Pesilat muda bersemangat harungi cabaran Sukan SEA
INGATANNYA menyusur Sukan SEA 2019.
Berada di tempat duduk penonton, Aniq Asri Mohd Yazid tak henti-henti bersorak, memberi semangat kepada kakaknya, pesilat, Nurzuhairah Mohd Yazid, yang sedang beraksi di temasya yang berlangsung di Subic, Filipina.
Dua setengah tahun kemudian, siapa sangka Aniq beralih dari 'tempat duduk penonton' untuk melangkah masuk dan beraksi di gelanggang di temasya sukan dwitahunan itu.
Pesilat muda berusia 16 tahun ini bakal membuat penampilan sulungnya di Sukan SEA di Hanoi bulan ini. Beliau akan bersaing dalam acara tanding putera kelas B (50-55 kilogram).
Pelajar Menengah 5 di Sekolah Sukan Singapura itu juga adalah pesilat termuda dalam skuad Singapura di Sukan SEA tahun ini.
"Saya tidak pernah membayangkan diri saya akan ke Sukan SEA sebab ia adalah sesuatu yang amat bermakna sekali," kata Aniq, anak bongsu daripada keluarga tiga beradik silat.
"Ketika saya ke Filipina untuk menyokong kakak saya dua tahun lalu, saya ada simpan hasrat untuk bertanding di Sukan SEA suatu hari nanti. Dan sekarang saya sudah berjaya ke Sukan SEA, sukar untuk saya menggambarkan perasaannya."
Aniq, yang mula berjinak-jinak dalam silat seawal kira-kira usia empat tahun, terdorong untuk mencapai kecemerlangan dalam sukan itu setelah meraih inspirasi melihat kejayaan kededua kakaknya.
Kakak sulungnya, Nurzuhairah, merupakan juara dunia 2018, dan pernah memenangi pingat emas di Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dan pingat perak di Sukan Asia 2018 di Jakarta.
Seorang lagi kakaknya, Nurzianah, adalah pemenang pingat emas dalam acara seni tunggal di Kejohanan Pencak Silat Remaja Sedunia 2018 dan setahun kemudian, menang pingat gangsa dalam acara tanding kelas C (55-60 kilogram) di Kejohanan Pencak Silat Pantai Sedunia.
"Sayalah budak yang sering mengikut kakak-kakak ke mana saja mereka pergi. Tapi, hari demi hari, saya melihat mereka bertanding dan menang banyak pingat, itu yang buat saya ingin menjadi seperti mereka dan mencapai tahap mereka," kongsi Aniq.
Aniq juga tidak kurang hebatnya melakar laluan kejayaan sendiri selepas melalui tahun cemerlang pada 2019 - meraih pingat emas dalam acara tanding kelas D (60-65 kilogram) junior di Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Korea, Terbuka Belgium, Terbuka Amerika Syarikat dan dua Terbuka Singapura.
Di Hanoi bulan ini, Aniq berharap dapat mengharumkan nama Singapura sekali lagi.
"Pastinya saya inginkan pingat emas... apapun jika berjaya menduduki antara di tiga tempat teratas tentu satu pencapaian besar buat saya," tambah beliau.