Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Selepas 14 tahun di luar negara Safuwan pulang

Pemain pertahanan veteran ingin perkukuh Lion City Sailors selepas beraksi di Liga Australia dan Liga Malaysia
Jul 13, 2025 | 5:30 AM
Safuwan Baharudin memulakan babak baru dalam kerjaya bola sepaknya bersama juara Liga Perdana Singapura (SPL), Lion City Sailors, sesudah 14 tahun bermain di luar negara.
Safuwan Baharudin memulakan babak baru dalam kerjaya bola sepaknya bersama juara Liga Perdana Singapura (SPL), Lion City Sailors, sesudah 14 tahun bermain di luar negara. - Foto BM oleh KHALID BABA

Apabila berita mengenai kepulangan pemain pertahanan veteran Singa, Safuwan Baharudin, ke arena bola sepak Liga Perdana Singapura (SPL) bersama Lion City Sailors selepas 14 tahun beraksi di luar negara tersebar pada 6 Julai, ia bukan sahaja mengejutkan peminat bola sepak tempatan.

Malah keluarganya sendiri turut tidak mengetahui tentang keputusan yang diambil itu.

Safuwan sengaja merahsiakan berita itu daripada pengetahuan orang-orang tersayang sehingga kontrak itu beliau tandatangani, menjadikan pengumuman tersebut lebih disaluti emosi berunsur kejutan manis.

“Saya tidak mahu beri harapan palsu kepada keluarga saya, terutamanya setelah 14 tahun tidak bersama,” ujar pemain pertahanan berusia 34 tahun itu.

Kepulangannya bukan sahaja menjadi suntikan tenaga pemain berpengalaman kepada bola sepak Singapura yang kini meraih semula seorang pemain pertahanan yang sudah banyak makan garam, tetapi juga bermakna buat anak-anaknya.

Masa lebih berharga akhirnya dapat diluangkan buat dua anak lelakinya, yang kini berusia sembilan dan lima tahun, sesuatu yang sudah lama diidam-idamkan.

“Mereka sangat gembira apabila saya akhirnya kembali. Anak-anak saya juga kini dapat melihat saya bermain di sini dan kami dapat luangkan masa bersama hampir setiap minggu,” katanya dengan nada ceria.

Safuwan memulakan kerjaya profesionalnya pada 2009 bersama Young Lions, di mana beliau membuat 58 penampilan sebelum menyertai LionsXII, pasukan Singapura yang kini sudah tidak wujud dalam Liga Super Malaysia (MSL), dari 2012 hingga 2015.

Pada 2015, beliau menyertai pasukan Liga Australia, Melbourne City secara pinjaman, menjadikannya pemain Singapura pertama untuk menyertai liga berkenaan.

Setahun selepas itu, pada 2016, Safuwan memulakan perjalanannya sebagai pemain di Malaysia dengan menyertai PDRM dan menghabiskan dua musim bersama mereka.

Pada 2018 pula, beliau menyertai Pahang FA dan berjaya memenangi Piala FA Malaysia sebelum akhirnya menyertai Selangor pada musim 2020.

Safuwan meninggalkan Selangor untuk menyertai Negeri Sembilan pada musim 2023, namun kembali semula ke Selangor menjelang penghujung tahun yang sama.

Dalam dua musim bersama Selangor, beliau menghasilkan 71 penampilan, malahan menjadi kapten pasukan dan juga antara pemain kegemaran penyokong.

Namun pemergian beliau dari Selangor tidak berjalan selancar yang diidamkan, tetapi Safuwan tidak mempunyai sebarang perasaan negatif terhadap pihak pengurusan pasukan itu, malah berterima kasih kepada mereka.

Beliau akui bahawa ia adalah keputusan yang diambil demi kebaikan bersama.

“Saya sayang Selangor, saya telah menghabiskan lima tahun di sana dan ia mempunyai nilai sentimental yang tinggi bagi saya.

“Mungkin antara sebab saya dihormati di sana adalah kerana saya turut menghormati mereka juga,” katanya.

Sebelum menyertai Selangor, beliau perlu berlatih bersama skuad bawah 23 tahun Selangor. Beliau dianggap merendah hati oleh beberapa pemain lain yang kagum dengan sikapnya itu meskipun dianggap berkaliber dan berpengalaman.

Safuwan tetap melihat setiap peluang yang diraih sebagai berharga.

“Saya tidak ke sana bukan sekadar untuk memenuhi masa. Saya mahu kekal cergas dan terus memberi yang terbaik. Itu adalah satu pengalaman yang membangkitkan semangat saya,” kata pemain pertahanan itu lagi.

Mengimbas kembali tempoh 14 tahun lalu, Safuwan mengakui banyak perubahan telah berlaku dalam liga tempatan.

“Format liga sekarang lebih berdaya saing dan berbeza. Mutu pemain juga semakin meningkat, terutamanya dengan kehadiran pemain import yang mantap. Setiap pasukan kini aktif mendapatkan pemain bermutu, bukan sahaja untuk kuota import tetapi juga untuk pemain tempatan,” katanya.

Beliau sendiri akan menyertai pasukan yang sarat dengan bintang bola sepak seperti Bailey Wright, Shawal Anuar, Toni Datkovic, Maxime Lestienne, Bart Ramselaar dan Lennart Thy, semuanya antara Kesebelasan Terbaik SPL musim lalu.

Sokongan daripada rakan sepasukan dari zaman LionsXII, Hariss Harun dan Izwan Mahbud, serta pemain lain, Shawal Anuar dan Hami Syahin, banyak membantu dalam dirinya membuat keputusan menyertai Sailors.

“Sekitar 40 hingga 50 peratus daripada keputusan yang saya buat untuk sertai Sailors dipengaruhi mereka. Ia membuatkan saya lebih mudah menyesuaikan diri kerana sudah ada beberapa orang yang dikenali,” katanya.

Kini, beliau fokus dan bertekad ingin membantu memperkukuhkan lagi pasukan Sailors, yang berjaya mara ke peringkat akhir Liga Juara Juara-Juara 2 (ACL2) musim lalu, lantas membantu mereka untuk menjulang lebih banyak piala pada musim akan datang.

“Saya berharap lebih ramai penyokong akan kembali ke stadium, bukan sahaja untuk saya tetapi untuk perkembangan bola sepak Singapura,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg