Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Guardiola dakwa City kembali temui taring selepas benam Ipswich

Jan 20, 2025 | 3:01 PM
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, melambai ke arah penyokong pasukan. Beliau berkata pasukannya kini telah kembali ke tahap terbaik selepas membelasah Ipswich Town 6-0 pada 20 Januari.
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, melambai ke arah penyokong pasukan. Beliau berkata pasukannya kini telah kembali ke tahap terbaik selepas membelasah Ipswich Town 6-0 pada 20 Januari. - Foto EPA-EFE

MANCHESTER: Pep Guardiola mendakwa Manchester City telah kembali ke tahap terbaik mereka selepas anak didiknya membenam Ipswich Town 6-0 di Stadium Portman Road pada 20 Januari.

Pemain sayap Phil Foden dan pemain tengah Mateo Kovacic menjaringkan dua gol dan satu gol masing-masing pada separuh masa pertama.

Pemain sayap Jeremy Doku, penyerang Erling Haaland dan pemain gantian James McAtee pula menjaringkan satu gol masing-masing pada separuh masa kedua.

Ia merupakan kemenangan terbesar City pada musim Liga Perdana England (EPL) ini untuk menduduki tangga keempat dengan 38 mata.

City telah menjaringkan 25 gol pada separuh masa pertama dalam 22 perlawanan, lebih banyak daripada pasukan lain dalam liga musim ini.

Selepas permulaan suram, City kini berjaya memenangi tiga daripada empat perlawanan terakhir dalam EPL.

Guardiola berkata: “Kami benar-benar gembira, kami telah melakukan kembali banyak perkara yang telah menentukan pasukan ini dalam dekad lalu.

“Saya berkongsi kegembiraan pemain-pemain saya, mereka memang wajar mencapai (kemenangan itu). Kami dapatkan semula beberapa identiti yang kami hilang sejak kebelakangan ini.

“Saya sangat gembira untuk dapatkan tiga mata dan menaiki tangga EPL kerana kelayakan ke Liga Juara-Juara musim depan memang lebih mencabar.”

Ujian lebih mencabar menanti City, termasuk lawatan ke Paris untuk perlawanan Liga Juara-Juara dengan Paris Saint-Germain (PSG) pada 23 Januari dan pertembungan dengan Chelsea dan Arsenal dalam EPL pada 26 Januari dan 3 Februari.

Guardiola akan memutuskan untuk ‘memulihkan’ City musim ini dengan membina semula skuad yang kini mempunyai beberapa pemain lebih berumur dan tidak konsisten.

Haaland, yang telah menjaringkan 112 gol dalam hanya 127 penampilan untuk City, baru-baru ini menandatangani kontrak jangka panjang baru yang akan mengikatnya dengan kelab itu hingga 2034.

Penyerang sensasi Norway itu juga menjaringkan hatrik ketika City menang 4-1 ke atas Ipswich pada Ogos.

Namun, bek kanan Kyle Walker sekali lagi tidak terlibat dalam kesebelasan City selepas pemain England itu dilaporkan mungkin berpindah ke kelab Italy, AC Milan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg