MANCHESTER: Ketua jurulatih Manchester United, Ruben Amorim, kekal dengan pendiriannya untuk menggunakan formasi kontroversial 3-4-3, yang menampilkan tiga pemain di benteng pertahanan, empat di bahagian tengah dan tiga di posisi serangan.
Amorim menegaskan beliau tidak akan mengubah falsafah permainannya, sambil menyatakan jika pasukan mahukan pendekatan berbeza, mereka perlu “menukar orangnya”, merujuk kepada dirinya sebagai jurulatih kelab.
Kekalahan 0-3 kepada Manchester City menyaksikan United memulakan musim liga dengan permulaan terburuk sejak musim 1992-93 di bawah bimbingan Sir Alex Ferguson, dengan hanya mengumpul empat mata daripada empat perlawanan.
Walaupun United berjaya menamatkan penantian 26 tahun untuk menjuarai liga pada musim itu, penting untuk diingat bahawa liga ketika itu merangkumi 42 perlawanan dan tiada tempoh pemindahan yang ditentukan.
Ini bermakna Ferguson boleh membeli pemain seperti Eric Cantona pada November, satu langkah yang tidak boleh dilakukan pada masa ini.
Meskipun telah berbelanja lebih £200 juta (sekitar $300 juta) untuk pemain baru dalam dua musim panas lalu, firma statistik Opta mendedahkan United kini berdepan risiko mengejutkan.
Selepas hanya empat perlawanan, peluang mereka untuk disingkirkan ke liga bawahan (11%) adalah lebih tinggi berbanding peluang untuk menamatkan musim dalam kelompok lima teratas (7.3%).
Mantan kapten United, Roy Keane, meluahkan kebimbangannya kepada Sky Sports:
“Ia amat membimbangkan. Pasukan United ini tidak cukup bermutu. Lihat saja keputusan perlawanan, mata bagi setiap perlawanan, serta bilangan jaringan dan gol yang masuk ke gawang sendiri. Semuanya tidak meyakinkan.
“Anda boleh bercakap tentang sistem permainan, tetapi pengurusnya tetap berpegang pada pendiriannya. Beliau tidak mahu mengalah,” tambah Keane.
Ramai telah mempersoalkan taktik formasi Amorim dan walaupun telah berkali-kali mempertahankan sistem itu, beliau secara terang-terangan menegaskan pendiriannya dalam sidang media di Stadium Etihad pada petang 14 September.
“Saya faham dan terima bahawa keputusan itu tidak sepatutnya direkodkan oleh Manchester United.
“Terdapat banyak perkara yang anda tidak tahu telah berlaku sepanjang beberapa bulan ini, tetapi saya tidak akan berubah.
“Jika saya mahu mengubah falsafah saya, saya akan mengubahnya. Jika tidak, anda perlu menukar orangnya (merujuk kepada dirinya),” tegas Amorim.
Ketika kamera menyorot pemilik kelab, Sir Jim Ratcliffe, pada penghujung kekalahan terbaru United di bawah bimbingan Amorim, timbul persoalan sama ada isu ini sedang bermain di fikirannya.
Mungkin juga Ratcliffe sedang memikirkan tentang kegagalan penyerang barunya itu, Benjamin Sesko, yang tidak dapat menjaringkan gol dalam kotak penalti lawan sepanjang perlawanan.
Ini berlaku kurang daripada 24 jam selepas Rasmus Hojlund, pemain yang dipindahkan untuk membawa masuk pemain baru itu, menjaringkan gol pada penampilan sulungnya bersama Napoli.
Apa pun yang difikirkan Ratcliffe, ia pastinya bukan sesuatu yang menyenangkan, sama seperti jawapan Amorim yang kelihatan bergelut untuk menjelaskan satu lagi persembahan mengecewakan dalam musim yang beliau berjanji akan menunjukkan prestasi lebih baik.
“Saya faham aturan bola sepak dan keputusan perlawanan menentukan segala-galanya. Prestasi kami semakin baik, tetapi keputusan tidak menunjukkan perkara tersebut.
“Saya faham dengan rekod ini dan saya juga faham dengan keputusan yang bakal datang bersamanya,” kata Amorim.
“Apa yang boleh saya katakan adalah, saya akan berikan segalanya dan lakukan yang terbaik untuk kelab. Namun, keputusan akhir bukan di tangan saya.
“Selagi saya di sini, saya akan lakukan yang terbaik dan saya menderita lebih daripada mereka,” tambah Amorim, merujuk kepada penyokong.
Kenyataan itu dibuat ketika sebahagian besar penyokong telah meninggalkan stadium sebelum jurulatih itu dan pemainnya memberi penghargaan kepada sebilangan kecil penyokong yang masih berada di tempat duduk stadium. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg