Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Albirex Niigata ubah nama kepada Albirex Jurong mulai Jan 2026

Nov 27, 2025 | 8:01 PM
(Dari kiri) Pengasas kumpulan penyokong Albirex Niigata, Amir Hamizan, peminat muda, Toby Jiang, dan pengerusi Albirex Niigata, Daisuke Korenaga, semasa pengumuman nama dan logo baru kelab itu.
(Dari kiri) Pengasas kumpulan penyokong Albirex Niigata, Amir Hamizan, peminat muda, Toby Jiang, dan pengerusi Albirex Niigata, Daisuke Korenaga, semasa pengumuman nama dan logo baru kelab itu. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Juara Liga Perdana Singapura (SPL) enam kali, Albirex Niigata, bakal mengubah nama mereka kepada ‘Albirex Jurong Football Club’ mulai 1 Januari 2026.

Kelab yang dilancarkan di sini pada 22 tahun lalu, mengumumkan nama dan logo baru semasa satu sidang media di padang mereka, Stadium Jurong East, pada 27 November.

Dalam ucapannya, pengerusi kelab, Daisuke Korenaga, berkata perubahan itu merupakan langkah seterusnya untuk memperkukuh identiti sebagai kelab tempatan dan untuk terus berbakti kepada kejiranan Jurong.

“Sejak kelab ini dilancarkan pada 2004, kami telah berkembang bersama masyarakat Jurong… Sejak itu, kami telah bekerjasama dengan kejiranan ini melalui pelbagai inisiatif,” kata Korenaga.

Sejak dilancarkan, kelab itu telah menyumbang kepada masyarakat melalui program bantuan makanan, menyediakan peluang latihan amali dan biasiswa kepada pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat dan pelbagai program lain.

Beliau menambah, dengan perubahan itu “kami ingin memperkukuh inisiatif (kemasyarakatan) kami, mengukuh jalinan bersama penduduk Jurong dan pihak berkuasa tempatan, serta menjadi sebahagian penting dalam perhubungan masyarakat dalam jangka masa panjang”.

Kelab itu, dengan nama julukan Angsa Putih, mula menyertai liga bola sepak profesional Singapura sebagai pasukan satelit kepada kelab induknya di Liga Utama Jepun (Liga J).

Mereka kemudian beralih menjadi pasukan tempatan pada musim SPL 2024/25, dengan pasukan itu mematuhi peraturan kelab tempatan SPL, termasuk peraturan berkaitan pemain asing pada 2024.

Korenaga turut menjelaskan bahawa nama dan logo baru kelab itu mengekalkan ‘asal akar’ Jepun mereka, sambil menonjolkan hubungan rapat kelab itu dengan masyarakat di Jurong.

Kelab itu juga yakin perubahan nama itu berpotensi meningkatkan prestasi pemain mereka.

Naib pengerusi kelab, Koh Mui Tee, berkata:

“Kami ingin membuktikan keikhlasan kami dalam berbakti kepada masyarakat Jurong, dan berharap ia dapat mendorong lebih ramai peminat untuk menyokong pemain dan kelab kami, tidak kira sama ada bersorak di stadium atau menyapa mereka di pusat penjaja makanan.”

Beliau berkata nama baru itu juga mampu menonjolkan identiti masyarakat mereka di pentas antarabangsa apabila pasukan wanitanya beraksi di Liga Juara-Juara Wanita Asia pada 2026.

Perubahan nama dan logo disambut baik oleh beberapa peminat kelab yang turut hadir semasa pengumuman itu.

Pengasas Swan Army – kumpulan penyokong Albirex Niigata – Amir Hamizan, sudah lama menantikan perubahan itu memandangkan kelab itu sudah lama dikenali ramai dalam kejiranan Jurong.

“Sebelum ini, kami tiada kelab daripada Jurong untuk anak muda kami sokong.”

“Saya rasa kelab ini telah banyak berkembang, dan nama baru ini akan melambangkan kebanggaan kawasan daerah barat Singapura,” ujar Amir, 29 tahun.

Peminat muda berusia 14 tahun, Toby Jiang, gembira dengan logo baru itu yang memaparkan burung angsa dengan lebih jelas.

Nama dan logo baru itu akan digunakan oleh pasukan wanita, yang menjuarai Liga Perdana Wanita (WPL), dan Liga Bawah 17 Tahun Pusat Kecemerlangan (COE) dahulu mulai 1 Januari 2026.

Pasukan lelaki kemudiannya akan menggunakan nama dan logo baru itu mulai 1 Julai 2026.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg