LONDON: Liverpool akan meraikan Krismas di puncak Liga Perdana England (EPL) selepas menang 6-3 menentang Tottenham Hotspur, dengan Southampton menduduki tangga terbawah.
Tepat separuh – 16 musim daripada 32 musim – pasukan teratas EPL pada Hari Krismas terus memenangi kejuaraan itu.
Namun rekod Liverpool tidak begitu.
Ini adalah kali ketujuh The Reds menduduki tempat pertama pada 25 Disember, tetapi satu-satunya kejayaan mereka sejak penjenamaan semula liga utama pada 1992 ialah pada musim 2019-20.
Liverpool berada dalam kedudukan ini lebih daripada pasukan lain dalam sejarah bola sepak Inggeris – sebanyak 21 kali, hanya memenangi 11 daripada 20 sebelumnya.
Apabila menduduki tempat pertama beberapa hari sebelum Krismas, Arne Slot berkata: “Ia memberitahu anda kami adalah pasukan yang sangat bagus.
“Masih ada tiga perlawanan lagi sebelum separuh masa liga, namun kami adalah pasukan yang sukar ditewaskan. Jika mudah untuk memenangi liga maka setiap pasukan akan melakukannya.”
Arsenal mendahului carta sempena Krismas buat kali keempat musim lalu, dan seperti tiga kali sebelumnya, ia gagal menjulang trofi.
Sebaliknya Chelsea dan Manchester City – serta pemenang EPL sekali Blackburn Rovers dan Leicester City – memenangi kejuaraan apabila mereka mendahului liga pada peringkat ini.
Terdapat empat kali sebuah pasukan berada di luar kedudukan empat teratas pada Krismas dan memenangi gelaran, termasuk musim lalu.
Manchester City berada di tempat kelima pada masa itu – enam mata di belakang Arsenal, walaupun dengan satu perlawanan dalam tangan, dan menamatkan saingan sebagai juara buat kali keempat berturut-turut.
Pasukan lain yang berbuat sedemikian ialah Manchester United, setelah berada di tempat kelima pada 1996-97; Arsenal (keenam pada 1997-98); dan City kendalian Pep Guardiola (kelapan pada 2020-21).
Kedudukan empat teratas ketika ini merupakan Liverpool, Chelsea, Arsenal dan Nottingham Forest.
Bournemouth, yang menduduki tempat kelima, boleh mendapat tempat bonus Liga Juara-Juara Eropah (UCL) namun ia bergantung kepada prestasi pasukan itu di Eropah musim ini.
Aston Villa di tempat keenam dan Manchester City ketujuh – yang boleh menjadi tempat Liga Europa dan Liga Conference Europa, bergantung kepada siapa yang memenangi Piala Carabao dan Piala FA.
Ipswich, Wolves dan Southampton kini di zon penyingkiran, dengan Wolves dan Southampton bertukar pengurus baru-baru ini.
Agak jarang zon penyingkiran mengandungi tiga pasukan yang sama pada Krismas dan pada hari terakhir, tetapi ia berlaku musim lalu.
Luton, Burnley dan Sheffield United masing-masing di tempat ke-18, ke-19 dan ke-20 pada 25 Disember 2023 dan 19 Mei 2024.
Musim-musim lain tiga terbawah kekal sama (walaupun tidak semestinya dalam susunan yang sama) ialah 2001-02 (Derby, Leicester, Ipswich), 2012-13 (Wigan, QPR, Reading) dan 2020-21 (Fulham, West Brom, Sheffield United).
Southampton kini berada dalam keadaan teruk, ketinggalan lapan mata.
Dua pasukan yang pernah berada dalam 10 teratas pada Krismas dan turun – Norwich, yang berada di tempat ketujuh pada 1994-95; dan Blackpool, yang berada di tempat ke-10 pada 2010-11. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg