Topik diikuti
Pergi ke BHkuTidak mustahil tetapi misi Argentina pertahan kejuaraan penuh cabaran
Tidak mustahil tetapi misi Argentina pertahan kejuaraan penuh cabaran
Gandingan Messi dan generasi baharu jadi taruhan dalam usaha Argentina jadi negara pertama pertahan kejuaraan Piala Dunia sejak pencapaian Brazil pada 1958 dan 1962
Tidak mustahil tetapi misi Argentina pertahan kejuaraan penuh cabaran
Kehadiran Argentina pada Piala Dunia 2026 selaku juara bertahan membawa misi untuk menjadi negara pertama yang berjaya mempertahankan kejuaraan bola sepak berprestij dunia itu, sejak dilakukan Brazil pada 1958 dan 1962.
Skuad kendalian Lionel Scaloni kali ini mengekalkan 17 pemain daripada pasukan yang menjulang trofi di Qatar empat tahun lalu pada 2022.
Ia sekali gus menggabungkan teras berpengalaman yang telah terbukti di pentas tertinggi dengan generasi baharu yang semakin menyerlah.
Namun seperti dijangka, tumpuan tetap menyorot pada tonggak dan bintang utama pasukan – Lionel Messi.
Kejohanan ini bakal menjadi penampilan keenam Messi di Piala Dunia, sekali gus menyamai rekod pemain Portugal, Cristiano Ronaldo.
Bezanya, Messi sudah pun mencapai impian terbesar dalam kerjayanya apabila menjulang trofi Piala Dunia pada 2022.
Kejayaan di Qatar seolah-olah menjadi penutup sempurna buat kerjayanya antarabangsanya.
Selepas bertahun-tahun berdepan kekecewaan dan kegagalan di pentas terbesar, kapten Argentina itu akhirnya melengkapkan koleksi trofi yang selama ini menjadi buruan.
Namun, kini terdapat risiko bahawa bab terakhir kerjaya Piala Dunianya tidak akan berakhir seindah di Qatar.
“Ini adalah satu pasukan yang akan cuba (untuk menang Piala Dunia) lagi, akan memberikan segala-galanya, dan akan berjuang.
“Piala Dunia adalah kejohanan yang sangat sukar... mana-mana pasukan boleh bersaing dengan anda.
“Memenangi Piala Dunia adalah perkara yang amat sukar,” akui bintang veteran Argentina berusia 38 tahun itu.
Argentina mungkin terpaksa berdepan kekecewaan yang pernah menghantui mereka dalam banyak edisi Piala Dunia sebelum kejayaan bersejarah pada 2022.
Walaupun Messi tidak lagi berada di kemuncak prestasinya seperti dahulu, Argentina masih memiliki kekuatan serangan yang mampu menggerunkan mana-mana lawan.
Julian Alvarez dan Lautaro Martinez sudah membuktikan kemampuan mereka menjaringkan gol di pentas terbesar, manakala Enzo Fernandez terus menjadi nadi kreativiti di bahagian tengah.
Pengaruh Scaloni juga tidak boleh dipandang ringan.
Sejak dilantik sebagai jurulatih pada 2018, beliau berjaya mengubah nasib Argentina daripada pasukan yang sering mengecewakan kepada salah satu kuasa besar paling konsisten di pentas antarabangsa.
Di bawah bimbingannya, Argentina bukan sahaja memenangi dua gelaran Copa America, malah menamatkan penantian 36 tahun untuk menjulang trofi Piala Dunia buat kali ketiga.
Namun, beliau tetap mengakui bahawa untuk menjulang trofi Piala Dunia berturut-turut merupakan cabaran yang amat berbeza.
“Kami sedar bahawa pihak lawan akan bermain dengan cara berbeza menentang kami kerana kami adalah juara bertahan.
“Saya tidak boleh duduk di sini dan mengatakan bahawa kami akan memenanginya. Ia bakal menjadi satu kempen Piala Dunia yang sangat rumit dan sukar,” tambahnya.
Selain pemain berpengalaman, Argentina turut membawa beberapa wajah baharu yang berpotensi mencuri perhatian.
Antara yang paling menonjol ialah Nico Paz.
Pemain tengah berusia 21 tahun itu menikmati musim yang luar biasa bersama Como, apabila berjaya membantu kelab Italy itu menamatkan saingan Serie A dalam kelompok empat terbaik dan layak ke Liga Juara-Juara Eropah buat kali pertama.
Dilahirkan di Tenerife dan merupakan produk akademi Real Madrid, Paz menyerlah menerusi visi permainan, sentuhan pertama yang bermutu serta kebolehannya mencipta peluang dalam ruang sempit.
Kepercayaan yang diberikan Scaloni membuktikan peningkatan mendadaknya dalam tempoh 18 bulan lalu.
Beliau juga menantikan peluang untuk bergabung dengan Messi sekali lagi.
“Semasa Messi bermain untuk Argentina dalam Piala Dunia 2006, saya baru berusia setahun.
“Hari ini, hampir 20 tahun kemudian, saya berada di kedudukan di mana saya berpeluang untuk bermain bersamanya dalam Piala Dunia yang sama.
“Ia bukan sekadar impian, malah merupakan antara detik paling luar biasa dan paling membanggakan dalam hidup saya,” katanya.
Seorang lagi pemain yang menarik perhatian ialah Flaco Lopez.
Penyerang Palmeiras berusia 24 tahun itu telah menjaringkan 15 gol dalam 42 perlawanan sepanjang 2025 dan menawarkan profil yang berbeza berbanding penyerang Argentina yang lain.
Dengan ketinggian fizikal, keupayaan menyambar bola dari udara, serta ketajaman sebagai penyerang sasaran, Lopez memberi pilihan taktikal tambahan kepada Scaloni yang sebelum ini sukar ditemui sejak era Gonzalo Higuain dan Sergio Aguero.
Namun begitu, terdapat beberapa faktor yang boleh menghambat impian Argentina kali ini.
Kebimbangan utama terletak di benteng pertahanan.
Masalah kecederaan yang sering menimpa Cristian Romero menimbulkan persoalan mengenai kestabilan posisi pertahanan tengah.
Manakala bek kiri berpengalaman, Nicolas Tagliafico, pula menamatkan musim bersama Lyon dengan prestasi yang kurang meyakinkan.
Selain itu, sejarah juga tidak memihak kepada mereka.
Tiada negara berjaya mempertahankan gelaran Piala Dunia sejak Brazil melakukannya lebih enam dekad lalu.
Persaingan pada era moden jauh lebih sengit dengan kehadiran pasukan kuat seperti Perancis, Sepanyol, England, Portugal dan Brazil, yang masing-masing memiliki skuad bertaraf dunia.
Argentina sememangnya mempunyai mutu untuk mara jauh dan sekali lagi muncul sebagai antara calon utama.
Namun, dengan Messi yang semakin berusia, beberapa persoalan di benteng pertahanan serta saingan yang lebih kuat berbanding 2022, usaha mereka untuk mempertahankan kejuaraan dunia mungkin berakhir di kelompok empat pasukan terbaik sahaja.
Ramalan wartawan: Perjalanan Argentina hanya hingga ke separuh akhir.
Pasukan di Kumpulan J: Argentina, Algeria, Austria, Jordan
Jadual Perlawanan Argentina (waktu Singapura):
– 17 Jun: Argentina lawan Algeria (9 pagi)
– 23 Jun: Argentina lawan Austria (1 pagi)
– 28 Jun: Jordan lawan Argentina (10 pagi)
