Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AGM pertama Persisi tanpa Sheik Alau’ddin berakhir dengan kontroversi

7 ahli gabungan Persisi dilarang sertai AGM; 8 ahli lembaga pengarah baru dipilih
Oct 2, 2024 | 9:04 PM
Sekumpulan individu yang dipercayai wakil ahli gabungan Persekutuan Silat Singapura (Persisi) dilihat di luar Auditorium Blackbox di Hab Sukan Singapura pada 28 September.
Sekumpulan individu yang dipercayai wakil ahli gabungan Persekutuan Silat Singapura (Persisi) dilihat di luar Auditorium Blackbox di Hab Sukan Singapura pada 28 September. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama Persekutuan Silat Singapura (Persisi) sejak bekas ketua pegawai eksekutifnya, Sheik Alau’ddin Yacoob Marican, ditahan atas dakwaan pecah amanah telah diadakan tanpa penyertaan semua ahli gabungan penuh dan berakhir dengan kontroversi.

Tujuh daripada 18 persatuan yang menjadi ahli gabungan penuh Persisi dan berhak mengundi tidak dibenarkan menyertai AGM oleh Persisi selepas ia menjalankan audit dan mendapati mereka tidak layak mengundi.

Wakil tujuh persatuan itu – Persatuan Pancasakti (Singapura), Persekutuan Thang-ta (Singapura), Persekutuan Sukan Zurkhaneh Singapura, Persekutuan Bando Singapura, Persekutuan Kempo Singapura, Persatuan Unifight Singapura dan Persekutuan Vovinam Singapura – tampil di premis AGM Persisi, yang diadakan Auditorium Blackbox di Hab Sukan Singapura pada 28 September, tetapi dihalang masuk.

Akibatnya, empat lagi persatuan – Persatuan Grasio (Singapura), Persaudaraan Seni Silat Setia Hati (Esha) Singapura, Persatuan Pengajar Seni Mempertahankan Diri Singapura (SMAIA) dan Persekutuan Tarung Derajat (Singapura) – telah hilang kelayakan daripada bertanding dalam pilihan raya kerana sokongan mereka datang daripada ahli yang hilang kelayakan, menurut e-mel yang dilihat Berita Harian (BH).

Apabila dihubungi BH, wakil kumpulan tujuh persatuan itu mendakwa mereka telah diperlaku tidak adil dan berhak menyertai AGM sebagai ahli gabungan penuh.

Menjawab pertanyaan BH, seorang jurucakap Persisi berkata laporan juruaudit, Helmi Talib LLP, bertarikh 23 September, mendapati tujuh ahli gabungan penuh tidak memenuhi kriteria kelayakan di bawah Perkara 9.3 perlembagaan Persisi.

“Susulan daripada penemuan juruaudit, tujuh kelab dimaklumkan bahawa mereka tidak memenuhi kriteria ahli penuh di bawah perlembagaan dan tidak berhak untuk mengambil bahagian dan mengundi dalam AGM sebagai ahli penuh.

“Akibatnya, perwakilan yang diberi kuasa dan pengesahan calon oleh tujuh ahli penuh turut dibatalkan,” kata beliau.

“Mereka gagal menyertai pertandingan, latihan, acara atau program Persisi dalam tempoh 12 bulan yang lalu,” ujarnya lagi.

Pemangku presiden SMAIA, Mark Roche, yang mewakili tujuh persatuan yang terlibat, berkata Persisi hanya menganjurkan satu kejohanan pada 2024 iaitu Pesta Sukan pada Julai.

Mereka “menerima jemputan notis yang singkat dan tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk penyertaan”, ujar Roche.

Menambah, Roche berkata tujuh persatuan itu, masing-masing telah membayar yuran tahunan untuk menjadi ahli gabungan Persisi, iaitu $300, lantas memenuhi syarat dalam perlembagaan Persisi.

Berdasarkan dokumen yang dilihat BH, tujuh persatuan itu menerima resit rasmi “Penggabungan Semula Keahlian Biasa untuk 2024” daripada Persisi pada 31 Januari.

Mereka juga mendapat surat rasmi “Pengesahan Gabungan Untuk 2024” daripada Persisi pada 2 Februari lalu.

Semakan oleh BH ke atas rekod yang tersedia secara umum menunjukkan bahawa lapan daripada 11 kelab ini yang hilang kelayakan sama ada menghadiri AGM atau bertanding dalam pilihan raya mempunyai alamat berdaftar yang sama di The Sunflower, sebuah bangunan kediaman di Geylang Road.

Persatuan Grasio (Singapura), salah satu daripada lapan kelab itu, diasaskan oleh Sheik Alau’ddin.

Agensi sukan Singapura, SportSG, dalam responsnya kepada pertanyaan BH, berkata Persisi bertindak mengikut perlembagaannya dan maklum bahawa beberapa ahli gabungan dianggap tidak layak untuk mengundi menjelang AGM.

“Adalah lazim bagi perlembagaan Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) untuk menentukan kriteria keahlian, pengundian dan pencalonan bagi orang yang bertanding untuk jawatan penting.

“Ini memastikan ahli yang berhak mengundi dan membentuk masa depan NSA adalah sebahagian daripada komuniti sukan itu sepenuhnya.

“Kami telah menasihatkan Persisi untuk mematuhi perlembagaannya dan kami berpuas hati bahawa AGM telah dijalankan mengikut perlembagaannya,” kata jurucakap agensi sukan Singapura itu.

Dalam pada itu, Persisi berkata ia telah memilih lapan calon untuk menyertai lembaga pengarah dan mereka akan berkhidmat antara dua hingga empat tahun.

“Anggota Lembaga Pengarah Persisi yang baru dipilih ini akan memutuskan penjawat utama minggu ini, semasa mesyuarat lembaga pengarah,” kata jurucakap Persisi.

Beliau berkata Abdullah Shafiee Mohamed Sidik telah menggalas jawatan presiden Persisi tetapi tidak menamakan tujuh anggota pengarah baru lain.

“Lembaga pengarah semasa memberi tumpuan kepada kemajuan dan pertumbuhan berterusan untuk sukan pencak silat, dan akan membina kekuatan komuniti kita dalam membangunkan sukan ini.

“Presiden Persisi akan memberikan kenyataan mengenai pelantikannya selepas mesyuarat lembaga pengarah,” kata jurucakap Persisi.

AGM Persisi yang ke-37 itu antara lain bertujuan melantik jawatankuasa pengurusan baru kerana tempoh perkhidmatan yang semasa dari 2020 hingga 2024 akan tamat.

Dalam kenyataannya, SportSG menambah ia akan bekerjasama dengan kepimpinan yang baru dilantik, dan mengharapkan fraterniti silat bersatu dalam usaha ini, menggabungkan kepakaran dan semangat mereka untuk memartabatkan sukan itu di peringkat tempatan dan antarabangsa.

SportSG dan Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) pada Disember 2023, telah melantik pasukan pengurusan sementara yang diketuai oleh pengurus besar sementara Persisi, Fairuz Mohamed, untuk menguruskan operasi harian Persisi selepas penyelewengan kewangan ditemui dalam Persisi.

Selain menegakkan piawaian tadbir urus, pasukan itu juga ditugaskan untuk mengekalkan integriti kewangan dalam pentadbiran Persisi dan memastikan atlet silat negara boleh berlatih tanpa sebarang gangguan.

Pada November 2023, Sheik Alau’ddin ditahan atas dakwaan pecah amanah.

Difahami, Sheik Alau’ddin, juara dunia dua kali, dibebaskan dengan ikat jamin.

Siasatan oleh Jabatan Ehwal Komersial sedang dijalankan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg