MADRID: Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti, pada 10 Jun menafikan bahawa pemenang Liga Juara-Juara Eropah itu enggan bermain dalam Piala Dunia Kelab yang diperluaskan pada 2025, sambil mendakwa bahawa ulasan beliau kepada sebuah akhbar Italy telah disalah tafsir.
“Dalam temu bual saya bersama (akhbar), Il Giornale, kata-kata saya mengenai Piala Dunia Kelab Persekutan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) tidak ditafsir seperti yang saya maksudkan,” kata Ancelotti menerusi aplikasi X.
Real Madrid, yang telah memenangi Piala Dunia Kelab sebanyak tiga kali, akan mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.
“Saya tidak bermaksud menolak kemungkinan bermain dalam kejohanan yang saya anggap sebagai satu peluang amat baik untuk terus bersaing bagi gelaran hebat bersama Real Madrid,” tambahnya.
Pada 10 Jun, Ancelotti telah dipetik oleh akhbar, Il Giornale, sebagai berkata bahawa “pemain dan kelab tidak akan menyertai” kejohanan yang akan diadakan di Amerika Syarikat itu.
“Satu perlawanan Real Madrid bernilai 20 juta euro ($29.1 juta) dan Fifa mahu memberikan jumlah ini untuk keseluruhan piala. Tidak mungkin. Seperti kami, kelab lain pasti akan menolak jemputan ini,” kata beliau seperti yang dipetik akhbar tersebut.
Real Madrid, yang memenangi gelaran La Liga dan menjadi juara Liga Juara-Juara Eropah buat kali ke-15 pada musim 2023-24 di bawah bimbingan Ancelotti, turut menafikan dakwaan berkenaan.
“Real Madrid ingin mengumumkan bahawa tidak ada persoalan mengenai penyertaan kami dalam Piala Dunia Kelab baru anjuran Fifa ini pada musim 2024-2025,” jelas kelab itu dalam satu kenyataan di laman webnya.
“Oleh itu, kelab kami akan mengambil bahagian, seperti dirancang, dalam kejohanan rasmi ini dan kami gembira dan teruja untuk terlibat di dalamnya.
“Kami akan sekali lagi memberi inspirasi kepada jutaan peminat kami di seluruh dunia dengan satu lagi trofi.”
Pasukan lain dari Eropah yang layak menyertai kejohanan tersebut adalah Chelsea, Manchester City, Bayern Munich, Paris Saint-Germain, Inter Milan, Porto, Benfica, Borussia Dortmund, Juventus, Atletico Madrid dan Red Bull Salzburg. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg