Dengan gerakan licik dan penyudah yang tepat, penyerang Geylang International, Tomoyuki Doi, menjaringkan gol ke-39 pada 7 Mac, memecahkan rekod gol terbanyak dalam satu musim Liga Perdana Singapura (SPL).
Rekod sebelumnya dipegang oleh bekas penyerang Singapore Armed Forces FC, Mirko Grabovac, yang menjaringkan 38 gol dalam 33 perlawanan pada 2001.
Namun, prestasi Doi kurang menyerlah dalam perlawanan menentang Albirex Niigata.
Dalam perlawanan tersebut, rakan penyerang Jepun dan bekas pemain Albirex Niigata, Kodai Tanaka, terlibat dalam kesemua empat gol Balestier Khalsa ketika pasukan itu mengalahkan Geylang 4-3 dalam perlawanan penuh drama di Stadium Jalan Besar.
Doi, 27 tahun, berkata kepada The Straits Times (ST) penuh kecewa:
“Ia satu penghormatan untuk memecahkan rekod tersebut, namun saya masih tidak dapat menerima keputusan ini.
“Kami menguasai permainan dengan baik dan kami tahu kami boleh menjaringkan gol.
“Saya cuba untuk mencari posisi yang baik untuk menjaringkan gol dan ia amat mengecewakan untuk tewas dalam perlawanan itu.
“Kami hanya perlu terus maju dan bekerja lebih keras untuk kembali ke jalan kemenangan.
“Memang menarik kalau dapat jaringkan sehingga 50 gol (Doi juga telah menjaringkan lima gol dalam Piala Singapura), dan saya mahu menjaringkan sebanyak mungkin untuk membantu pasukan kami mencapai yang terbaik.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg