Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bernardo Silva lebih hargai anugerah berpasukan

Tumpuannya kini bantu pasukan negaranya Portugal buru kejuaraan di Euro 2024 selepas bantu kelabnya Manchester City ungguli EPL buat musim keempat berturut-turut
Jun 10, 2024 | 5:30 AM
Sasaran Bernardo Silva (dua dari kanan) selanjutnya adalah menjulang piala Kejohanan Eropah atau Euro 2024 bersama skuad negaranya, Portugal.
Sasaran Bernardo Silva (dua dari kanan) selanjutnya adalah menjulang piala Kejohanan Eropah atau Euro 2024 bersama skuad negaranya, Portugal. - Foto REUTERS

LONDON: Pada awal 2024, di majlis penganugerahan bola sepak terbaik Persekutan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) yang berlangsung di London, tonggak midfield Manchester City, Bernardo Silva, mendapat kedudukan sebagai pemain kelapan terbaik di dunia bagi musim 2023.

Ia penganugerahan yang diundi para pemain, jurulatih serta wartawan dari serata dunia.

Bintang handalan Argentina yang kini beraksi dengan kelab Inter Miami di Amerika Syarikat, Lionel Messi, mengatasi penyerang sensasi City, Erling Haaland, untuk merangkul anugerah tertinggi di acara tersebut.

Apabila ditanya tentang penganugerahan itu, Silva ternyata merendah hati dan mempunyai pandangannya sendiri.

“Penghargaan memang sentiasa baik.

“Dalam hal ini saya berpendapat yang saya akan berikan kepentingan yang bersesuaian.

“Sebab akhirnya, kita bermain dalam sukan yang memerlukan seluruh pasukan itu.

“Kini anugerah individu sering kali milik penyerang kerana mereka pemain yang mempunyai sentuhan terakhir.

“Tapi jika anda faham sesuatu permainan itu, seseorang yang terlibat dalam permainan tersebut, tidak kira pemain atau pengurus, anda tahu betapa pentingnya untuk mempunyai penjaga gawang, pemain pertahanan, pemain tengah dan penyerang – semuanya berganding dengan baik... bukan sekadar pemain penyerang yang baik sahaja,” katanya.

“Padahal seorang penyerang itu tidak dapat memenangi permainan atau kejuaraan itu seorang diri.

“Asasnya adalah di bahagian pertahanan. Jika anda bertahan dengan baik, anda akan serang dengan lebih baik.

“Apabila saya lihat kepada anugerah individu itu dan saya lihat hanya mereka yang jaringkan gol yang memenanginya, saya rasa ia tidak begitu memaparkan sukan tersebut dengan baik,” tambah Silva, yang dijangka menjadi tonggak Portugal di Euro 2024 yang akan berlangsung di Jerman pada 14 Jun.

Difahamkan rakan sepasukannya dalam skuad Portugal, Pepe, dan pengurus pasukan nasional, Roberto Martinez, antara yang memilih dan mengundi Silva untuk anugerah tersebut.

“Apabila orang sekeliling anda percayakan anda, boleh bergantung pada anda, dan fikir yang anda boleh bantu mereka menang... maka ia menjadi motivasi untuk anda terus lakukan yang terbaik.”

Pucuk pangkalnya, Silva dianggap sebagai pemain berpasukan yang handal dalam konteks bola sepak moden hari ini.

“Saya sentiasa cuba melakukan yang terbaik untuk menyokong rakan sepasukan.

“Bagi saya, menang Liga Juara-Juara Eropah lebih baik daripada menang Ballon d’Or. Saya tidak akan menggantikannya,” katanya.

Menurut Silva, sasaran beliau selanjutnya adalah memenangi Euro 2024.

Beliau berkongsi bahawa masih segar dalam ingatan apabila negaranya menjulang trofi kejuaraan Euro 2016.

Namun akibat kecederaan yang dialami, beliau tidak dapat disertakan dalam pertandingan tersebut pada ketika itu. Lantas beliau hanya mampu menyaksikan rakan-rakannya menjulang piala kejohanan itu dari jauh.

Ditanya tentang perasaannya pada ketika itu, Silva menjawab:

“Ia merupakan emosi yang bercampur aduk.

“Saya amat kecewa sebelum pertandingan bermula kerana saya tidak berpeluang menyertai pasukan padahal saya ingin sekali menjadi sebahagian daripada skuad kebangsaan kami.

“Memang saya terlibat dalam semua pertandingan kelayakannya.

“Ketika itu Euro 2016 adalah pertandingan pertama yang terbesar buat saya dan saya sepatutnya berada di sana jika tidak kerana kecederaan yang dialami.

“Tapi akhirnya, apabila pasukan kami menang pertandingan itu, semua orang amat gembira... keluarga saya, sahabat dan semua orang yang saya kenali.

“Tapi buat saya ia merupakan perasaan yang bercampur aduk. Geram kerana tidak dapat bermain tapi gembira kerana ia adalah kejuaraan terbesar pertama buat negara kami.”

Sepanjang lapan tahun lalu, Silva yang bakal mencecah usia 30 tahun pada Ogos ini telah pun merangkul enam piala – terbaru ialah membantu City menjuarai Liga Perdana England (EPL) musim ini yang melabuhkan tirainya baru-baru ini.

Pada 2023, beliau menambah piala Liga Juara-Juara Eropah dalam senarai kejuaraan yang dimenanginya bersama City.

Kini beliau tidak sabar untuk memburu kejuaraan Euro 2024 pula.

“Anehnya tentang bermain untuk negara, orang seperti nenek saya yang tidak peduli tentang bola sepak akan menontonnya apabila Portugal bermain.

“Apabila sesebuah negara itu bermain, semua orang akan menontonnya. Termasuk mereka yang tidak gemar sukan itu,” kata Silva.

Maka adakah beliau rasa tertekan untuk mewakili negara?

“Apabila anda bermain dalam pertandingan Euro, sudah pasti tekanannya berbeza... anda mewakili seluruh negara, keluarga dan sahabat anda. Kita semua manusia.

“Sebagai pemain anda akan berasa lebih tertekan. Bermain untuk Portugal biasanya berbeza sedikit (daripada menyarungi jersi kelab) dan yang pasti, tentu sekali lebih istimewa,” ujarnya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg