Liga Perdana England (EPL) buat julung kali telah melancarkan perkhidmatan penstriman terus kepada peminat di Singapura pada 12 Ogos.

Diberi nama Premier League +, ia dibangunkan menerusi kerjasama dengan rakan penyiar jangka panjang EPL di Singapura, StarHub.

Musim baharu 2026-27 EPL akan bermula apabila juara bertahan Arsenal menjadi tuan rumah kepada pasukan yang baru dinaikkan liga, Coventry City, pada 22 Ogos (3 pagi waktu Singapura).

Pelanggan sedia ada StarHub yang mempunyai langganan berkaitan boleh menggunakan aplikasi Premier League + dengan menghubungkan akaun StarHub mereka dengan akaun myPremierLeague untuk menonton siaran perlawanan tersebut.

Aplikasi Premier League + membolehkan peminat tempatan menyaksikan kesemua 380 perlawanan Liga Perdana, serta perlawanan Piala FA dan Perisai Masyarakat menerusi peranti mudah alih, komputer riba dan televisyen.

Perlawanan Perisai Masyarakat akan menyaksikan pertembungan antara Arsenal dengan Manchester City pada 16 Ogos.

Sebelum ini, penonton hanya boleh menyaksikan perlawanan Piala FA di StarHub sekiranya mereka melanggan pakej berasingan.

Aplikasi Premier League + juga akan menawarkan pilihan tontonan daripada pelbagai sudut kamera, paparan data masa nyata, hab pasukan yang diperibadikan, sedutan perlawanan, siaran ulangan penuh, saluran 24 jam sehari terbitan Premier League Studios, serta penstriman sehingga resolusi 4K bagi peranti yang menyokongnya.

Pengguna boleh memilih tiga pilihan langganan.

Terdapat pas 24 jam berharga $16 yang memberi akses penuh kepada semua siaran langsung dan kandungan khas on-demand sepanjang tempoh tersebut.

Pilihan ini hanya tersedia untuk tontonan di telefon bimbit dan komputer riba.

Selain itu, terdapat pas bulanan pada harga $44 dengan akses berterusan – yang diperbaharui secara automatik setiap bulan dengan pilihan untuk membatalkan langganan pada bila-bila masa.

Ia turut menawarkan pas tahunan berharga $399 yang memberi akses selama 12 bulan pada kadar lebih menjimatkan.

Ketua Pegawai Media Liga Perdana, Paul Molnar, dalam satu kenyataan media pada 12 Ogos, berkata: 

“Hari ini merupakan detik amat mendebarkan apabila kami melancarkan Premier League + di Singapura, sekali gus memberi peminat di negara ini cara baharu yang dipertingkatkan untuk menikmati saingan Liga Perdana.

“Singapura sentiasa menjadi salah satu pangkalan peminat paling bersemangat kami, menjadikannya lokasi yang amat sesuai untuk memperkenalkan pengalaman baharu ini.

“Menerusi kerjasama dengan rakan kongsi jangka panjang kami yang amat dihargai, StarHub, kami telah membangunkan satu perkhidmatan yang menggabungkan kesemua siaran langsung perlawanan Liga Perdana bersama ciri-ciri inovatif serta kandungan eksklusif, memberi peminat lebih banyak pilihan untuk mengikuti perkembangan kejohanan kegemaran mereka.”

Peminat boleh mendaftar menerusi pautan rasmi di https://www.premierleague.com/en/subscribe-to-pl-plus.

StarHub sebelum ini pada Mei telah memperkenalkan pas tahunan sendirinya untuk pelanggan menyaksikan siaran EPL.

Diberi nama pas Premier + Annual, ia merupakan langganan 12 bulan berharga $238 bagi pelanggan sedia ada dan $380 bagi pelanggan baharu.