MANCHESTER: Pengurus baru Manchester United dan pengganti Erik ten Hag sejak November, Ruben Amorim, mengakui bahawa pasukan di bawah kepimpinannya ‘mungkin yang paling buruk’ dalam sejarah 147 tahun kelab itu.
Kekalahan 1-3 United kepada Brighton adalah kekalahan keempat dalam lima perlawanan terakhir mereka di padang sendiri dalam Liga Perdana England (EPL).
United berada di tangga ke-13 carta liga – 10 mata di atas zon penyingkiran tetapi tujuh mata di belakang Fulham yang berada di tangga ke-10.
“Dalam 10 perlawanan terakhir liga, kami hanya menang dua.
“Bayangkan situasi ini untuk peminat Manchester United. Bayangkan situasi ini untuk saya.
“Kami memilih pengurus baru yang kalah lebih banyak daripada pengurus terakhir. Saya tidak nafikan itu semua.
“Kami adalah pasukan yang paling buruk mungkin dalam sejarah Manchester United. Saya tahu anda (media) mahukan tajuk utama tetapi saya katakan itu kerana kami perlu mengakuinya dan berusaha mengubahnya. Itulah seharusnya tajuk utama anda,” kata Amorim.
Hanya 13 pasukan United mempunyai pungutan mata yang lebih rendah dalam sejarah kelab – kali terakhir pada 1986-87.
Bekas pemain tengah Everton, Leon Osman, memberitahu BBC Match of the Day, program sorotan bola sepak yang disiarkan oleh BBC One: “Ia adalah kenyataan yang sangat berani daripada Ruben Amorim. Kesebelasan utama mereka berharga £391 juta ($651.6 juta), lima pemain yang ditandatangani mereka berharga £182 juta.
“Saya tidak akan senang dipanggil seperti ini. Tiada siapa yang mahu dikenali sebagai pasukan paling buruk yang pernah bermain untuk kelab itu. Beliau mungkin jujur dan mengatakan sesuatu yang tepat.”
Amorim memberitahu BBC 5 bahawa beliau sempat berbincang dengan bekas pengurus legenda United, Sir Alex Ferguson, sebelum perlawanan. Ferguson berpesan kepada beliau agar tetap kekal positif.
Setelah dihentam dengan kekalahan yang bertubi-tubi – satu-satunya kejayaan United di Old Trafford baru-baru ini hanya ketika menentang kelab corot liga, Southampton, pada 16 Januari.
Amorim berkata beliau tidak berselindung, sebaliknya memahami tekanan yang dihadapinya.
Bekas pengurus Sporting itu berkeras dengan formasi 3-4-3 yang membawa kejayaan bersama kelab juara liga Portugal itu.
Amorim mengakui pemain United sedang menyesuaikan diri dengan formasi tersebut.
Kelab itu berkata mereka tidak berhasrat menjual pemain-pemainnya, termasuk pemain tengah England Kobbie Mainoo.
Namun, mereka perlu mengumpul dana jika Amorim dibenarkan membawa masuk pemain yang mungkin sesuai dengan sistem permainannya.
Harapan bagi United di tengah-tengah rentetan kekalahan yang dialaminya itu adalah kedatangan remaja berusia 17 tahun dari Paraguay, Diego Leon, ke Old Trafford.
Kedatangan Leon diharap merangsang kesedaran mengenai pentingnya memberikan kesempatan kepada pemain muda yang berbakat daripada terus membelanjakan wang berjuta-juta untuk pemain senior dengan rekod yang mengecewakan – strategi yang telah meletakkan United di kedudukannya itu ketika ini. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg