Jurulatih Hougang United, Akbar Nawas, tidak mahu pasukannya sekadar mengejar keputusan dalam musim baharu Liga Perdana Singapura (SPL).

Sebaliknya, beliau mahu membina semula kelab itu dengan identiti, sistem dan hala tuju yang jelas.

Dengan slogan ‘One DNA, One Club, One Direction’, Akbar mengakui proses membentuk wajah baharu Hougang memerlukan masa, namun beliau mahu pasukannya sentiasa berusaha untuk memenangi setiap perlawanan dan melihat sejauh mana mereka mampu pergi.

Selain itu, antara fokus utamanya ialah untuk mewujudkan satu gaya permainan yang boleh dikenali sebagai identiti Hougang.

“Kami dalam proses membina semula. Kami sememangnya mahu menamatkan musim (kedudukan) setinggi mungkin, tetapi pada masa sama perlu sedar bahawa ada proses yang perlu dilalui,” katanya.

Akbar, yang berkhidmat sebagai pengarah teknikal kelab tersebut pada musim lalu, berkata antara perkara utama yang perlu diperbaiki ialah sistem dan struktur kelab, sama ada di dalam mahupun di luar padang.

Di dalam padang, Akbar tidak mahu pasukannya terikat dengan satu label seperti bola sepak yang mementingkan penguasaan bola atau gaya serangan balas.

Sebaliknya, beliau mahu pemain mampu membaca situasi dan membuat keputusan pantas mengikut keadaan permainan.

“Kami perlu tahu bila untuk memperlahankan permainan, bila untuk mempercepatkannya dan bila untuk mengawal tempo. Matlamat tertinggi tetap untuk menjaringkan gol,” katanya.

Namun, dalam usaha membina skuad baharu itu, Akbar turut memerlukan seorang pemimpin untuk membantu menyatukan kumpulan pemain yang sebahagian besarnya masih baharu.

Bekas bek kanan Lion City Sailors dan Jurong, Zulqarnaen Suzliman kini memikul tanggungjawab sebagai kapten pasukan Hougang United.
Bekas bek kanan Lion City Sailors dan Jurong, Zulqarnaen Suzliman kini memikul tanggungjawab sebagai kapten pasukan Hougang United. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL

Tanggungjawab itu kini dipikul Zulqarnaen Suzliman, yang dilantik sebagai kapten Hougang bagi musim ini.

Bagi pemain berusia 28 tahun itu, pelantikan tersebut cukup bermakna selepas 11 tahun berada dalam dunia bola sepak, apatah lagi ini merupakan kali pertama beliau diberi amanah mengetuai sebuah pasukan.

“Saya rasa bersyukur dengan peluang ini. Ini kali pertama saya perlu memimpin, memikul tanggungjawab dan menjadi kapten. Saya akan mengambil amanah ini dengan serius,” katanya.

Pelantikan Zulqarnaen juga mempunyai kaitan rapat dengan keadaan skuad Hougang yang mengalami perubahan besar.

Menurutnya, hampir setiap posisi menyaksikan kemasukan pemain baharu, sekali gus menjadikan pengalaman yang dikumpulnya bersama Lion City Sailors dan Jurong amat berguna.

Bek kanan Zulqarnaen Suzliman (tengah) ketika beraksi untuk Lion City Sailors dalam saingan Liga Juara-Juara Asia, pengalaman luas beliau diuji untuk memimpin skuad baharu Hougang United.
Bek kanan Zulqarnaen Suzliman (tengah) ketika beraksi untuk Lion City Sailors dalam saingan Liga Juara-Juara Asia, pengalaman luas beliau diuji untuk memimpin skuad baharu Hougang United. - Foto LION CITY SAILORS

Daripada Sailors, beliau mahu membawa nilai profesionalisme dan organisasi, manakala pengalaman bersama pemain Jepun di Jurong memberinya perspektif mengenai kepentingan disiplin.

Namun, perkara paling penting baginya ialah memastikan pemain tempatan dan import tidak berbeza dalam cara mereka bekerja.

“Kami tidak peduli dari mana seseorang itu datang, sama ada pemain tempatan atau asing. Kami perlu bersama sebagai satu pasukan,” katanya.

Selepas hampir dua bulan pramusim, Zulqarnaen melihat perkembangan positif dalam skuad, dengan pemain mula memahami kehendak Akbar dan gaya permainan yang mahu diterapkan.

Bagi dirinya pula, sasaran lebih peribadi adalah untuk kekal cergas sepanjang musim selepas berdepan beberapa kecederaan serius dalam kerjayanya, termasuk empat pembedahan pada kaki kiri.

“Saya mahu kekal cergas selama mungkin, dengan kurang kecederaan. Kalau boleh, saya mahu bermain dalam setiap perlawanan,” katanya.

Dari segi sasaran pasukan, Zulqarnaen tidak menyembunyikan cita-cita untuk membawa Hougang setinggi mungkin dan memburu peluang ke pertandingan Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2).

Akbar melihat perlawanan pembukaan pada 12 September menentang Lion City Sailors sebagai ujian ideal untuk skuad baharunya.

Malah, beliau menyifatkannya sebagai peluang terbaik untuk mengetahui tahap sebenar Hougang dan mengenal pasti perkara yang masih perlu diperbaiki.

“Anda tidak boleh meminta lawan yang lebih baik. Perlawanan pertama ini akan menunjukkan kepada kami apa yang perlu dilakukan dan apa yang masih perlu diperbaiki,” katanya.

Sekilas jadual perlawanan Hougang United

September 2026

• 12 Sep Iwn Lion City Sailors di Stadium Bishan

• 18 Sep Iwn FC Jurong di Stadium Jurong East

Oktober

• 12 Okt Iwn Balestier di Stadium Bishan

• 16 Okt Iwn Tanjong Pagar di Stadium Jurong East

• 26 Okt Iwn Geylang International di Our Tampines Hub

  1. 31 Okt lwn Young Lions di Stadium Bishan

November

• 22 Nov Iwn Tampines Rovers di Stadium Bishan

• 28 Nov Iwn Balestier Khalsa di Stadium Bishan

Februari 2027

• 13 Feb Iwn Geylang di Stadium Bishan

• 19 Feb Iwn Tanjong Pagar di Stadium Bishan

• 28 Feb Iwn Lion City Sailors di Stadium Jalan Besar

Mac

• 6 Mac Iwn FC Jurong di Stadium Bishan

• 13 Mac Iwn Young Lions di Stadium Jalan Besar

• 21 Mac Iwn Tampines Rovers di Our Tampines Hub

April

• 2 Apr Iwn FC Jurong di Stadium Bishan

• 9 Apr Iwn Tanjong Pagar di Stadium Jurong East

•17 Apr Iwn Geylang International di Our Tampines Hub

• 25 Apr Iwn Balestier Khalsa di Stadium Bishan

• 30 Apr Iwn Lion City Sailors di Stadium Jalan Besar

Mei

• 8 Mei Iwn Tampines Rovers di Stadium Bishan

• 16 Mei Iwn Young Lions di Stadium Jalan Besar