahawa mereka akhirnya mempunyai matlamat yang sama.

“Walaupun kumpulan ini mempunyai keperluan yang berbeza, mereka semua berkongsi satu aspirasi yang sama: untuk dilihat, dihormati dan diterima sebagai sebahagian daripada masyarakat,”

“Sempena kita meraikan ulang tahun ke-61 Singapura, kita diingatkan bahawa kemajuan negara ini bukan sahaja harus diukur berdasarkan sejauh mana kita telah melangkah, tetapi juga berdasarkan berapa ramai yang kita bawa bersama dalam perjalanan ini,” ujar Encik Lim.

Konsep itu turut diterapkan dalam kerjasama ACDS bersama Persatuan Golongan Kurang Daya Intelek Singapura (Minds), dengan karya dan bahan kreatif karnival serta kejohanan dihasilkan secara bersama.

Dr Maliki juga berkata sukan mempunyai keupayaan unik untuk meruntuhkan batas yang sering wujud antara kelompok masyarakat.

“Apabila seorang atlet muda berkongsi gelanggang dengan atlet yang mempunyai keupayaan berbeza, perkara pertama yang dilihat bukan label – mereka melihat seorang rakan sepasukan, pesaing dan seorang insan yang sedang berusaha melakukan yang terbaik.”

“Ia juga wadah yang baik untuk memastikan mereka kekal rendah hati,” katanya.

Dr Maliki berharap masyarakat juga tidak melihat penyertaan atlet daripada Olimpik Istimewa Singapura dan Kelab Badminton Austisme (Team ABC) sebagai sekadar sebahagian daripada acara inklusif.

“Kami berharap orang ramai melihat mereka bukan sekadar peserta dalam pertunjukan inklusif, tetapi sebagai atlet,”

“Apabila mereka berkongsi pentas yang sama dengan pesaing arus perdana, ia menghantar mesej yang sangat kuat: ada ruang untuk semua dalam sukan,” ujarnya.

Bagi Dr Maliki, matlamat akhirnya adalah supaya semangat inklusif ini tidak hanya kelihatan apabila sesuatu acara khas dianjurkan.

“Sifat inklusif akhirnya perlu berlaku dalam kehidupan seharian, bukan hanya pada acara yang direka khas.

“Kami mahu melihat masyarakat di mana orang memahami dan mengenali keperluan jiran mereka – sama ada jiran itu warga emas, individu kurang upaya, seseorang yang sedang membina semula kehidupannya selepas dipenjarakan, atau anak muda yang sedang mencari peluang.”

“Matlamatnya ialah supaya semangat inklusif menjadi sebahagian daripada cara masyarakat kita berfungsi secara semula jadi, dan bukan sesuatu yang hanya berlaku pada hari istimewa,” ujarnya.