Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Arsenal kukuh kedudukan di puncak EPL, tundukkan Villa 4-1

Dec 31, 2025 | 1:27 PM
Pemain pertahanan Arsenal, Gabriel Magalhaes, meraikan jaringan pembuka tirai beliau menentang Aston Villa dalam perlawanan Liga Perdana England pada 31 Disember. Arsenal  memenangi perlawanan tersebut 4-1.
Pemain pertahanan Arsenal, Gabriel Magalhaes, meraikan jaringan pembuka tirai beliau menentang Aston Villa dalam perlawanan Liga Perdana England pada 31 Disember. Arsenal memenangi perlawanan tersebut 4-1. - Foto REUTERS

LONDON: Buat seketika, Arsenal kelihatan seolah-olah mula hilang rentak mereka.

Selepas memulakan Disember dengan kekalahan kepada Aston Villa, kemenangan mereka ke atas Wolves, Everton dan Brighton pula hadir dengan persembahan yang tidak begitu meyakinkan.

Namun, Arsenal tetap berjaya mengutip mata penting dan segala persoalan mengenai kemampuan mereka dalam perebutan kejuaraan terjawab dengan kemenangan besar 4-1 ke atas Villa di padang sendiri pada 31 Disember.

Keputusan itu bukan sahaja menyekat kemaraan pasukan Villa kendalian Unai Emery di tempat ketiga, malah menjadi isyarat tegas kepada mana-mana pasukan yang berhasrat menggagalkan impian Arsenal untuk menjulang piala.

Menjelang 2026 dan separuh kedua musim, Arsenal kini mendahului liga dengan kelebihan lima mata berbanding Manchester City di tempat kedua, manakala Villa ketinggalan satu mata lagi di belakang City.

Bekas penyerang Villa, Dion Dublin, berkata: “Apa yang Arsenal lakukan terhadap Villa menunjukkan dengan jelas tahap sebenar mereka sekarang.“

“Segalanya menjadi buat mereka kerana semua pihak memainkan peranan – pengurus, pemain dan juga kakitangan.”

Namun begitu, dengan sejarah kerap terlepas kejuaraan selepas tiga musim berturut-turut sebagai naib juara, persoalan tetap timbul: mampukah Arsenal menamatkan penantian panjang dan muncul juara liga buat kali pertama sejak 2004?

Situasi ini bukan perkara baru buat Arsenal.

Mereka memulakan 2023 di puncak liga dengan kelebihan lima mata ke atas City, namun keadaan berubah dan pasukan kendalian Pep Guardiola akhirnya muncul juara dengan jurang lima mata.

Senario hampir sama berlaku pada musim 2002-03 apabila Arsenal menamatkan musim lima mata di belakang Manchester United walaupun mendahului liga pada hujung Disember.

Hakikatnya, daripada enam kali Arsenal menutup tahun di tangga teratas sebelum ini, mereka hanya berjaya menjuarai EPL sekali, pada musim 2001-02.

Tidak hairanlah penyokong mereka lebih berhati-hati dan enggan meraikan terlalu awal.

Secara statistik, pasukan yang mendahului liga pada akhir tahun hanya menjuarai EPL dalam 17 daripada 33 musim (sekitar 52 peratus).

Namun, adakah akhirnya Arsenal akan dapat merasa kejayaan, yang kali terakhir bergelar juara dalam musim ‘Invincibles’ mereka?

“Kami sedar perjalanan ini masih panjang. 2025 sangat luar biasa,” kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta.

“Kami tahu apa yang kami mahukan pada 2026, tetapi kami perlu berusaha keras untuk mencapainya dan masih jauh daripada garisan penamat.”

Kemenangan ke atas Villa juga menyaksikan gandingan Gabriel dan William Saliba kembali beraksi bersama di posisi pertahanan tengah buat kali pertama sejak 8 Disember.

Walaupun sebelum ini kehilangan dua tonggak utama pertahanan, Arsenal masih memiliki rekod pertahanan terbaik liga dengan hanya 12 gol dibolosi dalam 19 perlawanan.

Menentang Villa, kededuanya tampil kukuh pada separuh masa pertama yang berakhir tanpa jaringan sebelum Gabriel membuka tirai gol tiga minit selepas waktu rehat.

Namun seperti yang ditegaskan Arteta, perjalanan masih panjang, dan City serta Villa terus memberi tekanan.

City, yang telah menewaskan Arsenal dalam perebutan kejuaraan liga dua kali sejak Arteta mengambil alih pada 2019, boleh merapatkan jurang kepada dua mata jika menang ke atas Sunderland pada 2 Januari.

Villa pula sebelum ini mencatat 11 kemenangan berturut-turut, dan Emery berharap kekalahan di Emirates hanyalah satu gangguan sementara. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg