LONDON: Ange Postecoglou percaya “masa menggembirakan” sedang menanti Nottingham Forest, sedang jurulatih dari Australia itu berazam menamatkan penantian 35 tahun kelab tersebut untuk meraih piala utama.
Jurulatih baru berusia 60 tahun itu menggantikan Nuno Espirito Santo pada 9 September, selepas pengurus dari Portugal itu bertengkar dan berselisih faham dengan pemilik Forest yang bercita-cita tinggi, Evangelos Marinakis.
Jutawan Greece tersebut menekankan rekod kejayaan Postecoglou yang pernah memenangi piala bagi Tottenham Hotspur, Celtic dan Yokohama Marinos, di samping tempoh perkhidmatan beliau yang amat baik semasa membimbing pasukan Australia – sebagai sebab beliau dilantik menjadi pengurus Forest.
“Saya teruja dan benar-benar menantikan detik ini. Saya sangat gembira berada di sini.
“Kelab ini mempunyai cita-cita besar, dan itu penting bagi saya. Kami mempunyai skuad yang menarik,” kata Postecoglou dalam satu temu bual bersama saluran media Forest.
“Saya suka mencapai kemenangan. Itulah yang saya lakukan... Saya bekerja keras sepanjang 28 tahun lalu untuk berada di kedudukan ini, kerana saya tidak pernah meletakkan had pada apa yang ingin saya capai.
“Saya dapat merasakan kelab ini mahukan lebih banyak kejayaan, dan itu juga yang saya inginkan.
“Jadi saya fikir ini adalah masa menggembirakan. Saya rasa dihargai dan rendah hati, tetapi yang lebih penting, saya berazam memastikan kelab bola sepak ini berada di tempat yang sewajarnya.”
Forest, juara dua kali Piala Eropah – yang memenangi piala tersebut dua tahun berturut-turut pada 1979 dan 1980 – kembali ke pertandingan Eropah dalam Liga Europa buat kali pertama selepas 30 tahun, hasil kejayaan menamatkan saingan di tempat ketujuh dalam Liga Perdana England (EPL) musim lalu.
Postecoglou memimpin Spurs menjuarai Liga Europa musim lalu, menamatkan penantian 17 tahun kelab tersebut untuk meraih piala, lapor agensi berita.
Walaupun mencapai kejayaan tersebut, beliau tetap dipecat selepas memimpin kempen EPL yang mengecewakan, apabila Spurs menamatkan saingan di tangga ke-17.
Pendekatan menyerang beliau yang terlalu berani tetapi kurang berhati-hati, telah dikritik sebagai naif dan amat berbeza dengan gaya permainan Nuno yang lebih berhati-hati.
Bagaimanapun, beliau mempertahankan taktik permainan tersebut dan yakin dapat meneruskan perkembangan positif Forest.
Selepas 23 tahun tidak berada di liga utama England, Forest kembali ke EPL pada 2022 dan berjuang mengelak penyingkiran ke liga bawahan selama dua tahun berikutnya, sebelum mencapai prestasi membanggakan pada musim lalu. – Agensi berita.
“
“Saya teruja dan benar-benar menantikan detik ini. Saya sangat gembira berada di sini. Kelab ini mempunyai cita-cita besar, dan itu penting bagi saya. Kami mempunyai skuad yang menarik.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg