Kelab dari Singapura berdepan kemungkinan terus tersisih daripada saingan elit Asia susulan spekulasi mengenai peluasan Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Elite (ACLE).

Namun AFC menegaskan tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini.

Laporan yang tular di media sosial mendakwa edisi 2026–27 ACLE bakal diperluaskan daripada 24 kepada 32 pasukan, dengan pengagihan slot lebih memihak kepada gergasi bola sepak Asia.

Arab Saudi dan Jepun dijangka menerima enam slot setiap satu, manakala Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Korea Selatan pula masing-masing menerima lima slot.

Di rantau Asia Tenggara, Thailand dilihat berpotensi mendapat empat slot, sementara Malaysia dikatakan akan terima dua slot – termasuk satu tempat automatik ke ACLE.

Namun, Singapura tidak tersenarai dalam cadangan tersebut.

Berita Harian (BH) telah menghubungi Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) untuk mendapatkan komen.

Situasi itu turut mencerminkan jurang semakin melebar antara Liga Perdana Singapura (SPL) dengan liga utama Asia, sedang banyak kelab di rantau lain giat melabur bagi meningkatkan prestasi dan keupayaan bersaing di peringkat antarabangsa.

Pasukan Liga Perdana Singapura (SPL), Lion City Sailors (berjersi putih), mengukir sejarah apabila  berjaya ke peringkat akhir Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) pada 25 Mei 2025. Namun, mereka akhirnya tewas kepada Sharjah 2-1.
Pasukan Liga Perdana Singapura (SPL), Lion City Sailors (berjersi putih), mengukir sejarah apabila berjaya ke peringkat akhir Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) pada 25 Mei 2025. Namun, mereka akhirnya tewas kepada Sharjah 2-1. - Foto fail

Bagi musim ini, dua pasukan SPL mewakili Singapura di Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2), pertandingan elit divisyen kedua bagi kelab Asia, satu liga di bawah ACLE.

Lion City Sailors, yang mengukir nama apabila sampai ke peringkat final pertandingan tersebut pada musim sebelumnya, menjalani kempen mengecewakan apabila disingkirkan di peringkat kumpulan.

Di Kumpulan G, mereka mengakhiri kempen di tempat ketiga daripada empat pasukan dalam kumpulan, diatasi kelab wakil Thailand, Bangkok United, dan wakil Indonesia, Persib Bandung.

Wakil Malaysia mengakhiri kempen mereka di tempat terakhir Kumpulan G dengan satu mata.

Satu lagi wakil Singapura, BG Tampines Rovers, pula menghasilkan kempen lebih memberangsangkan.

Mereka berjaya ke peringkat suku akhir, tetapi akhirnya tewas di tangan Bangkok United.

Namun, Tampines mempamerkan prestasi mengagumkan sepanjang kempen, mengakhiri peringkat kumpulan tanpa kekalahan.

Mereka berada dalam Kumpulan H, mengatasi Pohang Steelers, BG Pathum United dan Kaya FC.

Prestasi kelab Singapura di ACL2 juga menimbulkan persoalan tentang jika kesediaan kelab tempatan untuk bersaing di ACLE.

Menurut beberapa laporan, AFC tampil menjelaskan bahawa angka yang tular hanyalah sebahagian cadangan yang sedang dipertimbangkan.

Setiausaha Agung AFC, Windsor Paul John, berkata pihaknya masih menilai beberapa pilihan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Ia hanyalah salah satu cadangan yang dibincangkan. Terdapat beberapa lagi cadangan lain berkaitan peluasan ACLE,” jelasnya.

Beliau menambah, cadangan mahu menambah jumlah pasukan dibuat susulan peningkatan tahap persaingan kelab Asia, khususnya dalam kejohanan peringkat kedua, ACL2.

Perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Bola Sepak Profesional sebelum dibawa ke Jawatankuasa Eksekutif AFC untuk kelulusan akhir.

Menurut Paul John juga, mesyuarat Jawatankuasa Bola Sepak Profesional tersebut akan diadakan pada 24 April.

Difahamkan bahawa pengumuman rasmi tentang perubahan kepada ACLE akan dikeluarkan oleh AFC seawal 24 April atau pada hujung minggu tarikh tersebut.

BH telah menghubungi pihak AFC untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Buat masa ini, meskipun peluasan ACLE dilihat membuka lebih banyak peluang kepada kelab Asia, masa depan penyertaan kelab Singapura dalam saingan elit benua itu masih belum menentu.