LONDON: Perjalanan dari Ukraine ke England menawarkan satu kelegaan bagi Shakhtar Donetsk, meskipun mereka terpaksa berdepan Arsenal, pasukan yang kini menduduki tangga ketiga dalam Liga Perdana England (EPL), bagi perlawanan Liga Juara-Juara pada 22 Oktober (dinihari 23 Oktober waktu Singapura).
Ini kerana bagi Shakhtar, realiti perang di Ukraine sentiasa menghantui pemain, pasukan dan jadual perlawanan liga setempat iaitu Liga Perdana Ukraine serta perlawanan antara kelab-kelab Eropah yang disertainya.
Dua hari sebelum Shakhtar dijadualkan berdepan pasukan Kryvbas dalam perlawanan liga pada September, hotel yang sepatutnya menjadi tempat penginapan mereka menjadi sasaran peluru berpandu Russia.
Media tempatan, The Kyiv Independent, melaporkan bahawa empat orang terbunuh dan ramai lagi cedera dalam serangan di Kryvyi Rih itu, kawasan yang hanya sekitar 64 kilometer dari zon yang dikuasai Russia dan merupakan sasaran utama serangan udara.
Ketua eksekutif Shakhtar, Sergei Palkin, memberitahu BBC Sport tragedi yang menanti sekiranya pasukan mereka berada di hotel itu.
“Sukar untuk menguruskan pasukan dan menarik pemain baru dalam situasi seperti ini. Bagi saya, sukar untuk membawa pemain ke Kryvyi Rih dan bermain bola sepak,” jelasnya.
Menurut Palkin, walaupun mereka menitikberatkan tahap keselamatan yang tinggi, secara mental, sukar untuk meyakinkan pemain untuk datang ke Kryvyi Rih dalam keadaan sedemikian.
Perlawanan Liga Perdana Ukraine itu masih tetap diteruskan, tetapi terganggu pada minit ke-51 apabila amaran serangan udara dibunyikan. Baki permainan itu ditunda ke tarikh lain. Perlawanan liga Shakhtar menentang Dnipro pada awal 2024 turut terhenti beberapa kali dek siren amaran.
Kapten pasukan Shakhtar, Taras Stepanenko, meluahkan kebimbangannya selepas insiden Kryvbas.
“Saya bimbang, keluarga saya bimbang, dan saya tahu isteri para pemain sangat risau. Bagi pemain asing, itu boleh difahami.
“Ia sukar, ia tidak begitu menyenangkan, dan saya fikir orang yang menganjurkan kejohanan, yang menganjurkan perlawanan kami, harus memberi lebih banyak perhatian kepada soal keselamatan kerana ia bukan perkara yang remeh,” terang Stepanenko.
Kejohanan Liga Juara-Juara sekurang-kurangnya memberi Shakhtar peluang bermain jauh daripada ancaman perang, tetapi perjalanannya membawa cabaran tersendiri.
Untuk Shakhtar berdepan Arsenal di Stadium Emirates pada 22 Oktober, mereka terpaksa menempuh perjalanan yang jauh.
Pada 18 Oktober, mereka terpaksa menaiki bas dari Kyiv ke Lviv, berlatih selama sehari, sebelum melintasi sempadan ke Rzeszow, Poland, dan seterusnya menaiki pesawat ke London.
Perjalanan sebegitu “sangat mencabar”, kata Palkin, dan ia meninggalkan kesan ke atas keadaan fizikal dan mental pemain, sekali gus menjejas daya saing mereka.
Shakhtar terpaksa membiasakan diri bermain di tempat asing. Sudah 10 tahun berlalu sejak mereka berpindah keluar dari Donetsk akibat pemisah pro-Russia yang merampas kawasan besar di wilayah itu, lalu mengisytiharkan kawasan tersebut sebagai Republik Rakyat Donetsk (DPR).
Konflik itu kini tenggelam dalam perang yang lebih besar di Ukraine, yang bermula dengan pencerobohan Russia dua tahun lalu. Sukan bola sepak terhenti seketika tetapi kemudian bersambung semula untuk musim 2022-23.
Sepanjang konflik itu, Shakhtar telah menghadapi pelbagai cabaran termasuk kesukaran menarik bakat baru yang handal disebabkan kebimbangan mereka bermain dalam zon perang.
Pemindahan pangkalan latihan dari Donetsk ke Kyiv juga menyebabkan mereka kehilangan sokongan peminat tempatan serta stadium mereka, Stadium Pusat Shakhtar, salah satu stadium terbaik di Eropah. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg