Beli sepasang kasut loafer, tempah sesi urut dan nikmati makan malam bersama ayah.

Itulah hasrat Leylah Fernandez selepas menjuarai Terbuka Tenis Singapura WTA 500 pada 27 September.

Beliau juga telah berkenan dengan beberapa kasut dan pakaian, tetapi tidak pasti sama ada ayah yang juga jurulatihnya, Jorge Fernandez, akan membenarkannya.

Kini, pemain berusia 24 tahun itu ada sebab untuk meraikannya dengan membeli-belah.

Pemain Canada dengan ranking dunia ke-31 itu meraih gelaran Persatuan Tenis Wanita (WTA) pertamanya musim ini selepas menewaskan pemain Australia ke-63 dunia, Talia Gibson, 7-5, 6-0 dalam final, menamatkan kemarau gelaran sejak Oktober 2025.

Selepas menang dalam 1 jam 38 minit, Fernandez, yang menyertai kejohanan menerusi ‘wildcard’ (undangan khas), berkata: “Saya hanya memikirkan kegembiraan. Saya langsung tidak berhenti tersenyum.”

“Semasa perlawanan, saya hanya tumpukan perhatian pada bola dan tenangkan diri agar kekal pada sasaran.”

“Ia amat bermakna bagi saya. Minggu ini penuh perjuangan dan ketabahan. Memenangi perlawanan terakhir untuk meraih trofi ini begitu bermakna sekali untuk saya.”

Gibson pula menerima kekalahan dengan terbuka, mengucapkan tahniah kepada Fernandez serta berterima kasih kepada pasukannya dan petugas kejohanan di Arena OCBC, The Kallang, yang menarik 50,000 penonton sepanjang sembilan hari.

Walaupun kecewa, pemain berusia 22 tahun itu tidak menyangka akan mara ke final pertamanya.

Gibson berkata: “Setiap lawan membawa cabaran berbeza. Hari ini, saya tidak dapat bermain pada tahap prestasi yang saya inginkan.”

“Memang kecewa kerana tidak menang, tetapi banyak yang boleh saya pelajari. Berjaya mara ke final ini juga membuatkan saya lebih yakin dengan diri dan permainan saya di Jelajah WTA.”

Beliau berharap lebih banyak final menantinya, sambil berkata: “Saya mahu menikmati kejayaan ini dan belajar daripada kesilapan.”

Gibson turut berbangga dengan pencapaiannya selepas menyingkirkan bekas pemain ke-3 dunia Maria Sakkari di pusingan suku akhir.

Beliau menamatkan 2025 di ranking ke-136 dunia sebelum mencapai ranking tertinggi kerjayanya, ke-55, pada Mei.

Kedua-dua pemain mengambil masa menyesuaikan diri dalam final sebelum Fernandez mematahkan servis untuk mendahului 6-5.

Fernandez memenangi set pertama dalam 1 jam 6 minit sebelum memanfaatkan kesilapan Gibson untuk menamatkan set kedua dalam hanya 32 minit.

Naib juara Terbuka Amerika Syarikat 2021 itu berkata keseimbangan antara menyerang dan bertahan menjadi kunci kemenangannya. Hari itu, semuanya berjalan lancar.

“Saya agak kecewa apabila Gibson mematahkan servis saya pada set pertama dan terlalu memikirkannya. Selepas itu, saya ikut naluri dan arahan jurulatih.”

Selepas seminggu membimbing dan memberi semangat kepada anaknya, Jorge tersenyum lebar melihat Fernandez bergambar dan menandatangani autograf.

Jorge, 56 tahun, memuji ketabahan dan kesabaran Fernandez sejak menjalani pembedahan ringan kaki pada penghujung 2025.

Sebelum minggu itu, pencapaian terbaiknya pada 2026 ialah tiga kali mara ke suku akhir. Dalam pertandingan bertaraf Grand Slam – beliau tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Australia, Roland Garros dan Wimbledon sebelum tewas kepada Jessica Pegula pada pusingan ketiga di Terbuka Amerika Syarikat.

Jorge berkata: “Saya beritahu beliau apa yang diinginkannya bukanlah sesuatu yang mudah. Sasaran besar membawa cabaran besar. Kita perlu menerima saat sukar, terus berusaha dan percaya pada diri sendiri.

“Rancangan mungkin sempurna, tetapi tetap perlu dilaksanakan. Badai pasti datang, jadi kita perlu mengharunginya sebelum langit kembali cerah.”

Selepas mengharungi cabaran dan meraih hadiah AS$185,500 ($237,100), adakah Fernandez boleh membeli-belah?

“120 peratus boleh,” jawab Jorge, sambil menambah secara berseloroh: “Dia memang layak. Kalau saya kata tidak, seluruh Singapura akan menentang saya!”