LONDON: Manchester United sedang dalam perbincangan untuk melantik Ruben Amorim sebagai pengurus barunya, menyusuli pemecatan Erik ten Hag, pada 28 Oktober.
Amorim, 39 tahun, belajar menjadi pengurus pasukan bola sepak enam tahun lalu semasa satu latihan amali (internship) di bawah mantan pengurus Manchester United, Jose Mourinho.
Pengurus muda dari Portugal itu didamba oleh beberapa kelab semasa kerjaya pengurusannya yang pendek di negaranya, tetapi sekarang Old Trafford mungkin menjadi pilihannya.
Antara kelab besar yang pernah mengadakan perbincangan dengan Amorim atau yang sering dikaitkan dengannya ialah Liverpool, West Ham dan Manchester City.
Dengan rekod hebat Amorim memimpin Sporting Lisbon merangkul kejuaraan liga pertama mereka dalam 19 tahun pada 2021, dan memenangi kejuaraan kedua pada 2024, adakah Amorim kini bersedia bagi cabaran Liga Perdana?
Hampir layu sebelum kembang
Bekas pemain tengah Benfica dan Portugal, Amorim bersara sebagai pemain pada 2018 dan mula mencipta nama sebagai jurulatih pada tahun berikutnya, apabila prestasi cemerlang bersama pasukan simpanan Braga melayakkannya dinaikkan pangkat sebagai bos pasukan utama.
Dengan pencapaian 10 kemenangan daripada 13 perlawanan, termasuk kemenangan pertama buat Benfica sejak 65 tahun, kelab lebih besar mula tertarik untuk mendapatkan khidmat Amorim.
Sporting begitu tertarik dengan pencapaian Amorim dan sanggup membayar 10 juta euro ($14.3 juta) untuk menjadikannya pengurus mereka pada Mac 2020.
Namun pakar bola sepak Eropah, Guillem Balague, memberitahu BBC Sport: “Kerjaya pengurusannya sebenarnya bermula di Casa Pia, sebuah kelab peringkat ketiga ketika itu, dan ia hampir berakhir sebaik sahaja ia bermula.
“Beliau tewas dalam dua perlawanan pertamanya dan dengan ego tercabar dan rasa sangsi (akan kebolehannya), beliau mengumumkan akan meletak jawatan jika mereka kalah buat kali ketiga.”
Menurut Balague, dalam perlawanan seterusnya, Amorim mengubah strategi dan formasi permainan. Strategi itu menjadi, dan sejak itu, beliau tidak pernah tewas di kelab tersebut. Dari situ, beliau terus maju ke Braga dan kemudian ke Sporting.
Bayaran pemindahan yang dibayar oleh Sporting untuk mendapatkan Amorim adalah yang ketiga tertinggi bagi seorang pengurus, tetapi ia terbukti berbaloi apabila Amorim berjaya membawa kelab itu menjulang Piala Liga Portugal dan menamatkan penantian hampir dua dekad bagi kejuaraan itu.
Menurut Balague, Amorim fasih berbahasa Inggeris dan bahan bacaannya baru-baru ini termasuk buku tentang Pep Guardiola (pengurus City), Mauricio Pochettino (ketua jurulatih pasukan nasional Amerika Syariat) dan Mourinho.
Disenangi ramai
Walaupun Amorim mempelajari selok-belok pengurusan di bawah Mourinho, prinsip yang dipegang mereka jauh berbeza.
Menurut Balague: “Selain (menerapkan) pengajaran daripada bekas jurulatihnya, Jorge Jesus, Amorim meneliti mereka (para pengurus) yang menunjukkan mutu istimewa sebagai pemimpin, termasuk Mourinho.
“Amorim, bagaimanapun, adalah seorang peminat (perlawanan) bola sepak hebat, penuh serangan, dengan banyak gol, penguasaan dan kawalan. Dia disenangi ramai.”
Di Sporting, Amorim sering menggunakan formasi 3-4-3, dengan pasukannya bermain di bawah, dengan bek sayap bergerak menyerang di atas.
Apabila tidak mengawal bola, mereka bermain secara agresif dan apabila mendapat bola, mereka melakukan serangan balas dengan cepat.
Berjaya di Portugal dan mengembalikan keunggulan United, yang kini berada di tangga ke-14 Liga Perdana, adalah dua cabaran yang sangat berbeza.
Justeru, timbul persoalan tentang keupayaan Amorim memulihkan kedudukan United, memandangkan nama-nama besar sebelumnya telah gagal.
Penulis bola sepak Portugal, Marcus Alves, berkata: “Di padang, beliau sentiasa menunaikan apa yang dijanjinya.
“Walaupun penjualan pemain berterusan di pasaran pemindahan, itu tidak menjadi masalah baginya. Di bawah Amorim, tiada pemain tidak boleh diganti atau lebih penting daripada kelab.
“Pekerjaan (memulihkan) Manchester United mungkin kelihatan seperti mustahil sekarang, tetapi begitulah juga keadaannya ketika Sporting Lisbon mengumumkan Amorim sebagai ketua jurulatih mereka pada 5 Mac 2020.
“Yang paling penting, lelaki berusia 39 tahun ini tidak bertolak ansur dengan sikap tidak profesional. Ini adalah lelaki yang meredakan (pemain) pasukan yang kelihatan seperti berperang sesama sendiri pada satu masa dahulu. Jika diberi peluang, pasti beliau berupaya melakukan perkara yang sama sekali lagi.”
Portugal tidak mencabar baginya
Amorim, seorang pengurus yang telah mencapai kejayaan cemerlang semasa mengendalikan kelab di Portugal, dilaporkan sudah bersedia untuk menghadapi cabaran lebih besar dan berpotensi meneruskan langkah ke United.
Walaupun Amorim terkenal dengan kesetiaannya kepada bekas rakan sekerja seperti di Casa Pia, Balague menyimpulkan mungkin Amorim berasa mengendalikan kelab di Portugal sudah tidak lagi mencabar baginya.
“(Amorim) berasa Portugal kini terlalu kecil untuknya dan beliau lebih daripada bersedia untuk melangkah ke kelab lebih besar.
“Kini, beliau lebih matang dan berhasrat mengetahui sama ada pendekatannya berinteraksi dengan pemain, dengan taktik (perlawanan), dengan peminat dan media akan membawanya keluar dari zon selesanya,” kata Balague. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg