Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

ACL2: LCS tundukkan Persib 3-2

Nov 26, 2025 | 10:41 PM
Penyerang Lion City Sailors (LCS), Shawal Anuar (kiri), menjaringkan gol penyamaan perlawanan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) menentang Persib Bandung di Stadium Bishan pada 26 November. Kemenangan itu bermakna nasib LCS ke pusingan seterusnya bergantung pada perlawnaan terakhir Kumpulan G pada 10 Disember.
Penyerang Lion City Sailors (LCS), Shawal Anuar (kiri), menjaringkan gol penyamaan perlawanan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) menentang Persib Bandung di Stadium Bishan pada 26 November. Kemenangan itu bermakna nasib LCS ke pusingan seterusnya bergantung pada perlawnaan terakhir Kumpulan G pada 10 Disember. - Foto INSTAGRAM LION CITY SAILORS

Kemenangan 3-2 Lion City Sailors (LCS) ke atas Persib Bandung di Stadium Bishan pada 26 November bermakna pasukan tuan rumah masih berpeluang untuk ke pusingan selanjutnya Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).

Namun ini bergantung kepada keputusan pada perlawanan akhir bagi Kumpulan G.

Dalam perlawanan yang kebanyakannya dikawal pasukan pelawat, jaringan Lennart Thy, Shawal Anuar dan Anderson Lopes, memastikan peluang LCS tetap ada.

Pasukan bimbingan Aleksandar Rankovic itu bermula dengan hebat, membuka tirai jaringan apabila penyerang LCS, Lennart Thy, menjaringkan gol buat pasukan tuan rumah.

Lennart mengawal rapi hantaran jauh daripada Lionel Tan, sebelum menghasilkan penyudah kemas untuk meletakkan pasukannya di hadapan pada minit kelapan.

Namun, LCS hanya dapat menikmati kelebihan itu kurang dari tiga minit, apabila Persib menyamakan kedudukan.

Hasil tendangan sudut pasukan bimbingan Bojan Hodak itu, bola kemudian sampai ke kaki pemain pertahanan Persib, Frans Putros, di luar kotak penalti dan beliau merembat bola masuk ke gawang LCS.

Kededua pasukan yang bermain menghasilkan beberapa peluang, namun tidak memanfaatkannya dengan kemas dan separuh masa pertama berakhir 1-1.

Separuh masa kedua bermula, dan Persib jelas tidak berpuas hati dengan satu mata sahaja.

Pada minit ke-55, hasil hantaran silang pemain tengah Persib, Thom Jan Haye, disambut oleh penyerang Andrew Jung yang menanduk bola masuk ke gawang pasukan tuan rumah bagi meletakkan pasukannya di hadapan 2-1.

Namun, LCS tidak berputus asa, dan usaha mereka membuahkan hasil apabila gol penyamaan diraih hanya lima minit kemudian.

Pemain gantian LCS, Maxime Lestienne menghasilkan hantaran silang ke kotak penalti pasukan lawan, dan disambut Shawal Anuar yang merembat bola masuk ke gawang Persib.

Ternyata semangat juang LCS membantu mereka untuk mendahului perlawanan pada minit ke-70.

Seorang lagi pemain gantian LCS, Hami Syahin, mengawal bola dalam kotak penalti sendiri, lalu menghasilkan larian sebelum mengumpan bola jauh kepada penyerang Anderson Lopes yang berjaya mengawal sebelum menjaringkan gol ketiga buat LCS.

LCS berjaya bertahan dengan jaringan 3-2 sehingga ke wisel penamat dan mendapat tiga mata berharga.

Ini bermakna LCS perlu menang ke atas Selangor, dan Bangkok United pula perlu mengalahkan Persib pada 10 Disember nanti.

Sekiranya keputusan perlawanan-perlawanan tersebut kekal, LCS masih tetap perlu bergantung kepada perbezaan gol bagi melangkah ke peringkat selanjutnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg