Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sailors lanjutkan rentak kemenangan walau jadual perlawanan padat

Pendahului Liga Perdana Singapura belasah Balestier Khalsa 5-1
Feb 24, 2025 | 5:17 PM
Lion City Sailors menikmati kemenangan ketiga mereka dalam lapan hari dengan menundukkan Balestier Khalsa 5-1 pada 23 Februari di Stadium Bishan.
Lion City Sailors menikmati kemenangan ketiga mereka dalam lapan hari dengan menundukkan Balestier Khalsa 5-1 pada 23 Februari di Stadium Bishan. - Foto LION CITY SAILORS

Meskipun pasukan Lion City Sailors menghadapi jadual padat, pendahulu Liga Perdana Singapura (SPL) itu tidak menunjukkan tanda akan memperlahankan rentak mereka.

Pada 23 Februari di Stadium Bishan, Sailors memanjangkan tempoh kemenangan liga mereka kepada enam perlawanan dengan membelasah Balestier Khalsa 5-1, lapor The Straits Times.

Dengan kemenangan ke atas pasukan yang bermain dengan 10 pemain itu, Sailors mengekalkan kelebihan enam mata mereka di puncak liga.

Ia kemenangan ketiga mereka dalam lapan hari, selepas mengalahkan Tanjong Pagar 4-1 pada peringkat kumpulan Piala Singapura pada 16 Februari dan menewaskan Muangthong United 4-0 pada 20 Februari untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia 2 dengan agregat 7-2.

Semangat pemain Sailors tetap tinggi, sikap mereka terus positif, dan mereka tidak mengenal erti letih.

Wira empat gol Sailors, penyerang Lennart Thy, berkata:

“Kami tidak fikir tentang itu (keletihan). Kami mempunyai skuad yang besar. Kami boleh membuat perubahan semasa perlawanan dengan merehatkan beberapa pemain.

“Setakat ini, kami bermain dengan baik.

“Kami mahu teruskan momentum ini dan apa yang penting ialah kami saling mendorong.”

Sailors, juara SPL 2021, sedang berusaha untuk menjuarai SPL kedua mereka sejak menjadi kelab pertama diswastakan dalam liga itu pada 2020.

Walaupun mereka membuat lima perubahan daripada tiga hari lalu – merehatkan penyerang Shawal Anuar, pemain tengah Bart Ramselaar dan kapten Hariss Harun – Sailors masih jauh lebih unggul daripada lawan mereka.

Pengurus Sailors, Aleksandar Rankovic, meluahkan rasa gembira di atas itu.

“Kemenangan berterusan memberi kami banyak rangsangan.

“Sekarang, kami sudah biasa bermain banyak perlawanan... pada masa lalu, kami menghadapi masa yang sukar dengan perlawanan seperti ini selepas Liga Juara-Juara. Tetapi sekarang kami memungutnya (mata),” kata beliau.

Hanya tiga minit diperlukan untuk Thy membuka jaringan apabila beliau menanduk bola hantaran Akram Azman, sebelum Maxime Lestienne menggandakan kelebihan Sailors dengan gol hasil serangan balas pantas pada minit ke-29.

Keadaan menjadi lebih buruk bagi tuan rumah pada minit ke-38, apabila pemain pertahanan, Fudhil I’yadh, dilayangkan kad merah kerana menarik Lestienne apabila pemain Belgium itu mendapat peluang menjaringkan gol.

Thy kemudian menambah gol keduanya pada masa kecederaan separuh pertama dengan sepakan separuh voli cantik dari luar kotak.

Penyerang itu melengkapkan hatrik keduanya dalam musim SPL apabila beliau menyempurnakan peluang dari jarak dekat pada minit ke-50.

Thy menjaringkan gol keempatnya pada minit ke-72 apabila beliau menyambar hantaran Abdul Rasaq untuk dengan yakin melepasi penjaga gol Balestier, Hafiz Ahmad. Ia merupakan gol ke-22 dalam musim SPL.

Balestier memperoleh gol sagu hati pada penghujung perlawanan apabila bekas penyerang Sailors, Kodai Tanaka, menjaringkan gol empat minit sebelum wisel penamat.

Kekalahan berat itu menyebabkan Tigers kekal di tangga kelima, tiga mata di belakang Albirex Niigata, yang berada di tempat keempat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg