Pasukan Singa wanita berhempas pulas di Stadium Madya Jakarta namun perbezaan ketara dalam kualiti terpampang, apabila Singapura tewas 1-5 kepada Indonesia dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada 28 Mei.
Ini adalah kekalahan kelima berturut-turut bagi pasukan tersebut, di mana mereka meloloskan 33 gol dan hanya menjaringkan satu gol. Ini termasuk kekalahan 0-7 dan 0-10 kepada Korea Utara pada Sukan Asia Hangzhou, September lalu.
Sehari selepas kekalahan kepada pasukan Indonesia yang berada di kedudukan ke-109 dunia, 28 tangga di atas Singapura, jurulatih Singa wanita, Karim Bencherifa memberitahu The Straits Times keputusan baru-baru ini mencetus kebimbangan, walaupun beliau berkata pasukannya dipincang ketiadaan beberapa pemain utama.
Jurulatih yang berasal dari Maghribi itu, yang telah memimpin pasukan mencapai dua kemenangan, satu seri dan lapan kekalahan sejak dilantik dengan kontrak dua tahun pada Mac 2023, berharap dapat memilih skuad yang lebih berpengalaman untuk perlawanan seterusnya di Singapura.
Mengenai keputusan yang malang itu, jurulatih berusia 56 tahun itu berkata: “Sudah tentu ia membimbangkan. Tetapi kami perlu mengambil kira bahawa apabila kami bermain di luar negara, ia sentiasa sukar kerana kami ketiadaan pemain.
“Apabila kami bermain di tempat lawan, kami mempunyai isu ketiadaan pemain sama ada kerana kerja atau sekolah mereka. Sebagai contoh, kami kehilangan Danelle (Tan), pemain penting di barisan hadapan.”
Beliau percaya dengan adanya pasukan yang lengkap, mereka dapat melakukan lebih baik.
Tan yang menyarung jersi Borussia Dortmund di Jerman, beraksi dalam perlawanan terakhir kelab pada 26 Mei, manakala pemain yang berpangkalan di Australia seperti Hazel Lim, Clara Lau dan Stephanie Dominguez, juga terlepas beraksi dengan pasukan nasional kerana masih terikat dengan tuntutan kelab.
Di Singapura, beberapa pemain dari pendahulu Liga Perdana Wanita, Lion City Sailors, juga tidak berjaya menyertai pasukan nasional kerana komitmen sekolah atau kerja.
Mereka termasuk penyerang Raeka Ee, penjaring utama bersama dengan 11 gol, pemain pertahanan Umairah Hamdan, pemain bahagian tengah Sarah Zu’risqha dan penjaga gol Izairida Shakira.
Turut terlepas ialah dua pemain yang merupakan penjaring tempatan kedua terbanyak musim ini dengan enam gol – Josephine Ang, 17 tahun dari Sailors, yang sedang menjalani latihan amali, dan Farah Nurzahirah, 20 tahun dari Geylang International, yang berpotensi untuk beraksi pada masa hadapan.
Tugasan utama Singa wanita pada 2024 adalah untuk menyertai Kejohanan Wanita Persekutuan Bola Sepak Asean, tetapi buat masa ini tiada butiran mengenai tarikh dan lokasi ia akan diadakan.
Karim juga menetapkan matlamatnya buat jangka masa panjang - membina pasukan dengan darah muda yang mampu mendewasa bersama.
Terdapat empat penerima biasiswa Unleash The Roar! dalam skuad ini iaitu; Irsalina Irwan dan Chloe Koh (IMG Academy, Florida), kededuanya berusia 17 tahun, Natasha Naszri (ESC La Liga Academy, Sepanyol), yang berusia 16 tahun dan membuat penampilan pada perlawanan itu, serta Ardhra Arul Ganeswaran (IMG Academy), yang berusia 16 tahun dan merupakan pemain gantian yang tidak digunakan.
Beliau menekankan tentang skuad muda pasukan ini yang memiliki purata umur 23.3 tahun dan berkata: “Satu-satunya jalan adalah ke hadapan. Kami mempunyai pasukan muda yang akan berkembang selepas setiap perlawanan.”
“Pasukan ini bukan sahaja buat masa kini tetapi mungkin 10 tahun akan datang. Selepas perlawanan terakhir di Sukan SEA 2023, saya berkata proses untuk Sukan SEA 2025 telah bermula dan anda boleh lihat kami mempunyai ramai pemain baru dan muda.”
Beliau bertekad untuk bertanggungjawab dan berikan yang terbaik untuk tugas ini. Selain dari meningkatkan teknikal dan kecergasan pasukan, beliau ingin memperbaiki fokus para pemain pada hari perlawanan.
Kapten Singa wanita, Rosnani Azman, menyuarakan sentimen serupa dengan jurulatihnya dan juga mengharapkan lebih banyak pendedahan peringkat tinggi untuk pasukan.
Pemain berusia 27 tahun itu berkata: “Pasukan kami mempamerkan semangat juang dalam 63 minit pertama, memperoleh gol penyamaan dan memastikan Indonesia menemui jalan buntu pada separuh masa.
“Walau bagaimanapun, kami perlu berusaha untuk mengekalkan fokus dan disiplin kami untuk mengelakkan dari kehilangan tumpuan yang mungkin membolehkan pihak lawan memanfaatkannya.
“Dengan skuad yang lebih muda sekarang, ini adalah sebahagian daripada proses pembangunan. Pasukan yang kami lawan berada pada tahap yang berbeza, memberi kami peluang berharga untuk belajar dan berkembang. Ia bagus untuk pemain kami dapatkan lebih banyak pendedahan kepada pertandingan peringkat tinggi.”
“
“Apabila kami bermain di tempat lawan, kami mempunyai isu ketiadaan pemain sama ada kerana kerja atau sekolah mereka. Sebagai contoh, kami kehilangan Danelle (Tan), pemain penting di barisan hadapan.”“
“Pasukan kami mempamerkan semangat juang dalam 63 minit pertama, memperoleh gol penyamaan dan memastikan Indonesia menemui jalan buntu pada separuh masa. Walau bagaimanapun, kami perlu berusaha untuk mengekalkan fokus dan disiplin kami untuk mengelakkan dari kehilangan tumpuan yang mungkin membolehkan pihak lawan memanfaatkannya.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg