Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Pengurus Brighton De Zerbi bawa bola sepak ke tahap lebih tinggi

Oct 22, 2023 | 05:31 AM



LONDON: Pep Guardiola telah mencipta satu cara permainan yang baru dalam tempoh 15 tahun, yang mempengaruhi budaya bola sepak, negara dan jurulatih lain.


Namun, tidak ramai yang mengambil ‘iktibar’, memahami cara permainan itu dengan mendalam dan mempunyai keberanian untuk membawa gaya permainan itu ke tahap seterusnya, seperti pengurus asal Italy, Brighton & Hove Albion, Roberto De Zerbi (gambar).

Keghairahan dan komitmen yang ditunjukkan oleh De Zerbi amat dihargai para penyokong Brighton setelah pengurus itu mengambil alih kepimpinan kelab daripada Graham Potter, tetapi tetap mampu memperkukuh kedudukan Brighton daripada pasukan di ambang kepupusan ke Liga Perdana England.

Prestasi De Zerbi kini menarik perhatian ramai. Pengurus berusia 44 tahun yang lahir di Brescia, Italy itu dianggap dunia bola sepak sebagai pengurus yang dapat menggantikan Pep Guardiola sekiranya jurulatih asal Sepanyol itu mengambil keputusan meninggalkan Manchester City.

Bagaimanakah De Zerbi dilantik di Brighton?


Dalam bola sepak, seperti kehidupan juga, perkara tidak selalu berlaku dengan dirancang. Kadang-kadang ia adalah hasil daripada gabungan keadaan, kebetulan dan cabaran.

Setelah Graham Potter menerima tawaran yang tidak boleh beliau tolak daripada Chelsea, dan ‘kerugian’ bekas kelab De Zerbi, Shakhtar Donetsk, menjadi keuntungan Brighton apabila De Zerbi menandatangani perjanjian empat tahun di Stadium Amex pada 18 September 2022.

Ia adalah terlalu mudah, bagaimanapun, untuk mengandaikan ketibaan De Zerbi adalah hasil gabungan keadaan dan tiada kaitan dengan perancangan.

Hakikatnya, Brighton tahu mengenai pengurus asal Italy itu sejak zaman beliau memimpin Sassuolo, yang mempunyai lapan pemain terbaik liga dalam dua musim berturut-turut. Kelab Liga Perdana England itu sudah mula membayang De Zerbi sebagai bakal pengganti Potter, lebih-lebih lagi dengan Potter mula menarik perhatian kelab-kelab gergasi England dek pencapaiannya bersama Brighton.

Ternyata pilihan De Zerbi adalah satu langkah bijak lagi inovatif.

Namun, kebangkitan Brighton bukan hanya bergantung kepada De Zerbi.

“Bagi saya, ia adalah hasil satu sistem bola sepak yang pastinya dicemburui banyak kelab-kelab yang lebih ‘besar’,” kata bekas kapten Manchester United, Gary Neville, yang kini pengulas bola sepak.

“Brighton memiliki pegawai yang dapat mengenal pasti bakat muda, yang boleh berkembang di bawah tunjuk ajar Graham Potter sebelum ini dan De Zerbi sekarang, dan kemudian dijual dengan keuntungan besar.

“Penjualan mereka tidak akan meninggalkan kesan teruk kepada kelab, kerana bagai ‘patah tumbuh, hilang berganti’, kelab itu akan mendapatkan lain-lain pemain muda baharu untuk mengambil tempat mereka itu.

“Semua pemain yang didapatkan mempunyai ciri-ciri asas yang dimahukan De Zerbi, yang boleh beliau bangunkan dan kembangkan ke tahap yang dituntut beliau,” ujar beliau.

Bakal pengganti Guardiola?


Mungkin tidak ada pengurus lain dalam bola sepak yang semakin mendapat penghormatan daripada jurulatih terkemuka di seluruh dunia selain De Zerbi.

Ramai yang mengagumi corak permainan yang diperkenalkan De Zerbi – corak yang menuntut pemainnya bermain dengan berani dan tanpa batas.

Lebih menarik lagi ialah, rasa kagum itu timbul setelah pengurus-pengurus itu sendiri menjadi mangsa kehebatan pasukan De Zerbi itu.

Kelebihan bagi De Zerbi ialah, beliau berada di kelab di mana beliau tidak menghadapi jangkaan untuk memenangi kejuaraan atau kelayakan ke Liga Juara-Juara.

Kekurangan tekanan itu semestinya membantu apabila beliau membuka tirai kepimpinannya di Brighton dengan lima perlawanan tanpa kemenangan.

Namun, pada ketika itu, tiada siapa di Brighton meragui mereka di bawah kepimpinan pengurus yang betul.

Musim lalu, pasukan yang diberi gelaran Seagulls itu menamatkan musim di tempat keenam dan hampir melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala FA, jika tidak kerana kekalahan di peringkat separuh akhir menerusi tendangan penalti.

Kelab itu kini berhasrat untuk memastikan mereka bukan sahaja mengekalkan tahap mereka tetapi terus berkembang, dan ini adalah hasil tekanan yang dikenakan sendiri oleh De Zerbi ke atas dirinya dan semua orang yang terlibat dengan kelab berkenaan.

Jangkaan adalah tinggi dalam agenda yang telah beliau wujudkan.

Kelab itu tahu Tottenham Hotspurs mahu melamar De Zerbi pada musim panas lalu, namun pengurus itu mengambil keputusan untuk kekal di Stadium Amex. Beliau sendiri mahu membawa Brighton ke peringkat lebih tinggi, dan mencapai sesuatu yang tidak pernah diimpikan kelab tersebut – iaitu memenangi piala di peringkat elit bola sepak England dan Eropah.

Pergelutan untuk membaiki diri boleh menjadi ibarat satu ketagihan.

De Zerbi mempunyai ketagihan tersebut. Fitrahnya tidak boleh menerima hanya kemenangan, tapi kemenangan yang berteraskan prinsip dan falsafah bola sepaknya.

“Ini menjadikan beliau amat serupa dengan Guardiola,” kata bekas kapten Perancis, Thierry Henry, yang pernah bermain di bawah bimbingan Guardiola semasa di Barcelona.

“Kedua-dua mereka mahu menuntut kesempurnaan untuk mencapai sasaran. Mereka berkongsi falsafah yang sama mengenai bagaimana bola sepak harus dimainkan,” tambah beliau.

Menurut sumber-sumber, Manchester City juga telah mengambil perhatian, dan, jika Guardiola meninggalkan kelab itu pada musim panas tahun 2025, De Zerbi akan berada dalam senarai pendek untuk menggantikan.

‘Membawa bola sepak ke tahap lebih tinggi’


Pada dasarnya, Guardiola telah membawa bola sepak di England dan dunia, kepada satu tahap yang berbeza.

Ia berdasarkan cara bermain yang merangkumi empat fasa:

1. Membina permainan dari bahagian pertahanan

2. Menguasai permainan di bahagian ‘midfield’

3. Menyusun setiap elemen sebagai proses untuk melakukan hantaran terakhir sebelum mencipta peluang jaringan

4. Berani dalam membuat keputusan muktamad.

Meskipun boleh disenarai dalam format hitam putih, kebanyakan elemen corak permainan ini berdasarkan naluri, yang hanya boleh dilatih, dipelajari dan dibaiki, oleh jurulatih yang turut memiliki naluri tersebut.

“De Zerbi sedang mencuba,” kata Neville penuh yakin.

“Beliau mahu membawa bola sepak ke tahap berbeza daripada tahap yang dikecapi Guardiola. Petanda awal adalah baik. Berbeza daripada Guardiola, corak permainan De Zerbi tampak lebih dinamik.

“Beliau berani meletakkan lebih ramai pemain di hadapan bola, dan bekerja lebih keras untuk menguasai permainan,” ujar Neville lagi. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >