Topik diikuti
Pergi ke BHkuAndreeva tewaskan Sabalenka untuk mara ke separuh akhir WTA Finals
Andreeva tewaskan Sabalenka untuk mara ke separuh akhir WTA Finals
INDIAN WELLS: Juara Terbuka Perancis, Mirra Andreeva, mara ke pusingan akhir Persatuan Tenis Wanita (WTA Finals) pada 11 November selepas menewaskan Aryna Sabalenka 6-4, 6-0.
Sementara itu, Elina Svitolina mengekalkan peluangnya dengan kemenangan tiga set ke atas Karolina Muchova.
Andreeva, 19 tahun, dari Russia, tetap tenang selepas ketinggalan 4-1 pada set pertama — beliau memenangi 11 pusingan terakhir untuk menamatkan perlawanan peringkat ‘round-robin’ (melawan setiap pasukan) itu dalam masa 62 minit sahaja.
“Saya lebih gembira berbanding selepas perlawanan pertama saya.
“Rasanya saya boleh bermain dua lagi perlawanan, saya penuh tenaga. Saya sangat bersemangat dan sangat gembira,” kata Andreeva.
Andreeva meraih tiga gelaran pada 2026, termasuk Grand Slam sulungnya di Roland Garros.
Ini penampilan sulungnya dalam acara perseorangan kejohanan elit penutup musim itu.
Pemain ketiga dunia itu kelihatan gugup pada awal perlawanan menentang Sabalenka, pemain kedua dunia.
Beliau geram kerana kehilangan servisnya akibat double fault, tetapi berjaya bangkit. Beliau menangani servis kuat Sabalenka dengan mudah dan menolak pemain Belarus itu ke belakang dengan pukulan groundstroke yang kuat.
Andreeva mengekalkan momentum dengan merampas servis untuk mendahului 3-0 pada set kedua. Sabalenka, yang ketinggalan 0-40, menyelamatkan tiga mata rampasan servis.
Namun, Andreeva mencipta satu lagi peluang menerusi voli kemenangan yang hebat, dan merampas servis sekali lagi apabila pukulan depan (forehand) Sabalenka tersasar sedikit.
Sabalenka yang semakin hilang rentak gagal memberikan tentangan. Pukulan belakangnya (backhand) yang tersangkut di jaring memberikan mata perlawanan kepada Andreeva, sebelum pemain itu menamatkan perlawanan dengan servis kemenangan.
Ini satu lagi prestasi mengecewakan bagi Sabalenka, 28 tahun, yang meraih tiga kemenangan musim ini.
Kejayaan itu termasuk kemenangan berturut-turut yang berprestij di Indian Wells dan Miami, namun tiada Grand Slam.
Sabalenka, yang tampil dalam perlawanan akhir untuk kali keenam berturut-turut, masih boleh mara jika menewaskan Svitolina dalam perlawanan ‘round-robin’ terakhir mereka pada 13 November.
Svitolina bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan Muchova 3-6, 6-2, 6-2.
Svitolina, veteran dari Ukraine, pernah menjulang trofi WTA Finals pada 2018, tetapi tidak kembali ke kejohanan elit penutup musim itu sejak 2019.
Beliau bermula dengan kurang baik menentang Muchova, yang tiga kali merampas servis Svitolina pada set pertama.
Ketika ketinggalan 2-1 dengan servis pada set kedua, Svitolina menemui rentaknya dan memenangi lima pusingan berturut-turut untuk memaksa set ketiga.
“Saya kurang berpuas hati dengan permainan saya pada set pertama. Saya tidak bermain dengan baik. Jadi, saya mengubah sedikit strategi permainan,” kata Svitolina.
“Saya rasa ia membantu saya menjadi lebih agresif, kerana saya terlalu pasif pada set pertama.”
Kekalahan kedua Muchova dalam peringkat ‘round-robin’, ditambah kemenangan Andreeva, bermakna pemain Czech itu tersingkir daripada saingan separuh akhir. – AFP.