Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nottingham Forest pecat pengurus, Nuno Espirito Santo

Hanya berkhidmat selama 21 bulan dek masalah dengan pemilik kelab
Sep 9, 2025 | 3:00 PM
Nottingham Forest, Nuno Espirito Santo
Pengurus Nottingham Forest, Nuno Espirito Santo, yang dilantik pada Disember 2023, berjaya membimbing Forest mengelak penyingkiran ke liga bawahan pada musim sulungnya. - Foto REUTERS

LONDON: Nottingham Forest memecat pengurusnya, Nuno Espirito Santo, pada 9 September, menjadikan beliau pengurus Liga Perdana England (EPL) pertama musim ini yang kehilangan jawatan.

“Kelab ini mengucapkan terima kasih kepada Nuno atas sumbangannya sepanjang era yang sangat berjaya ini,” kata satu kenyataan kelab tersebut, yang dikeluarkan selepas tengah malam 9 September.

Pengurus dari Portugal itu telah memimpin Forest selama 21 bulan di City Ground.

Namun dua minggu lalu, beliau berkata hubungannya dengan pemilik kelab, jutawan Greece, Evangelos Marinakis, sudah retak.

“Kelab Bola Sepak Nottingham Forest mengesahkan, berikutan keadaan baru-baru ini, Nuno Espirito Santo hari ini dilepaskan daripada tugasnya sebagai ketua jurulatih,” menurut kelab itu.

Pengurus berusia 51 tahun itu dilantik pada Disember 2023 selepas Steve Cooper dipecat.

Beliau kemudian melaksanakan tugasnya dengan baik dan berjaya membimbing Forest mengelak penyingkiran ke liga bawahan, lapor The Straits Times (ST).

Musim lalu, Forest menamatkan saingan di tempat ketujuh dalam EPL, kedudukan tertingginya sejak 1994-95.

Pencapaian itu membolehkan mereka layak ke pertandingan Eropah buat pertama kali dalam 30 tahun, dengan tempat Liga Europa diberikan kepada Forest, menggantikan tempat awalnya dalam Liga Persidangan.

Ini selepas Crystal Palace disingkirkan daripada saingan Liga Europa kerana melanggar peraturan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) berhubung isu pemilikan pelbagai kelab.

“Kelab ini mengucapkan terima kasih kepada Nuno atas sumbangannya sepanjang era yang sangat berjaya di City Ground, khususnya peranan beliau semasa musim 2024-25, yang akan sentiasa dikenang dalam sejarah kelab ini.

“Sebagai individu yang memainkan peranan penting dalam kejayaan kami pada musim lalu, beliau akan sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam perjalanan kami,” tambah kenyataan itu.

Media Britain melaporkan bahawa perbincangan telah dimulakan untuk melantik pengganti, dengan bekas pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou, dikatakan antara calon yang mungkin dilantik, bersama Oliver Glasner daripada Palace dan Andoni Iraola daripada Bournemouth.

Nuno menandatangani lanjutan kontrak hingga 2028 pada Jun, namun keretakan hubungannya dengan pemilik kelab mula terserlah walaupun prestasi di padang memberangsangkan.

Selepas seri 2-2 menentang Leicester City dalam saingan EPL Mei lalu, Marinakis, hartawan syarikat perkapalan Greece, turun ke padang dan bertekak dengan Nuno.

Forest kemudiannya menolak laporan mengenai konfrontasi panas antara kedua-dua mereka sebagai “berita palsu”. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg