Argentina memulakan misi mempertahankan kejuaraan Piala Dunia mereka pada 17 Jun dengan menentang Algeria dalam aksi Kumpulan J.

Gergasi Amerika Selatan itu telah berjaya mendahului semula kedudukan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dunia.

Namun, sejarah membuktikan bahawa tiada pasukan di kedudukan pertama pada awal Piala Dunia yang pernah muncul sebagai juara kejohanan itu.

Bagaimanapun, Argentina tekad untuk mengukir sejarah.

Ketua jurulatih, Lionel Scaloni telah mempertaruhkan skuad yang dibarisi ramai wajah yang terlibat dalam kemenangan Piala Dunia 2022 di Qatar.

Juara bertahan itu tampil menjadi pilihan utama untuk menjuarai kumpulan J, namun Algeria mampu menjadi penghalang untuk mereka bermula dengan langkah kanan.

Wakil Afrika itu melangkah ke kejohanan ini dengan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan persahabatan.

Argentina sebelum ini juga pernah dikejutkan di pentas Piala Dunia apabila tumpas 1-2 kepada Arab Saudi dalam perlawanan pertama mereka di Qatar 2022.

Justeru, mampukah Algeria mengulangi kejutan besar itu di Stadium Kansas City nanti?

Lionel Scaloni telah memimpin Argentina sebagai ketua jurulatih sejak 2018. Di bawah bimbingannya, Argentina memenangi dua gelaran Copa America dan  menamatkan penantian 36 tahun untuk menjulang trofi Piala Dunia buat kali ketiga.
Lionel Scaloni telah memimpin Argentina sebagai ketua jurulatih sejak 2018. Di bawah bimbingannya, Argentina memenangi dua gelaran Copa America dan menamatkan penantian 36 tahun untuk menjulang trofi Piala Dunia buat kali ketiga. - Foto REUTERS

Ternyata, tumpuan utama terarah kepada tonggak dan bintang pasukan Lionel Messi.

Kejohanan kali ini merupakan penampilan keenam pemain berusia 38 tahun itu di Piala Dunia.

Bercakap kepada agensi berita AFP pada 14 Jun, pemain veteran itu mendedahkan beliau pada awalnya berhasrat melabuhkan tirai Piala Dunia selepas menjulang trofi itu pada 2022.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat menolak peluang untuk beraksi sekali lagi di pentas bola sepak terbesar dunia.

Meskipun pemenang anugerah Ballon d’Or sebanyak lapan kali itu kini tidak lagi berada di kemuncak prestasinya, pengaruh yang dicetuskannya bersama kelab Inter Miami membuktikan beliau masih mampu memberikan sumbangan besar di padang.

Beliau berjaya menjaringkan 13 gol dalam 16 penampilan, sekali gus membantu kelabnya menjulang Piala Liga Bola Sepak Utama (MLS) pada 2025.

Baru-baru ini, Messi kelihatan semakin tajam apabila membantu Argentina menewaskan Iceland 3-0 dalam aksi persahabatan pada 10 Jun, dengan beliau menyempurnakan satu sepakan penalti.

Selain kehadiran Messi, Argentina memiliki jentera serangan berbisa yang mampu menggerunkan benteng lawan.

Julian Alvarez dan Lautaro Martinez sudah pun membuktikan keupayaan mereka menjaringkan gol di pentas terbesar, dan masing-masing menamatkan musim yang memberangsangkan bersama Atletico Madrid dan Inter Milan.

Di bahagian tengah pula, Enzo Fernandez dan Alexis Mac Allister antara tonggak yang dijangka mengawal rentak permainan sekali gus menjadi nadi kreativiti pasukan.

Mereka juga boleh bergantung kepada Emiliano Martinez untuk mempertahankan gawang Argentina.

Beliau, yang telah memenangi anugerah Sarung Tangan Emas pada Piala Dunia 2022, melangkah ke edisi 2026 berbekal gelaran juara Liga Europa bersama Aston Villa.

Penjaga gawang Argentina, Emiliano Martinez, berlatih di Pusat Prestasi Nasional Compass Minerals pada 12 Jun.
Penjaga gawang Argentina, Emiliano Martinez, berlatih di Pusat Prestasi Nasional Compass Minerals pada 12 Jun. - Foto AFP
Julian Alvarez (tengah), antara penyerang berbisa di Argentina yang mampu membawa kesan besar dalam misi mempertahankan gelaran juara dunia.
Julian Alvarez (tengah), antara penyerang berbisa di Argentina yang mampu membawa kesan besar dalam misi mempertahankan gelaran juara dunia. - Foto REUTERS

Dengan barisan berbisa itu, Argentina dijangka menguasai Kumpulan J, yang juga menampilkan Austria dan Jordan.

Namun, Algeria mampu mengecewakan juara bergelar itu.

Pasukan kendalian Vladimir Petkovic itu mencatatkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan persahabatan yang lalu.

Ia termasuk keputusan seri dengan juara dunia dua kali, Uruguay, dan kemenangan 1-0 ke atas Belanda.

Gandingan Anis Hadj Moussa dan Amine Gouiri di barisan serangan antara kunci bagi mencapai keputusan itu, termasuk kemenangan besar 4-0 ke atas Bolivia.

Penyerang Algeria dan di kelab Perancis Marseille, Amine Gouiri (kanan), antara tonggak di barisan serangan Algeria bagi Piala Dunia 2026.
Penyerang Algeria dan di kelab Perancis Marseille, Amine Gouiri (kanan), antara tonggak di barisan serangan Algeria bagi Piala Dunia 2026. - Foto AFP
Bekas penyerang Manchester City, Riyad Mahrez (dua dari kiri), akan memimpin pasukan Algeria sebagai kapten di Piala Dunia 2026.
Bekas penyerang Manchester City, Riyad Mahrez (dua dari kiri), akan memimpin pasukan Algeria sebagai kapten di Piala Dunia 2026. - Foto REUTERS

Namun, bekas penyerang Manchester City, Riyad Mahrez, dianggap sebagai bintang Algeria.

Beliau, yang kini beraksi di kelab Liga Pro Saudi, Al-Ahli, sudah pun membuktikan dirinya sebagai antara pemain elit di pentas Eropah. Beliau juga membantu Algeria memenangi Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) yang kedua pada edisi 2019.

Berbekal lebih 100 penampilan untuk Algeria, Mahrez tentu akan mempertaruhkan pengalaman luasnya untuk mencetuskan ancaman bahaya di sebelah sayap kanan.

Beliau juga sudah tentu berkobar-kobar mempamerkan aksi yang terbaik dalam apa yang bakal menjadi penampilan terakhirnya di pentas Piala Dunia.

Selain itu, pemain Bayer Leverkusen berusia 20 tahun, Ibrahim Maza, juga telah mencuri tumpuan menerusi gelecek pantas serta kreativiti yang dipamerkannya di pentas Bundesliga.

Lantas, Argentina dan Algeria melangkah ke saingan Piala Dunia berbekal prestasi yang meyakinkan sepanjang fasa persiapan.

Di atas kertas, Argentina dilihat lebih berbisa dan berada di landasan tepat untuk bermula dengan langkah kanan.

Namun, pentas Piala Dunia sentiasa menjanjikan kejutan luar jangkaan.

Ramalan Wartawan: 2-0 memihak kepada Argentina

Perlawanan Kumpulan J pada 17 Jun (waktu Singapura):

Argentina lwn Algeria - 9 pagi

Austria lwn Jordan - 12 tengah hari