Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Van Nistelrooy mula langkah kanan di Leicester

Dilantik ganti Steve Cooper selepas permulaan buruk The Foxes musim ini
Dec 4, 2024 | 4:20 PM
Pengurus baru Leicester City, Ruud van Nistelrooy (kanan), bersama pemain West Ham United, Edson Alvarez (kiri) di akhir perlawanan antara Leicester City dengan West Ham.
Pengurus baru Leicester City, Ruud van Nistelrooy (kanan), bersama pemain West Ham United, Edson Alvarez (kiri) di akhir perlawanan antara Leicester City dengan West Ham. - Foto REUTERS

LONDON: Kemenangan Leicester City ke atas West Ham di bawah bimbingan Ruud van Nistelrooy telah membakar semula semangat dan keyakinan penyokong mereka.

Pengurus Belanda itu dilantik pada 29 November, bagi mengambil alih tempat Steve Cooper yang dipecat hanya selepas mengurus Leicester selama 12 perlawanan Liga Perdana England (EPL).

Van Nistelrooy menyaksikan pasukan barunya dikalahkan 4-1 oleh Brentford bersama pemilik Leicester, Aiyawatt Srivaddhanaprabha, pada 30 November.

Namun, beliau tetap dapat memulakan perlawanan pertamanya bersama Leicester dengan sempurna pada 4 Disember, dengan memperoleh kemenangan 3-1 ke atas West Ham di Stadium King Power, di Leicester, England.

“Pada akhirnya, anda melihat keputusan dan tiga mata (yang diperolehi), di kedudukan kami sekarang, ia amat penting,” kata pengurus berusia 48 tahun itu.

“Kami kenal tahap EPL dan kami tahu bahawa setiap perlawanan yang kami main perlu dilakukan dengan betul.

“Kami perlu berlatih dan memperkukuhkan pertahanan kami, serangan balas kami dan kawalan bola kami.

“Banyak perkara yang kami perlu perbaiki, tetapi saya amat gembira dapat peroleh tiga mata,” tambah beliau.

Kemenangan itu meletakkan Leicester di tempat ke-15 EPL, dua mata di belakang West Ham.

“Ia merupakan hari ketiga di kelab ini, dan saya sangat sibuk mengenali semua orang.

“Semua terlibat dan membantu saya dengan perkara itu, sungguh sibuk tetapi cukup berbaloi,” kata Van Nistelrooy dalam sidang media selepas perlawanan.

“Saya hanya memberi tumpuan kepada perlawanan hari ini, dan selepas ini saya akan rehat dan memikirkan tentang tiga hari lalu ini,” tambah beliau.

Bekas Pengurus Brighton dan Chelsea, Graham Potter, berkata bahawa ia merupakan “permulaan sempurna” dan ini bermakna penyokong Leicester akan mempunyai “kepercayaan dan keyakinan terhadap pengurus baru dan itu amat penting.”

“Anda boleh katakan apa sahaja, tetapi jika pemain benar-benar percaya dan mengikut apa yang beliau katakan, ia boleh memberi pengaruh yang amat besar,” kata Potter kepada media.

“Cara terbaik untuk mendapatkan keyakinan adalah dengan memenangi perlawanan bola sepak,” tambah beliau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg