Akademi Bola Sepak Lion City Sailors (LCS) mendapat rangsangan dalam matlamatnya menjadi hab pembangunan elit di rantau ini, selepas ia diberi anugerah penarafan dua bintang oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 4 Jun.
Gred tersebut adalah sebahagian daripada skim belia elit badan pentadbir bola sepak Asia itu untuk meningkatkan pembangunan bola sepak di negara anggota.
Kelab privet LCS lulus satu penilaian pada April melibatkan lebih 20 kategori prestasi, seperti pentadbiran, kemudahan dan program, selain faktor yang tertumpu pada pemain, contohnya, kebajikan, psikologi dan pendidikan.
Taraf dua bintang itu mengiktiraf sistem pembangunan mantap akademi tersebut bagi pemain belia elit berusia tiga hingga 18 tahun, lapor The Straits Times (ST).
Akademi tersebut memperoleh status satu bintang pada September 2020 – yang pertama bagi institusi Singapura.
Pengerusi LCS, Forrest Li, berkata pencapaian itu adalah “bukti kerja keras akademi ini sejak beberapa tahun lalu untuk memastikan profesionalisme dalam semua bidang, daripada mempunyai kakitangan pakar bagi setiap pasukan kumpulan usia, hingga kepada mewujudkan saluran jelas daripada akademi hingga kepada pasukan pertama”.
Di bawah skim belia elit AFC, 22 akademi kelab bola sepak telah diiktiraf melalui penarafan tiga peringkat.
Tiga lagi akademi di Asia Tenggara mendapat status dua bintang iaitu Akademi Kelab Bola Sepak (FC) Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Akademi NFDP Mokhtar Dahari di Malaysia, dan Akademi FC Chonburi di Thailand.
Dua kelab – Akademi FC Jeonbuk Hyundai Motors di Korea Selatan dan Akademi PVF di Vietnam – meraih status tertinggi tiga bintang pada masa ini.
Akademi Aspire di Qatar, sebahagian pertubuhan nasional negara itu, turut mendapat status tiga bintang yang diidamkan.
Sejak mencapai gred satu bintang empat tahun lalu, akademi LCS membuat penambahbaikan dalam bidang seperti prasarana, pendidikan dan jalinan kerjasama di luar negara.
Pada Julai 2022, ia membuka kemudahan latihan bola sepak yang pertama seumpamanya di Singapura yang dilengkapi bilik fisioterapi, gimnasium, bilik analisis dan kemudahan belajar untuk pelatih akademi.
Selain mempunyai kakitangan pakar seperti pakar psikologi sukan dan pakar pemakanan sepenuh masa yang menyelia setiap pasukan kumpulan usia, ia juga menggunakan alat analisis perlawanan seperti Hudl, alat pengesan kadar degupan jantung dan GPS untuk menyokong pelatih.
Penilai AFC, Withaya Laohakul, yang melawat akademi tersebut pada Mac, berkata:
“Akademi Bola Sepak LCS mempunyai asas baik, termasuk struktur bimbingan yang jelas, pelan pembangunan untuk kelab, falsafah bimbingan dan permainan, profil pemain berdasarkan kedudukan, metodologi latihan, dan kestabilan kewangan.”
Ia juga mempunyai skim untuk pelatih terpilih menjalani perkhidmatan negara selepas tamat pendidikan sekolah menengah.
Apabila pemain kembali ke arena bola sepak, mereka diberi jaminan mendapat kontrak profesional selama empat tahun dengan kelab tersebut.
Nur Muhammad Asis, 20 tahun, daripada kohort pertama, ialah pemain pertama yang menandatangani kontrak profesional.
Lebih 50 pemain berusia dari 13 hingga 16 tahun turut meraih manfaat daripada latihan bermain di luar negara dengan beberapa kelab terkemuka di Eropah seperti Feyenoord, Borussia Dortmund dan Atletico Madrid.
“
(Pencapaian ini adalah) bukti kerja keras oleh akademi ini sejak beberapa tahun lalu untuk memastikan profesionalisme dalam semua bidang, daripada mempunyai kakitangan pakar bagi setiap pasukan kumpulan usia, hingga kepada mewujudkan saluran jelas daripada akademi hingga kepada pasukan pertama.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg