Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lee: Motivasi bukan isu bagi Singa

Jelang perlawanan tentang India bagi kelayakan Pusingan Akhir Piala Asia, jurulatih sementara tegas pendekatannya tidak berbeza dari perlawanan lain
Oct 7, 2025 | 4:00 PM
bola sepak, jurulatih sementara Singa, Gavin Lee, kelayakan Piala Asia
Jurulatih sementara pasukan Singa, Gavin Lee (dua dari kiri), menekankan bahawa cabaran utama dalam bola sepak antarabangsa bukan hanya mengorak strategi pasukan, tetapi bagaimana menyepadukan pemain daripada pelbagai kelab dalam masa yang singkat. - Foto fail

Persediaan skuad bola sepak kebangsaan Singapura kini memasuki fasa penting menjelang pertemuan menentang India dalam dua perlawanan kelayakan Pusingan Akhir Piala Asia.

Dua perlawanan ini – di Singapura pada 9 Oktober dan di Goa, India, pada 14 Oktober – berupaya mencipta sejarah bagi Singa.

Singapura kini berada di tangga teratas Kumpulan C dengan empat mata selepas dua perlawanan, hasil kemenangan 2-1 menentang Bangladesh pada Jun.

Justeru, dua perlawanan akan datang ini amat penting bagi skuad Singa, yang meletakkan sasaran untuk layak ke Pusingan Akhir Piala Asia buat pertama kali.

Walaupun ini merupakan ‘perlawanan rasmi’ pertama di bawah bimbingannya, jurulatih sementara pasukan Singa, Gavin Lee, menekankan bahawa pendekatannya sebelum setiap perlawanan bersama pasukan negara ialah beliau tidak membezakan antara perlawanan persahabatan dengan pertandingan rasmi.

Dua perlawanan Singa yang diterajui Lee sebelum ini merupakan perlawanan persahabatan menentang Malaysia dan Myanmar.

“Ya, dua perlawanan ini rasmi dan kompetitif. Tetapi terus terang, kami tidak bezakan perlawanan ini dengan perlawanan menentang Malaysia atau Myanmar. Setiap perlawanan ada tujuan, ada makna, dan bila ada makna, ia menjadi sangat penting,” kata beliau.

Dalam wawancara eksklusif bersama Berita Harian (BH) dalam podcast Kaki Bola terbitan akhbar ini, Lee menekankan bahawa cabaran utama dalam bola sepak antarabangsa bukan hanya dalam mengorak strategi pasukan, tetapi bagaimana untuk menyepadukan pemain daripada pelbagai kelab dalam masa yang singkat.

“Cabaran paling besar ialah bagaimana kita nak selaraskan semua pemain dalam tempoh tiga hari. Hakikatnya, hari pertama selepas mereka tiba, kita tidak boleh buat banyak perkara kerana kebanyakan mereka baru sahaja tamat perlawanan bersama kelab. Jadi masa amat terhad,” jelasnya.

Untuk mengatasi kekangan itu, pasukan jurulatih banyak bergantung pada analisis video.

“Kami meneliti rakaman setiap hari – bagaimana India menyerang, bagaimana mereka bertahan. Pada masa sama, kami juga menilai semula permainan sendiri, meneliti aksi pemain di liga tempatan mahupun Liga Juara-Juara Asia,” ujar Lee.

Dengan harapan untuk melangkah lebih jauh dalam kelayakan Piala Asia, Lee menekankan bahawa motivasi bukanlah isu utama dalam skuad negara.

Baginya, pemain yang dipilih seharusnya sudah cukup bermotivasi untuk menyarung jersi negara.

“Kalau anda menyertai pasukan negara dan masih perlukan ucapan yang membakar semangat (dari jurulatih), memang tak kena tempatlah. Kalau bermain di pentas nasional, di depan 20,000 atau 30,000 penyokong, tidak cukup untuk menyemarakkan semangat anda, ada sesuatu yang tak betul dengan diri pemain,” katanya dengan tegas.

Bagi Lee, tugas jurulatih lebih kepada memastikan pemain kekal fokus dan tenang.

“Lazimnya, ia lebih kepada menenangkan mereka, mengalih tumpuan mereka kepada perkara lebih penting, supaya mereka dapat gunakan maklumat yang disediakan dan tidak ragu-ragu di padang,” jelasnya.

Di sebalik tekanan perlawanan penting, Lee menegaskan, matlamat pasukan adalah lebih daripada sekadar keputusan di padang.

“Kami mahu setiap kali tingkap antarabangsa tamat, jersi ini ditinggalkan dalam keadaan lebih baik daripada sebelumnya. Melalui kerja keras dan persembahan, kami mahu berikan sesuatu yang membanggakan rakyat, dan yang lebih penting, memberi inspirasi bagi generasi akan datang,” katanya.

-
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg