LONDON: Pemain tenis terkemuka Sepanyol, Carlos Alcaraz, kembali ke separuh akhir, setelah bangkit dalam perlawanan yang memberangsangkan pada 9 Julai.
Namun, tidak akan ada pertembungan hebat antara juara bertahan Wimbledon itu dengan Jannik Sinner dari Italy, selepas pemain nombor satu dunia itu tersingkir.
Setelah menjadi pemain yang memenangi Grand Slam di tiga gelanggang di Terbuka Perancis pada Jun, Alcaraz meneruskan usaha untuk mempertahan piala utama buat kali pertama dan mengukuhkan status liga utamanya dengan mengalahkan pemain Amerika Syarikat, Tommy Paul 5-7 6-4 6-2 6-2.
“Apabila saya tidak bermain tenis pada tahap terbaik, saya akan cuba bermain dengan lebih baik dan mencari huraian untuk mengalahkan lawan.
“Ada kalanya sukar untuk melakukannya, tetapi sesekali seperti dalam perlawanan ini, saya tidak bermain cemerlang tetapi cukup baik untuk (menang) perlawanan ini,” ujar beliau.
Pertembungan antara dua juara Queen’s Club terbaru itu menghasilkan beberapa pukulan mendebarkan di Gelanggang Satu sebelum percubaan Paul untuk mengakhiri penantian 21 tahun Amerika untuk menjadi juara Grand Slam lelaki, gagal.
“Saya amat gembira dapat kembali ke separuh akhir. Saya gembira dengan tahap permainan saya,” tambah Alcaraz.
Sinner adalah seorang lagi pemain muda jelajah lelaki yang dijangka menang dalam perlawanan gelanggang rumput Grand Slam, selepas menjuarai Terbuka Australia.
Sinner turut membuat peminatnya teruja sebelum ini dengan kemungkinan beliau bertemu Alcaraz.
Pemain berusia 22 tahun itu yang kurang sihat pada hari perlawanan, tewas kepada pilihan kelima, Daniil Medvedev, dari Russia.
Sinner menunjukkan pertarungan berani di bawah bumbung Gelanggang Tengah selepas berehat seketika disebabkan kesakitan, namun beliau tidak dapat menghalang daripada tumpas 6-7(7) 6-4 7-6(4) 2-6 6-3.
“Saya berasa kurang sihat pagi ini. Saya mempunyai beberapa masalah (kesihatan). Ditambah dengan keletihan, ia sukar bagi saya.
“Tetapi Daniil juga bermain dengan bijak. Beliau bermain tenis dengan baik. Itu sahaja... Ia bukan masa yang mudah (untuk saya).
“Saya cuba melawan dengan sedaya upaya hari ini.”
Rakan senegara Sinner, Jasmine Paolini, tersenyum lebar di gelanggang selepas menunjukkan prestasi yang menguasai permainan, ketika menentang pilihan ke-19 dari Amerika, Emma Navarro, pada 9 Julai.
Pemain pilihan ketujuh itu mencatat kemenangan 6-2 6-1 dalam masa 58 minit di Wimbledon.
Beliau akan bertemu pemain Croatia, Donna Vekic, dalam perlawanan seterusnya. – Reuters.
“
Apabila saya tidak bermain tenis pada tahap terbaik, saya akan cuba bermain dengan lebih baik dan mencari huraian untuk mengalahkan lawan. Ada kalanya sukar untuk melakukannya, tetapi sesekali seperti dalam perlawanan ini, saya tidak bermain cemerlang tetapi cukup baik untuk (menang) perlawanan ini.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg