Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Alex Iwobi bersinar dengan dua gol, bantu Fulham lompat ke tangga keenam

Dec 6, 2024 | 3:18 PM

Pemain Fulham, Alex Iwobi, menjaringkan gol ketiga pada minit ke-87 di Craven Cottage, London pada 6 Disember.
Pemain Fulham, Alex Iwobi, menjaringkan gol ketiga pada minit ke-87 di Craven Cottage, London pada 6 Disember. - REUTERS

LONDON: Brighton mengalami kekalahan ketiganya dalam Liga Perdana England (EPL) musim 2024/25 apabila dua gol Alex Iwobi, dan gol sendiri Matt O’Riley, membantu Fulham meraih kemenangan di Craven Cottage.

Perlawanan itu berlangsung dalam keadaan hujan lebat dan angin kencang, namun ia bukan alasan bagi Bart Verbruggen melakukan kesilapan pada awal perlawanan hingga menghadiahkan Fulham gol.

Selepas hanya tiga minit, penjaga gol Brighton itu ingin menghantar bola kepada rakan sepasukannya, Carlos Baleba, di dalam kawasan penalti.

Namun, Alex Iwobi memintas dan memasukkan bola ke gawang yang tidak dijaga, sekali gus mendapat gol liga keempatnya musim ini.

Fulham berpeluang menggandakan kelebihan itu dengan pantas apabila Iwobi dapat menembusi ke gawang, namun Igor Julio berjaya menyekatnya.

Brighton memperoleh gol penyamaan 11 minit selepas separuh masa kedua.

Jan Paul van Hecke menghantar bola tinggi dan Joao Pedro, yang dicalonkan untuk anugerah Pemain Terbaik Bulanan Liga Perdana bagi November, menghasilkan sentuhan bijak yang memberi Baleba peluang merembat bola melepasi Bernd Leno dari jarak 18 meter.

Ia adalah satu gol indah, diikuti dengan sambutan istimewa apabila Baleba menunjukkan kemahiran gimnastiknya dengan aksi akrobatik.

Fulham mendahului semula dalam keadaan bernasib baik apabila sepakan sudut Andreas Pereira pada minit ke-79 dari sebelah kiri terkena O’Riley dan bola melantun ke gawangnya sendiri.

Iwobi kemudian melakar kemenangan dengan jaringan kencang pada minit ke-87 untuk gol keduanya dalam perlawanan itu, sekali gus memastikan Fulham meraih tiga mata dan naik ke tangga keenam – satu mata di belakang Brighton di tangga kelima.

Brighton sedar kemenangan dua gol akan membawa mereka di tangga keempat Liga Perdana dan kembali di atas Manchester City. Namun, itu tidak berlaku.

Pengurus The Seagulls, Fabian Hurzeler, duduk di kerusi media di belakang tempat duduk utama kerana digantung satu perlawanan berikutan kad kuning ketiganya musim ini ketika perlawanan menentang Southampton pada 29 November, yang berakhir dengan seri 1-1.

Walaupun terkejut dengan permulaan pasukannya, beliau pasti lebih gembira akan prestasi mereka pada baki separuh masa pertama.

Baleba melepaskan rembatan sudut yang tersasar, dan Joao Pedro dua kali mempunyai peluang mendapat gol, namun Bernd Leno menyelamatkan percubaan pertama penyerang Brazil itu dan kemudian Calvin Bassey membuat halangan penting.

Dengan Danny Welbeck, penjaring terbaik Brighton, tidak dapat bermain akibat kecederaan ringan, Simon Adigra adalah antara empat pertukaran bagi Brighton dan sepatutnya menyamakan kedudukan daripada beberapa peluang.

Sebaik sahaja mereka menyamakan kedudukan, Brighton melihat peluang meraih kemenangan pertamanya ke atas Fulham dalam era Liga Perdana England, namun dinafikan dua lagi gol oleh Fulham pada 11 minit terakhir.

Brighton akan mengharungi perlawanan sukar menentang pasukan tiga teratas, Liverpool, Arsenal dan Chelsea, dalam empat perlawanan seterusnya.

Mereka mungkin terpaksa beraksi tanpa pemain pinjaman Reiss Nelson, yang mengalami kecederaan hamstring kiri dan segera digantikan, dan akan terlepas perlawanan menentang Arsenal pada 8 Disember. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg