Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Api kemaraan Ilhan Fandi membara untuk Singa

Penyerang muda berada dalam prestasi cemerlang selepas jaring dua gol untuk Singapura di perlawanan antarabangsa pada September
Oct 7, 2025 | 6:42 PM
Penyerang Singapura, Ilhan Fandi, bertekad untuk membawa Singapura beraksi buat julung kalinya di Piala Asia 2026.
Penyerang Singapura, Ilhan Fandi, bertekad untuk membawa Singapura beraksi buat julung kalinya di Piala Asia 2026. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Sejak membuat penampilan pertamanya untuk pasukan bola sepak Singapura pada 2021, Ilhan Fandi hanya tersenarai dalam kesebelasan utama sebanyak lapan kali.

Beliau sering dimasukkan dari bangku simpanan, sama ada ketika beraksi di kelab Thailand, Buriram United, atau bersama skuad negara.

Ini walaupun beliau telah melalui pelbagai liku dalam kerjayanya.

Daripada menjadi pemain Singapura pertama yang beraksi di Belgium untuk KMSK Deinze, kepada mewakili negara dalam kejohanan utama termasuk Kelayakan Piala Dunia, Piala Asia, dan Piala Asean, beliau telah menimba pengalaman yang hanya boleh diimpikan pemain muda.

Namun, pada 2022, Ilhan mengalami kecederaan lutut, ligamen krusiat anterior (ACL), yang menghalangnya daripada beraksi selama sembilan bulan, lantas memberi genjotan pada perkembangannya.

Walau menghadapi pelbagai rintangan, keyakinannya tetap teguh.

Dengan api kemaraannya menyala, pemain berusia 22 tahun itu bersedia untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama sambil membantu Singapura menentang India dalam dua perlawanan kelayakan Pusingan Akhir Piala Asia 2026 pada 9 dan 14 Oktober.

Bercakap kepada Berita Harian (BH) dalam satu wawancara di Hotel Parkroyal Beach Road pada 7 Oktober, Ilhan berkata:

“Sebelum saya masuk padang, saya selalu berdoa agar dapat beraksi dengan baik, dan saya sentiasa memberikan seratus peratus, sama ada diturunkan sebagai pemain utama atau tidak.

“Saya ada semangat yang membara dalam diri saya – bila saya tidak disenaraikan sebagai kesebelasan utama, saya ingin buktikan kepada jurulatih bahawa saya sepatutnya diturunkan.

“Itulah motivasi saya,” katanya, sambil matanya bersinar penuh keyakinan dan senyuman kecil terukir di wajahnya.

Namun, tugasnya tidak mudah.

Pencabar utama bagi posisi penyerang ialah abangnya sendiri, Ikhsan Fandi; pemain pertahanan yang beralih posisi menjadi penyerang, Jordan Emaviwe; dan penyerang veteran, Shawal Anuar.

Dengan pasukan negara sedang menghadapi kesukaran menjaringkan gol, posisi penyerang utama Singa masih terbuka untuk ditandingi.

Ilhan akur tugas menjaringkan gol terletak pada barisan penyerang, lantas mereka perlu mengekalkan fokus dan ketajaman sepanjang perlawanan.

“Setiap penyerang mempunyai kualiti tersendiri. Seperti Jordan, beliau tinggi, kuat, dan memiliki kelebihan yang saya dan Ikhsan, tiada.

“Maka, kami semua perlu menggabungkan kekuatan masing-masing dan apabila peluang tiba, kami harus berusaha untuk menyempurnakannya dan membantu pasukan,” ujar beliau.

Pasukan negara akan menentang India – yang berlangsung di sini pada 9 Oktober, diikuti aksi timbal balik di Goa, pada 14 Oktober.

Singa kini mendahului Kumpulan C dengan empat mata selepas dua perlawanan, hasil kemenangan 2-1 ke atas Bangladesh pada Jun lalu dan keputusan seri 0-0 menentang Hong Kong pada Mac.

Menang dua perlawanan itu dan pasukan Singa akan menempah tiket ke Piala Asia 2026, satu sejarah bermakna buat pasukan negara.

Tugas mereka kini dipacu oleh Ilhan, yang sedang berada dalam prestasi cemerlang.

Beliau menjaringkan gol tunggal Singa dalam dua perlawanan persahabatan – ketika tewas 1-2 di tangan Malaysia dan seri 1-1 menentang Myanmar pada September lalu.

Dua gol itu membawa jumlah jaringannya untuk negara kepada empat gol dalam 19 penampilan.

Kedua-dua perlawanan itu merupakan aksi pertama Ketua Jurulatih sementara pasukan Singa, Gavin Lee, sejak mengambil alih daripada jurulatih asal Jepun, Tsutomu Ogura pada Jun.

Membalas kepercayaan Lee, Ilhan bukan sahaja berhasrat untuk memburu kecemerlangan individu, malah membantu Singa menggapai puncak Asia.

“Saya sangat gembira dapat menjaringkan empat gol setakat ini.

“Namun, misi utama ialah untuk layak ke Piala Asia. Maka, saya perlu bekerja keras untuk mencapai matlamat pasukan,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg