Jurulatih dari Sepanyol mungkin jarang mewarnai kancah Liga Perdana Singapura (SPL), namun saingan musim 2026/27 ini bakal menyaksikan kehangatan ‘perisa Sepanyol’ di sini.

Pada musim lalu (2025/26), Jesus Casas berjaya membimbing Lion City Sailors menjulang kejuaraan liga ketiga mereka sebelum meninggalkan kelab itu pada 1 September lalu.

Berada tujuh tangga di bawah dalam saingan SPL 2025/26, Tanjong Pagar United kini turut mengorak langkah mendapatkan sentuhan dari Sepanyol.

Kelab yang berpangkalan di Stadium Jurong East itu membawa masuk pengendali dari Sepanyol, Miquel Llado, bagi memacu pasukan keluar daripada kedudukan tercorot musim lalu.

Walaupun belum mempunyai rekod pencapaian di peringkat antarabangsa dan kelab sehebat Casas, Llado bertekad untuk membuktikan kemampuannya dalam diam bagi tugas sulungnya di Asia Tenggara.

Di samping berseloroh bahawa beliau ‘lebih kacak’ daripada Casas, Llado sedar tugas berat menantinya untuk melonjakkan posisi Harimau Kumbang.

Tanpa meletakkan sebarang sasaran kedudukan musim ini, tumpuan utama Llado ialah untuk membentuk sebuah skuad yang dahagakan kemenangan dan bersedia berjuang bersama di padang.

Bercakap kepada Berita Harian (BH), Llado berkata:

“Segalanya bermula dengan membina blok pasukan yang kukuh – sebuah pasukan yang faham bahawa mereka perlu bekerjasama, sama ada ketika bertahan mahupun menyerang... itulah asasnya.

“Apabila pemain mula bentuk keserasian, barulah kami akan cuba menjadi lebih berbahaya di jentera serangan,” katanya.

Ketua jurulatih Tanjong Pagar United, Miquel Llado.
Ketua jurulatih Tanjong Pagar United, Miquel Llado. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Sempena perlawanan pertama Tanjong Pagar United menentang Geylang International FC di Our Tampines Hub pada 14 September, Llado akur pengalaman pertamanya di Asia Tenggara bukanlah perkara yang mudah.

Terutamanya selepas kelab itu menduduki tangga tercorot untuk dua musim SPL berturut-turut.

Apabila ditanya sama ada beliau akan membawa identiti Sepanyol seperti ‘tiki-taka’ ke pasukan baharunya itu, Llado berkata bahawa beliau ingin melihat lebih daripada itu, dengan pemain tahu apa yang perlu dilakukan dalam situasi berbeza.

“Pasukan yang bermain dengan matlamat yang jelas akan nampak lebih seronok untuk ditonton.

“Jika kami boleh jadi pasukan yang kemas memegang bola serta pandai mengawal ruang dan masa, itu satu pencapaian yang cukup baik,” ujar beliau.

Llado, yang menandatangani kontrak hingga Mei 2027, menggantikan pengendali tempatan, Noh Alam Shah.

Alam Shah meninggalkan kelab itu pada 16 Julai selepas Tanjong Pagar United mengakhiri kempen liga 2025/26 pada kedudukan tercorot dengan tujuh mata selepas 21 perlawanan.

Mesra dengan gelaran ‘Miki’, Llado pernah menguruskan pasukan divisyen ketiga di Sepanyol, CE Sabadell pada Disember 2022 hingga Oktober 2023.

Kejayaan terbaik baginya ialah membawa CE Sabadell keluar daripada kedudukan ke-18 kepada kedudukan ke-10 pada musim 22/23.

Selain itu, beliau juga pernah menjadi jurulatih bagi kelab kejohanan peringkat negeri di India, Forca Kochi FC, dari September hingga November 2025, di mana beliau melalui enam kekalahan dalam enam perlawanan.

Kini, beliau berhijrah ke Singapura pada era pembaharuan kepimpinan Tanjong Pagar United.

Antara pemain terbaru Tanjong Pagar United ialah pemain tengah, Masahiro Sugita (kiri) dari Balestier Khalsa.
Antara pemain terbaru Tanjong Pagar United ialah pemain tengah, Masahiro Sugita (kiri) dari Balestier Khalsa. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Mereka telah menterjemahkan tekad pasukan menerusi kehadiran pemain import baharu.

Antaranya, penyerang Montenegro, Boris Kopitovic; duo dari Jepun yang terdiri daripada pemain tengah Masahiro Sugita dan pemain pertahanan Yuki Aizu; pemain tengah dari Serbia, Lazar Vujanic; serta penjaga gol Sepanyol, Aitor Mujica.

Selain itu, mereka turut diperkukuh dengan barisan pemain setempat berpengalaman seperti bek tengah, Madhu Mohana; penyerang, Taufik Suparno; dan pemain tengah, Jared Gallagher.

Dengan barisan pemain yang ada, Llado percaya beliau mempunyai keseimbangan yang baik antara pemain import dengan tempatan.

“Saya percaya setiap pemain dalam pasukan ini memainkan peranan yang penting.

“Kita mungkin bukan pasukan berbelanja besar dan tiada pemain berprofil tinggi, tetapi saya yakin skuad ini cukup seimbang untuk bersaing dan meningkatkan standard liga,” katanya.

Ketua jurulatih, Tanjong Pagar United, Miquel Llado, percaya beliau mempunyai keseimbangan yang baik antara pemain import dengan tempatan.
Ketua jurulatih, Tanjong Pagar United, Miquel Llado, percaya beliau mempunyai keseimbangan yang baik antara pemain import dengan tempatan. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Llado menambah bahawa Tanjong Pagar United masih meneroka pasaran perpindahan pemain bagi memperkukuh skuad mereka.

“Kami juga boleh bergantung kepada bakat muda dari saingan SPL 2 dan mula tawarkan laluan jelas untuk mereka diserap ke dalam skuad utama.

“Namun, kami tidak menutup sebarang kemungkinan... kami mempunyai kuota tujuh pemain import dan berpeluang menambah lagi mengikut keperluan, maka kami akan menilai perkembangan ini terlebih dahulu,” tambahnya.

Sekilas jadual perlawanan Tanjong Pagar United:

September 2026

  1. 14 Sep lawan Geylang International FC di Our Tampines Hub
  2. 19 Sep lawan Balestier Khalsa FC di Stadium Bishan

Oktober 2026

  1. 11 Okt lawan Tampines Rovers FC di Stadium Jurong East
  2. 16 Okt lawan Hougang United FC di Stadium Jurong East
  3. 25 Okt lawan Lion City Sailors FC di Stadium Jalan Besar
  4. 30 Okt lawan FC Jurong di Stadium Jurong East

November 2026

  1. 21 Nov lawan Young Lions di Stadium Jalan Besar
  2. 27 Nov lawan Geylang International FC di Our Tampines Hub

Februari 2027

  1. 12 Feb lawan Balestier Khalsa FC di Stadium Jurong East
  2. 19 Feb lawan Hougang United FC di Stadium Bishan
  3. 28 Feb lawan Tampines Rovers FC di Our Tampines Hub

Mac 2027

  1. 7 Mac lawan Young Lions di Stadium Jurong East
  2. 12 Mac lawan FC Jurong di Stadium Jurong East
  3. 21 Mac lawan Lion City Sailors FC di Stadium Jurong East

April 2027

  1. 4 Apr lawan Tampines Rovers FC di Our Tampines Hub
  2. 9 Apr lawan Hougang United FC di Stadium Jurong East
  3. 16 Apr lawan Balestier Khalsa FC di Stadium Bishan
  4. 24 Apr lawan Geylang International FC di Stadium Jurong East

Mei 2027

  1. 2 Mei lawan Young Lions di Stadium Jalan Besar
  2. 8 Mei lawan FC Jurong di Stadium Jurong East
  3. 15 Mei lawan Lion City Sailors FC di Stadium Jurong East