MANCHESTER (ENGLAND): Keputusan Manchester United untuk membayar 18.1 juta paun bagi penjaga gawang, Senne Lammens, yang berusia 23 tahun, mencerminkan semangat kuat untuk memenuhi ‘Projek 150’ – rancangan untuk menjuarai Liga Perdana England (EPL) pada 2028 sempena dengan hari jadi ke-150 kelab itu.
Rancangan tersebut diperkenalkan oleh ketua eksekutif United, Omar Berrada, pada September 2024.
Berrada mengukuhkan sasaran itu sewaktu sesi temu ramah bersama majalah peminat United terkenal, We Stand, pada Jun 2025 dengan menyatakan: “Mengapa tidak cuba mencapainya?”
Dengan pendekatan membina kelab demi masa depan lebih baik, United telah membuat keputusan merekrut Lammens 12 jam sebelum jendela perpindahan EPL musim panas tamat pada 1 September, lapor agensi media BBC Sport pada 2 September.
United telah mengarah Lammens supaya menaiki pesawat privet untuk ke Manchester, dan bukannya penjaga gawang daripada Aston Villa, Emiliano Martinez, meskipun Martinez telah mengharapkan pemindahan tersebut sejak musim EPL 2024/2025 tamat.
United mengakui pengalaman hebat Martinez, penjaga gawang Argentina, di dalam EPL dan juga sebagai pemenang Piala Dunia 2022.
Namun, United tetap memilih Lammens daripada kelab Belgium Royal Antwerp kerana beliau didapati lebih cekap menangkap hantaran bola dari tinggi, menghentikan tembakan oleh penyerang lawan dan jarang membuat kesilapan, melalui analisis data kelab itu.
Berdiri pada ketinggian 1.93m, Lammens kelihatan besar di depan gawang dan menggunakan saiznya untuk menghentikan tembakan bola.
Lammens berjaya menyelamatkan gol sebanyak 173 kali pada musim 2024/2025, iaitu jumlah yang terbesar berbanding dengan penjaga gawang dalam sepuluh liga Eropah utama yang lain.
Lammens merupakan penghenti hantaran lintang yang terbaik di Eropah pada musim yang lalu, dengan mencatatkan kadar kejayaan 13.2 peratus.
Lammens turut mahir menggunakan kakinya untuk meramal arah tembakan bola oleh penyerang lawan.
Dalam situasi satu-lawan-satu, Lammens mahir bergerak ke hadapan untuk mengecilkan ruang bagi penyerang lawan membuat pukulan.
Pendekatan ini menyebabkan Lammens terdedah kepada tembakan bola deras.
Namun, Lammens dapat meregangkan badannya dan menggunakan kakinya untuk menyelamatkan gol.
Lantas, sifat yakin dan rajin Lammens merupakan tanda positif yang bakal menyokong para pemain di bawah arahan ketua jurulatih United, Ruben Amorim. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg