Ketika berusia 19 tahun, Amir Syafiz, sudah bersedia untuk mencipta nama di pentas Sukan SEA 2023.
Namun, malang tidak berbau apabila beliau mengalami kecederaan ligamen krusiat posterior (PCL) yang menghalangnya daripada beraksi dalam kejohanan bola sepak bawah 22 tahun pada temasya sukan tersebut.
Terkilan dek kerananya, berbekalkan perasaan itu sebagai motivasi, penyerang Young Lions itu kini mahu bangkit dan bersedia untuk mengaum semula.
Bercakap kepada Berita Harian (BH), pemain yang kini berusia 21 tahun itu berkata:
“Tidak dapat menyertai Sukan SEA 2023 kerana kecederaan ialah satu cabaran, tetapi ia memberi saya dorongan untuk berusaha lebih gigih.”
Mengimbau kembali perjalanannya selepas kecederaan yang dialaminya itu, Amir berkata kepulangannya ke padang bukanlah satu peralihan yang mudah.
Ia memerlukan usaha gigih untuk membangkitkan semula keyakinan dan kepercayaannya.
“Saya memberi tumpuan kepada pemulihan diri dan memasuki musim Liga Perdana Singapura yang lalu (SPL 2024/25) dengan tekad untuk memberi impak.
“Permulaannya tidak mudah – saya terpaksa berusaha gigih untuk mencapai prestasi terbaik – tetapi saya terus fokus, kekal konsisten, dan akhirnya menemui rentak saya.
“Perjalanan itu membina keyakinan dan kepercayaan diri saya,” ujar beliau.
Kini, Amir melangkah satu demi satu, bermula dengan membantu Young Lions dalam saingan Liga Perdana Singapura (SPL) 2025/26 yang akan membuka tirai pada 16 Ogos, menerusi perlawanan Perisai Masyarakat antara Lion City Sailors dengan BG Tampines Rovers.
Musim lalu, beliau menjaringkan tujuh gol dan melakukan dua ‘assist’ (merintis jaringan pasukan) dalam 30 perlawanan untuk Young Lions.
Musim tersebut turut menyaksikan Amir beralih dari posisinya sebagai pemain tengah menyerang kepada penyerang.
Penukaran posisi itu dilakukan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan ayam tambatan mereka, Itsuki Enomoto, yang berpindah ke BG Tampines Rovers, di pertengahan musim pada Januari 2025.
Menariknya, sebahagian besar gol Amir dengan Young Lions adalah selepas pertukaran posisi tersebut, dengan beliau menjaringkan lima gol sejak itu.
Kebangkitannya kini tidak lari daripada perhatian.
Pada usia 20 tahun, beliau menerima undangan pertama ke pasukan bola sepak negara dan menjadi pemain kesebelasan utama dalam perlawanan persahabatan menentang Maldives pada Jun 2025.
Pencapaian itu membakar lagi semangatnya untuk beraksi dengan lebih cemerlang.
“Diundang ke pasukan negara pada Jun ialah detik istimewa.
“Ia seperti ganjaran atas kesabaran dan keyakinan terhadap proses, dan ia hanya membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus memperbaiki diri,” katanya.
Apabila ditanya BH siapakah yang menjadi sosok inspirasinya dalam bola sepak, Amir menggariskan bintang Al-Nassr dan kapten Portugal, Cristiano Ronaldo.
Semangat kerja keras kapten Portugal itu cukup sinonim dengan perjalanan kebangkitan Amir kini.
“Saya sentiasa mengagumi Cristiano Ronaldo – kerana mentaliti, disiplin, dan cara beliau memimpin melalui contoh.
“Saya cuba membawa semangat dan profesionalisme yang sama ke dalam permainan saya, tidak kira di posisi mana.
“Pada masa ini, saya hanya mahu kekal konsisten, terus membantu pasukan, dan bersedia untuk sebarang peluang yang datang,” kata Amir.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg