Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hassan Sunny tiada niat nak ambil tempat penjaga gawang negara

Tampil jelas salah faham ingin kembali sarung jersi negara selepas Singa berjaya ke Piala Asia 2027
Nov 26, 2025 | 5:48 PM
Penjaga gawang Albirex Niigata, Hassan Sunny
Dalam podcast Kaki Bola Berita Harian (BH) pada 26 November, penjaga gawang Albirex Niigata, Hassan Sunny, menjelaskan bahawa beliau hanya ingin menyumbang dalam meningkatkan prestasi para pemain, dan bukannya menjadi pemain di Piala Asia 2027. - Foto BH oleh KHALID BABA

Menyusuli kekecohan di media sosial mengenai kenyataan bekas penjaga gawang negara, Hassan Sunny, yang dikatakan ingin kembali menyertai Singa, pemain berusia 41 tahun itu tampil memberi penjelasan.

Hassan berkata beliau tidak berniat kembali sebagai pemain, apatah lagi mengambil alih tempat penjaga gawang sedia ada, terutama sekali dengan umurnya yang semakin meningkat.

Penjaga gawang Albirex Niigata itu menjelaskan bahawa niat beliau hanyalah untuk menyumbang dalam meningkatkan prestasi para pemain, misalnya dengan berperanan sebagai sebahagian daripada pasukan sokongan, seperti membimbing penjaga gawang.

Berkongsi demikian dalam podcast Kaki Bola Berita Harian (BH), Hassan berkata:

“Saya tak ada niat langsung untuk bersaing bagi tempat utama atau mengambil alih sesiapa pun. Niat saya ialah mana yang saya boleh bantu pemain, saya ingin bantu.

“Kalau mahu saya jadi sebahagian daripada proses peralihan pasukan, dan ‘push’ (dorong) tiga penjaga gawang yang lain, kenapa tidak?

“Saya tahu, umur saya sekarang 41 tahun dan di Piala Asia (2027) nanti, mungkin 43 tahun. Jadi, macam mana nak main dengan umur begitu?”

Tiga penjaga gawang yang beraksi dalam perlawanan baru-baru ini ialah Izwan Mahbud, 35 tahun, Syazwan Buhari, 33 tahun, dan Rudy Khairullah, 31 tahun.

Sejurus selepas perlawanan Piala Singapura antara Albirex Niigata dengan Tanjong Pagar United pada 23 November lalu, media sosial digemparkan dengan kenyataan Hassan.

Ini selepas beliau mengumumkan persaraannya daripada skuad negara pada Ogos 2024.

Laporan itu menambah, walau diberi pilihan sebagai penjaga gawang keempat, Hassan sedia tampil.

Hal tersebut mencetuskan pelbagai reaksi, dengan ada yang mengatakan bahawa Hassan hanya menyuarakan hasratnya itu selepas Singa mencapai kejayaan bersejarah.

Namun, Hassan menjelaskan bahawa kenyataannya sebagai penjaga gawang keempat itu merupakan gurauan antara beliau dengan jurulatih sementara Singa, Gavin Lee, pada waktu rehat dalam salah satu mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Unleash The Roar.

Malah, menurut Hassan, ia berlaku sebelum pasukan negara berangkat ke Thailand untuk perlawanan persahabatan menentang pasukan itu pada 13 November lalu – sebelum kemenangan 2-1 Singa ke atas Hong Kong.

“Ketika itu, saya bergurau dengan Gavin dan kata ‘kalau kau perlukan nombor empat, tak cukup pemain, cari saya, saya ada dan boleh tolong’.

“Sebenarnya itu cuma satu gurauan, saya ingin katakan ‘kalau anda perlukan bantuan (dalam apa-apa perkara), saya boleh tolong’.

“Kalau anda tanya saya soalan yang sama sebelum mereka dapat kelayakan itu, saya tetap akan jawab perkara sama,” tambahnya.

Hassan menjelaskan, dengan isu yang berlaku ini, beliau ingin pemain muda terutamanya yang berusia 17 hingga 19 tahun, bangkit untuk bersedia mengambil peranan dalam pasukan negara dengan Piala Asia berada di hadapan.

“Apabila soalan itu ditanya kepada seseorang yang berusia 41 tahun, pemain muda harus memandangnya dengan positif dan fikir ‘kenapa soalan itu diajukan kepadanya?’

“Dengan mindset (pola fikiran) ini, pemain akan faham jika ‘Hassan boleh lakukan’, yang lain harus lakukan lebih baik dan juga bersaing,” jelasnya.

Sebelum persaraannya dalam skuad negara, Hassan menyarung jersi Singa selama dua dekad, dengan 21 clean sheet (rekod bersih) dalam 115 perlawanan.

Dalam tempoh itu, beliau meraih kejuaraan Piala AFF 2004 dan 2007, serta pingat gangsa Sukan SEA 2007.

Pada 2016, Hassan diiktiraf akhbar The Daily Telegraph sebagai penjaga gawang terbaik ke-18 di dunia – satu penghormatan yang jarang diperoleh penjaga gawang rantau ini.

Ia meletakkan Hassan antara penjaga gawang elit seperti Petr Cech dan Manuel Neuer.

Memandang ke hadapan, Hassan berkata: “Walaupun saya tahu saya masih boleh menyumbang dan bermain, saya juga perlu tahu, ini bukan masa dan peluang saya.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg