Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Venus Williams menang setelah sekian lama rehat akibat cedera

Jul 23, 2025 | 4:00 PM
Venus William meraikan kemenangan pertama beliau sejak lebih 2 tahun lalu, menentang Peyton Stearns di pusingan pertama Terbuka DC pada 22 Julai. Kemenangan tersebut lebih bermakna kerana beliau juga sudah 16 bulan tidak bersaing akibat kecederaan.
Venus William meraikan kemenangan pertama beliau sejak lebih 2 tahun lalu, menentang Peyton Stearns di pusingan pertama Terbuka DC pada 22 Julai. Kemenangan tersebut lebih bermakna kerana beliau juga sudah 16 bulan tidak bersaing akibat kecederaan. - Foto AFP

WASHINGTON: Pemain tenis Amerika, Venus Williams, kembali beraksi dengan sempurna selepas 16 bulan menggantung raket.

Pencapaiannya membanggakan melalui kemenangan di pusingan pertama Terbuka DC.

Williams membuat kemunculan semula yang mengagumkan pada 22 Julai apabila menewaskan rakan senegara, Peyton Stearns, 6-3, 6-4 untuk mara ke pusingan kedua kejohanan tersebut.

Pemenang Grand Slam tujuh kali berusia 45 tahun itu mencatat kemenangan Persatuan Tenis Wanita (WTA) ke-819 dalam kerjayanya, dalam masa 97 minit di ambang Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat.

“Bukan mudah untuk kembali selepas sekian lama dan untuk kembali bermain dengan begitu baik.

“Peyton bermain dengan sangat bagus. Saya rasa saya perlu menenangkan diri supaya tidak terlalu gopoh-gapah mengejar rentaknya,” jelas Williams.

Williams tidak beraksi dalam sebarang perlawanan WTA sejak Mac 2024 di Miami dan tidak pernah menang sejak 709 hari lalu, dengan kali terakhir menumpaskan lawan ketika menewaskan Veronika Kudermetova pada pusingan pertama di Cincinnati pada Ogos 2023.

“Saya hanya mahu bermain dengan baik dan menang.

“Sangat memuaskan apabila dapat kembali selepas lama berehat akibat kecederaan,” jelasnya.

Menurut laporan The Straits Times (ST), Williams kini menjadi pemain tertua yang bertanding dalam perlawanan WTA sejak Kimiko Date dari Jepun beraksi pada usia 46 tahun di Tokyo sekitar 2017.

Beliau juga pemain tertua yang menang dalam perlawanan WTA sejak Martina Navratilova menjuarai perlawanan di Wimbledon pada usia 47 tahun pada 2004.

Dalam perlawanan tersebut, Williams mendahului 4-3 dalam set kedua, memenangi sembilan daripada 10 mata berturut-turut.

Beliau kemudian mengekalkan servis untuk mendahului 5-3 dan mencabar Stearns dalam permainan kesembilan yang berlangsung selama 12 minit, namun terlepas empat mata perlawanan untuk memenangi set tersebut tetapi Stearns berjaya bertahan.

Akhirnya, Williams menyempurnakan kemenangan pada mata perlawanan keenam dengan satu servis kencang, sekali gus menempah tempat ke pusingan kedua menentang atlet tenis dari Poland, Magdalena Frech.

“Saya kembali hasil dorongan daripada pasukan saya – mereka mahu saya bermain semula, jadi sebahagian besar daripada kejayaan ini adalah untuk anda semua,” katanya kepada penonton.– Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg